Isla de las Munecas : Pulau Paling Seram di Dunia

Di tengah-tengah kanal Xochimilco, Mexico, tersembunyi sebuah pulau kecil yang dikenali sebagai Isla de las Munecas, atau dalam bahasa Melayu, "Pulau Patung-Patung." Pulau ini bukanlah pulau biasa kerana ia dihiasi dengan ratusan patung rosak, cacat serta menyeramkan yang tergantung di dahan-dahan pokok dan bangunan usang.
Pada pertengahan abad ke-20, seorang lelaki bernama Don Julian Santana Barrera memutuskan untuk meninggalkan kehidupan normalnya dan tinggal di pulau terpencil ini. Dia memilih untuk hidup dalam kesunyian dan menghabiskan hari-harinya bercucuk tanam serta menangkap ikan. Namun kehidupannya berubah apabila satu kejadian tragis berlaku.

Menurut cerita penduduk tempatan, Don Julian telah menemui mayat seorang gadis kecil yang lemas di kanal berhampiran pulau itu. Tidak diketahui bagaimana gadis itu boleh berada di situ atau siapa ibu bapanya. Kejadian itu memberi kesan kepada Don Julian dan sejak hari itu dia mula mengalami perkara-perkara aneh.
Don Julian mendakwa sering mendengar suara tangisan dan bisikan halus di sekeliling pulau. Kadangkala dia melihat bayangan kecil bergerak di antara pokok-pokok seolah-olah roh gadis tersebut masih berada di situ. Beberapa hari selepas penemuan mayat gadis itu, Don Julian menemui sebuah patung lama terapung di kanal. Dia mengambil patung tersebut lalu menggantungnya di sebatang pokok sebagai tanda penghormatan kepada gadis yang telah mati. Namun semakin lama Don Julian tinggal di pulau itu, semakin banyak patung yang dia temui terapung di air atau tersadai di tebing. Don Julian kemudian berasa bahawa roh gadis itu mungkin masih tidak tenteram. Jadi dia mula mengumpulkan lebih banyak patung untuk digantung di sekitar pulau dengan harapan ia dapat menenangkan roh tersebut dan mengusir gangguan mistik yang dialaminya.

Selama lebih 50 tahun, Don Julian terus menghiasi pulau dengan ratusan patung yang ditemuinya di tempat pembuangan sampah atau dibeli daripada orang ramai. Sebahagian patung itu sudah rosak seperti tanpa mata, tanpa anggota badan dengan wajah yang kelihatan seperti menangis atau menjerit ketakutan. Lama-kelamaan, patung-patung itu kelihatan semakin menyeramkan apabila tubuh plastiknya ditutupi lumut, sarang labah-labah dan cat yang telah pudar menjadikannya kelihatan seperti mayat yang mereput. Cuma apa yang lebih menakutkan adalah bagaimana Don Julian benar-benar mempercayai bahawa patung-patung ini mempunyai roh dan dapat bergerak sendiri. Dia sering berbicara dengan mereka seolah-olah mereka adalah pelindungnya.
Penduduk yang sesekali berkunjung ke pulau itu mendengar kisah Don Julian dan menyangka bahawa dia mungkin tidak waras kerana tinggal seorang diri dikelilingi ratusan patung yang menyeramkan. Namun mereka yang pernah bermalam di pulau tersebut mengaku mengalami gangguan aneh termasuk mendengar suara kanak-kanak menangis, patung-patung yang bergerak sendiri dan mata patung yang tiba-tiba terbuka atau berpaling ke arah mereka.
Pada tahun 2001 yakni setelah lebih separuh abad tinggal di pulau ini, Don Julian ditemui mati di dalam kanal di tempat yang sama di mana dia pernah menemui mayat gadis itu. Penduduk tempatan percaya bahawa roh gadis tersebut akhirnya mengambil nyawanya. Ada juga yang mengatakan bahawa Don Julian sebenarnya mengalami kejutan atau serangan jantung dan terjatuh ke dalam air. Apa yang membuatkan kematiannya lebih menakutkan ialah Don Julian sebelum itu sempat bercerita kepada anak saudaranya bahawa dia melihat seorang anak kecil bermain di tepi kanal, tetapi apabila dia menghampiri, kanak-kanak berkenaan hilang. Kematian Don Julian mengukuhkan lagi kepercayaan bahawa pulau ini benar-benar berhantu. Hingga pada hari ini, pelbagai cerita seram masih menyelubungi pulau ini sekaligus menjadikannya destinasi mistik yang menarik minat pelancong dan pemburu paranormal.

Selepas kematian Don Julian, Isla de las Munecas menjadi terkenal sebagai salah satu tempat paling menyeramkan di dunia.Walaupun ia bukanlah lokasi pelancongan rasmi, ramai orang sanggup menaiki bot untuk mengunjungi pulau ini. Bot-bot ini biasanya dihiasi dengan warna-warna cerah dan membawa pelancong melalui kanal Xochimilco yang juga dikenali sebagai Venice of Mexico. Mereka yang berani mengunjungi pulau ini sering kali mengalami perasaan seram dan rasa seperti diperhatikan. Beberapa pengunjung mengaku bahawa patung-patung itu bergerak sendiri, berbisik antara satu sama lain atau tiba-tiba mengubah ekspresi wajah. Penduduk tempatan masih percaya bahawa roh gadis kecil itu tidak pernah meninggalkan pulau ini dan terus menghantui sesiapa yang datang. Ada juga kepercayaan bahawa jika seseorang menggantungkan sebuah patung baru di pulau ini, mereka akan mendapat perlindungan daripada roh-roh jahat.
Seperkara lagi harus diketahui, pulau ini terletak di kawasan yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Xochimilco adalah salah satu sistem kanal terakhir yang masih wujud dari zaman tamadun Aztec menjadikannya sebuah lokasi bersejarah yang penting di dunia.
Catat Ulasan for "Isla de las Munecas : Pulau Paling Seram di Dunia "