Kisah Carol Coronado: Ibu yang Membunuh Tiga Anak Kecil Akibat Psikosis Selepas Bersalin

Pada 20 Mei 2014, sebuah tragedi menggemparkan berlaku di Los Angeles County, California, Amerika Syarikat, apabila seorang ibu muda bernama Carol Coronado didakwa membunuh tiga anak perempuannya yang masih kecil di rumah mereka sendiri. Kejadian ini menjadi salah satu kes jenayah paling tragis yang dikaitkan dengan psikosis selepas bersalin, gangguan mental yang jarang berlaku tetapi sangat berbahaya jika tidak dirawat.
Carol Coronado ialah seorang suri rumah berusia 30 tahun yang tinggal bersama suaminya yang dikenali sebagai Rudy Coronado di sebuah rumah di kawasan perumahan sederhana di Torrance, Los Angeles. Pasangan ini dikurniakan tiga orang anak perempuan yang masih kecil iaitu Sophia (2 tahun), Yazmine (16 bulan) dan Xenia (2 bulan). Carol tidak mempunyai sejarah jenayah atau gangguan mental yang diketahui sebelum ini. Dia menghabiskan sebahagian besar masanya menjaga anak-anak mereka manakala suaminya bekerja di luar untuk menyara keluarga. Dari luar, kehidupan mereka kelihatan bahagia dan biasa seperti keluarga lain.

Cuma selepas kelahiran anak ketiganya, Xenia, Carol mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan dan tekanan. Dia kelihatan semakin murung, gelisah,dan mudah marah. Ahli keluarganya menyatakan bahawa dia menjadi lebih menyendiri selain sering mengadu berasa tertekan dan tidak cukup tidur. Walau bagaimanapun, tiada sesiapa yang menganggap keadaannya terlalu serius,kerana ramai ibu yang baru melahirkan mengalami keletihan dan tekanan emosi. Apa yang mereka tidak sedari ialah Carol mungkin sedang mengalami psikosis selepas bersalin satu gangguan mental yang boleh menyebabkan seseorang kehilangan hubungan dengan realiti, mengalami halusinasi dan bertindak ganas tanpa sedar.
Pada 20 Mei 2014, Rudy Coronado telah keluar bekerja seperti biasa dan meninggalkan Carol di rumah bersama anak-anak mereka. Pada hari itu, ibu Carol sendiri telah datang ke rumah untuk menjenguk anaknya tetapi dia tidak menyangka sesuatu yang buruk akan berlaku. Sekitar tengah hari, tragedi berlaku. Berdasarkan siasatan polis, Carol dipercayai mengalami episod psikosis yang teruk di mana dia membunuh ketiga-tiga anak perempuannya di dalam bilik tidur utama. Carol menggunakan pisau dapur untuk menikam mereka berulang kali. Keadaan mayat mereka ketika ditemui menunjukkan bahawa perbuatan itu dilakukan dengan penuh keganasan seolah-olah Carol berada dalam keadaan yang tidak waras. Selepas membunuh anak-anaknya, Carol ditemui berlumuran darah sambil berbaring dalam keadaan bogel di atas katil bersama mayat anak-anaknya. Pisau masih berada di tangannya dan dia dipercayai cuba untuk mencederakan dirinya sendiri tetapi gagal berbuat sedemikian.

Ibu Carol yang berada berdekatan kembali ke rumah pada waktu petang dan mendapati pemandangan yang sangat mengerikan. Tiga cucunya itu telah mati dan anaknya sendiri berada dalam keadaan yang sangat menakutkan. Ibu Carol yang berasa panik segera menghubungi pihak berkuasa. Polis tiba tidak lama kemudian dan menemui tiga kanak-kanak yang sudah tidak bernyawa manakala Carol masih hidup tetapi kelihatan keliru dan tidak stabil. Dia tidak memberikan sebarang reaksi emosional terhadap apa yang telah berlaku.
Apabila Rudy Coronado pulang dari kerja dan mengetahui kejadian itu, dia berada dalam keadaan terkejut dan tidak dapat menerima hakikat bahawa isterinya sendiri telah membunuh anak-anak mereka. Menerusi satu wawancara, Rudy berkata bahawa dia tidak pernah menyangka Carol mampu melakukan sesuatu yang sebegitu mengerikan.

Semasa disoal siasat, Carol kelihatan bingung dan tidak sedarkan diri terhadap apa yang telah berlaku. Dia tidak memberikan sebarang penjelasan mengenai tindakannya seolah-olah dia tidak sedar bahawa dia telah membunuh anak-anaknya. Peguam pembelaannya mendakwa bahawa Carol mengalami psikosis selepas bersalin, satu keadaan mental yang sangat jarang tetapi boleh membawa kepada tindakan kejam yang tidak disengajakan. Berbeza dengan kemurungan selepas bersalin, psikosis selepas bersalin adalah lebih berbahaya kerana ia boleh menyebabkan halusinasi , delusi, paranoid dan kehilangan hubungan dengan realiti sepenuhnya.
Pakar psikiatri yang menganalisis kes ini percaya bahawa Carol mungkin telah mendengar suara ghaib yang menyuruhnya membunuh anak-anaknya. Dia mempercayai bahawa membunuh anak-anaknya adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan mereka daripada sesuatu yang dia rasakan berbahaya.
Pada tahun 2015, mahkamah mendapati Carol Coronado bersalah atas tiga pertuduhan membunuh lalu dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan pembebasan bersyarat. Keputusan ini bagaimanapun mendapat kritikan daripada pakar kesihatan mental kerana mereka berpendapat bahawa Carol bukan seorang pembunuh biasa tetapi seorang wanita yang sedang mengalami gangguan mental yang serius. Mereka berhujah bahawa Carol sepatutnya dihantar ke hospital psikiatri untuk rawatan bukannya dipenjara. Walau bagaimanapun, mahkamah menolak hujah bahawa Carol tidak siuman semasa kejadian meskipun terdapat bukti yang menunjukkan dia mengalami psikosis selepas bersalin.
Catat Ulasan for "Kisah Carol Coronado: Ibu yang Membunuh Tiga Anak Kecil Akibat Psikosis Selepas Bersalin"