Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Chyna : Kejatuhan Ahli Gusti Wanita yang Hebat

     Chyna atau nama sebenarnya iaitu Joan Marie Laurer (1969–2016) ialah seorang ahli gusti profesional Amerika yang terkenal di WWE (dahulunya WWF) pada era 1990-an hingga awal 2000-an. Dia dianggap sebagai perintis dalam dunia gusti kerana berjaya menembusi dominasi lelaki dalam industri ini.

     Chyna lahir pada 27 Disember 1969 di Rochester, New York, Amerika Syarikat. Kehidupannya sejak kecil penuh cabaran dengan latar belakang keluarga yang bermasalah. Chyna mengalami penderaan emosi dan fizikal semasa kecil menyebabkan dia membesar sebagai seorang yang berdikari. Chyna memulakan perjalanan dalam dunia bina badan sebelum beralih ke gusti profesional. Pada tahun 1996, dia bertemu Paul "Triple H" Levesque dan Shawn Michaels yang ketika itu sedang membentuk kumpulan terkenal D-Generation X (DX) di WWE. Triple H kemudian meyakinkan Vince McMahon untuk mengambil Chyna sebagai bodyguard wanita pertama dalam sejarah WWE menjadikannya satu fenomena dalam industri gusti.

     Chyna melakukan debut di WWE pada 1997 dan segera mencuri perhatian dengan penampilannya yang luar biasa kerana berbadan sasa selain berwajah garang dan tidak takut berdepan dengan ahli gusti lelaki. Chyna berperanan sebagai enforcer dalam DX di mana dia sering membantu Triple H dan Shawn Michaels dalam perlawanan mereka.

     Seiring dengan popularitinya yang meningkat, Chyna mula bertanding secara solo dan mencipta sejarah dengan menjadi wanita pertama yang bertanding dalam Royal Rumble dan King of the Ring. Dia juga memenangi Kejuaraan Intercontinental WWE sebanyak dua kali menjadikannya satu-satunya wanita yang pernah memegang gelaran itu. Pada tahun 2001, Chyna berjaya menjadi Juara Wanita WWE tetapi ini juga merupakan kemuncak dan titik tolak kejatuhannya dalam industri gusti.

     Chyna dan Triple H telah menjalin hubungan sejak pertengahan 1990-an yakni semasa mereka masih dalam DX. Mereka adalah pasangan yang kuat, baik di dalam mahupun di luar gelanggang dan ramai menganggap Chyna sebagai wanita paling berpengaruh dalam dunia gusti ketika itu. Namun segalanya berubah apabila Triple H dikaitkan dengan Stephanie McMahon, anak kepada pemilik WWE, Vince McMahon. Chyna mendakwa dia mengetahui hubungan tersebut secara tidak langsung selepas menemui surat cinta antara Triple H dan Stephanie.

     Perpisahan mereka bukan sahaja menyakitkan dari segi emosi tetapi juga memberi kesan besar kepada kerjayanya Chyna. Triple H menafikan dia berlaku curang tetapi ramai peminat percaya hubungan dengan Stephanie membantunya naik ke puncak WWE manakala Chyna semakin dipinggirkan.

     Pada tahun 2001, selepas kejuaraannya dalam divisyen wanita, Chyna tiba-tiba menghilang dari WWE. Kontraknya tidak diperbaharui, dan pelbagai spekulasi timbul. Ada yang mengatakan dia menuntut gaji setaraf dengan bintang lelaki utama dan ada juga yang percaya Stephanie McMahon memainkan peranan dalam menyingkirkannya. Tanpa WWE, Chyna cuba mencari hala tuju baru. Dia menyertai New Japan Pro Wrestling (NJPW) tetapi gagal mencapai kejayaan yang sama. Sesudah itu, Chyna menyertai Total Nonstop Action Wrestling (TNA) pada 2011 tetapi kemunculannya singkat.

     Selepas meninggalkan WWE, Chyna terjebak dalam kehidupan yang penuh kontroversi. Dia mengalami masalah ketagihan alkohol dan dadah serta terlibat dalam industri hiburan dewasa. Keputusan ini mengejutkan ramai peminatnya tetapi Chyna sering mengatakan bahawa dia tidak mendapat peluang lain setelah disingkirkan dari WWE. Dia juga cuba memperbaiki hidupnya dengan menceburi bidang akademik dan berpindah ke Jepun untuk mengajar Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun, masalah ketagihan terus menghantui hidupnya dan dia sukar mendapatkan kestabilan mental serta kewangan.

    Hinggalah pada 20 April 2016, Chyna telah ditemui mati di rumahnya di Redondo Beach, California. Laporan bedah siasat menunjukkan dia meninggal akibat overdosis ubat preskripsi yang tidak disengajakan. Selepas kematiannya, ramai bintang WWE memberikan penghormatan kepadanya. Walaupun dia tidak diiktiraf semasa hayatnya, Chyna dimasukkan ke WWE Hall of Fame pada tahun 2019 sebagai sebahagian daripada D-Generation X. 

Catat Ulasan for "Kisah Chyna : Kejatuhan Ahli Gusti Wanita yang Hebat"