Joget Sadbor di Indonesia yang Kini Jadi Trend di Tik Tok

Joget Sadbor adalah salah satu fenomena yang tular di platform TikTok sejak pertengahan tahun 2024. Istilah Sadbor merupakan singkatan daripada "Saudara Bor" merujuk kepada sekumpulan lelaki pertengahan usia yang terkenal dengan tarian unik mereka. Aksi ini mula dikenali sebagai "joget patuk ayam" kerana pergerakan tangan mereka menyerupai gerakan ayam sedang mematuk tetapi kemudian lebih dikenali sebagai "joget Sadbor".
Fenomena Sadbor dimulakan oleh seorang lelaki bernama Gunawan, yang berasal dari Sukabumi, Indonesia. Sebelum ini, Gunawan bekerja sebagai seorang penjahit keliling tetapi kehidupannya berubah secara drastik setelah dia dan rakan-rakannya mula menyiarkan aksi tarian mereka secara langsung di TikTok. Dalam sesi live streaming, mereka akan menari dengan gaya tersendiri yang melibatkan gerakan tangan yang pantas dan berulang-ulang sambil menunggu gift atau hadiah digital daripada penonton. Hadiah ini boleh ditukar menjadi wang tunai, menjadikan aktiviti tersebut sebagai satu sumber pendapatan yang menguntungkan.
Semakin banyak hadiah yang diterima, semakin rancak tarian mereka. Gunawan juga akan menyebut nama penderma sebagai tanda penghargaan. Berdasarkan laporan media, mereka mampu memperoleh pendapatan harian antara Rp200 ribu hingga Rp700 ribu (kira-kira RM60 hingga RM210) hanya melalui hadiah digital yang diberikan oleh penonton TikTok. Dalam sebulan, jumlah ini boleh mencecah puluhan juta rupiah atau ribuan ringgit Malaysia. Pendapatan yang stabil daripada joget Sadbor membolehkan Gunawan dan kumpulannya mengubah kehidupan mereka. Mereka dikatakan berjaya melunaskan hutang peribadi, merenovasi rumah dan membeli kenderaan baru.

Namun pada November 2024, Gunawan ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia kerana dia didakwa terlibat dalam promosi perjudian dalam talian (online gambling). Menurut siasatan, Gunawan mempromosikan laman web judi dalam sesi live streaming dengan janji keuntungan besar kepada penonton. Aktiviti ini menyalahi undang-undang Indonesia dan dia dikenakan pertuduhan berkaitan promosi aktiviti perjudian. Selepas 11 hari dalam tahanan, Gunawan akhirnya dibebaskan pada 8 November 2024 setelah penahanannya ditangguhkan oleh pihak berkuasa. Pembebasan Gunawan adalah adalah atas faktor beberapa faktor termasuk sikap kooperatif sepanjang proses siasatan dan pelantikannya sebagai duta anti-judi dalam talian. Dia bagaimanapun masih dalam pengawasan pihak berkuasa dan segala aktiviti berkaitan perlu mengikut garis panduan yang lebih ketat.
Setelah pembebasannya, Gunawan disambut oleh keluarga serta masyarakat setempat dan aktiviti joget Sadbor kembali meriah di kampung halamannya. Ramai pengguna TikTok kini berjoget Sabdor dengan meniru konsep yang sama seperti Gunawan. Semakin ramai kumpulan berjoget secara serentak di pelbagai lokasi seperti tanah lapang, padang rumput, tepi jalan atau lorong kampung mahupun dalam rumah. Walau bgaaimanapun, tidak semua berjaya memperoleh pendapatan lumayan kerana persaingan semakin sengit. Ada kumpulan yang mendapat ribuan ringgit sehari tetapi ada juga yang hanya mendapat sedikit atau langsung tiada sumbangan.
Catat Ulasan for "Joget Sadbor di Indonesia yang Kini Jadi Trend di Tik Tok"