Kes Gorilla Bokito: Serangan Mengejutkan di Zoo Rotterdam
.jpg)
Pada 18 Mei 2007, seekor gorila jantan bernama Bokito mencetuskan kekecohan besar di Zoo Diergaarde Blijdorp, Rotterdam, Belanda apabila ia berjaya melarikan diri dari kandang sebelum menyerang seorang wanita yang sering mengunjunginya.
Bokito adalah seekor gorila baka barat (Western Lowland Gorilla) yang lahir pada 14 Mac 1996 di Zoo Berlin, Jerman. Ketika masih kecil, Bokito dipisahkan daripada ibunya dan dibesarkan oleh penjaga zoo. Pada tahun 2005, Bokito telah dipindahkan ke Zoo Diergaarde Blijdorp di Rotterdam sebagai sebahagian daripada program pembiakan spesies gorila.

Di habitat liar, gorila hidup dalam kumpulan yang diketuai oleh seekor jantan dominan, dikenali sebagai silverback. Walaupun kelihatan tenang dan pasif, gorila jantan boleh menjadi sangat agresif jika berasa terdapat ancaman atau cabaran terhadap kedudukannya. Dalam dunia primat, menatap mata secara langsung dianggap sebagai satu bentuk provokasi dan bukannya tanda persahabatan.
Mangsa serangan ialah seorang wanita Belanda berusia 57 tahun yang juga merupakan pengunjung tetap zoo. Dia sering melawat Bokito dan percaya bahawa mereka mempunyai "hubungan istimewa." Setiap kali mengunjungi zoo, dia akan berdiri di hadapan kandang Bokito, menatap mata gorila tersebut sambil tersenyum dan bercakap kepadanya. Dia percaya bahawa Bokito mengenalinya dan menikmati interaksi tersebut.
Cuma dari perspektif seekor gorila, tatapan mata langsung bukanlah satu bentuk kasih sayang tetapi seolah-olah sedang mencabarnya. Bokito mungkin telah lama menganggap wanita itu sebagai ancaman terhadap kedudukannya sebagai jantan dominan.

Jadi pada hari kejadian, wanita itu berdiri di luar kandang dan menatap Bokito tanpa mengalihkan pandangan seperti kebiasannya. Bagi wanita itu, ini adalah caranya untuk menunjukkan kasih sayang dan perhatian. Namun dia tidak menyedari bahawa perbuatannya semakin membangkitkan kemarahan Bokito.
Gorila itu mula menunjukkan tanda-tanda gelisah. Dia berjalan ke sana ke mari di dalam kandang sambil mengangkat bahu dan menggerakkan kepala ke hadapan dengan pantas iaitu tanda-tanda awal keagresifan dalam dunia primat. Wanita itu bagaimanapun tetap berdiri di situ, tidak mengubah tingkah lakunya.
Akhirnya dengan kekuatan luar biasa, Bokito pu. melompat keluar dari kandang berketinggian 3.5 meter, sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil. Sesudah keluar, Bokito berlari ke arah wanita itu.
Serangan tersebut berlaku dalam sekelip mata. Bokito menyerang wanita berkenaan dengan penuh kemarahan. Dia menggigit, mencakar dan membaling mangsa ke tanah dengan kekuatannya yang luar biasa. Wanita itu telah mengalami lebih daripada 100 luka serta beberapa tulang patah akibat serangan tersebut.

Selepas mencederakan mangsa, Bokito tidak terus melarikan diri ke luar zoo tetapi menuju ke sebuah restoran di dalam kawasan zoo. Kejadian ini mencetuskan panik dalam kalangan pengunjung dengan ramai yang berlari menyelamatkan diri. Ada yang bersembunyi di bawah meja, sementara yang lain menjerit meminta pertolongan. Pihak zoo segera mengambil tindakan untuk mengawal keadaan. Bokito kemudian berjaya ditangkap semula selepas ditembak dengan ubat pelali dan dikembalikan ke kandangnya.
Pihak Zoo Diergaarde Blijdorp segera mengambil langkah-langkah keselamatan tambahan termasuk menambah ketinggian pagar kandang dan mengubah strukturnya bagi mengelakkan kejadian serupa daripada berulang. Salah satu kesan yang paling menarik daripada kejadian ini ialah penciptaan "Bokito-proof glasses" yakni cermin mata khas yang direka untuk menghalang pemakai daripada melakukan kontak mata langsung dengan gorila. Cermin mata ini diperkenalkan oleh sebuah syarikat insurans Belanda sebagai satu bentuk kempen kesedaran tentang bagaimana haiwan liar boleh bertindak balas secara agresif terhadap tindakan manusia yang dianggap remeh.
Catat Ulasan for "Kes Gorilla Bokito: Serangan Mengejutkan di Zoo Rotterdam"