Kisah Ines Ramirez Perez: Wanita Luar Biasa yang Melakukan Pembedahan Caesarean ke Atas Dirinya Sendiri

Pada tahun 2000, seorang wanita Mexico bernama Ines Ramirez Perez melakukan sesuatu yang luar biasa dan hampir mustahil di mana dia telah menjalankan pembedahan Caesarean (C-section) ke atas dirinya sendiri tanpa bantuan perubatan profesional. Kisahnya menjadi salah satu kejadian perubatan paling luar biasa yang pernah direkodkan dalam sejarah.
Ines Ramirez Perez ialah seorang wanita desa yang tinggal di Rio Talea, sebuah perkampungan terpencil di negeri Oaxaca, Mexico. Pada waktu tersebut, dia berusia 40 tahun dan sudah mempunyai beberapa orang anak. Kawasan tempat tinggalnya bukan saja sangat jauh dari hospital atau kemudahan perubatan bahkan juga komunikasi dengan dunia luar juga terhad.
Pada suatu malam, Ines mula mengalami sakit bersalin yang teruk. Dia tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena kerana bayi dalam kandungannya tidak bergerak seperti biasa. Ines juga pernah melalui pengalaman melahirkan anak sebelum ini tetapi kali ini rasa sakitnya lebih luar biasa dan berpanjangan. Lebih membimbangkan, tiada bidan atau doktor berdekatan yang boleh membantunya. Suaminya pula sedang berada jauh dari rumah dan tiada sesiapa di kampung itu yang boleh memberikan bantuan perubatan kecemasan. Dalam keadaan kesakitan yang teramat sangat dan tiada pilihan lain, Ines membuat keputusan nekad untuk melakukan pembedahan Caesarean ke atas dirinya sendiri.
Menggunakan pisau dapur, Ines mula membelah perutnya sendiri dengan membuat potongan sepanjang 17 sentimeter secara menegak dari bahagian bawah pusat hingga ke pangkal rahim. Lagi dahsyat, dia melakukannya tanpa sebarang ubat bius. Kesakitan yang dialaminya semasa memotong kulit dan otot pasti tidak terbayangkan. Setelah beberapa minit yang penuh penderitaan, Ines akhirnya berjaya mengeluarkan bayinya dengan tangannya sendiri. Anaknya iaitu seorang bayi lelaki, selamat dilahirkan dan menangis sebaik sahaja keluar dari rahim ibunya. Walau bagaimanapun, Ines masih dalam keadaan kritikal kerana pembedahan ini boleh menyebabkan pendarahan yang berbahaya.

Walaupun dalam keadaan cedera parah dan kehilangan banyak darah, Ines masih berusaha untuk memotong tali pusat bayinya dan kemudian menjahit semula luka pembedahan menggunakan jarum dan benang jahit biasa. Sesudah itu, dia meminta anak sulungnya yang berusia 6 tahun untuk mendapatkan bantuan daripada seorang penduduk kampung. Beberapa jam kemudian, dua pembantu perubatan tradisional tiba di rumahnya dan cuba memberikan rawatan asas. Namun mereka menyedari bahawa luka Ines terlalu serius dan dia perlu mendapatkan rawatan di hospital. Lapan jam selepas pembedahan, Ines akhirnya dibawa ke sebuah klinik yang terletak jauh dari kampungnya.
Doktor yang merawatnya sangat terkejut melihat keadaan Ines dan tidak dapat mempercayai bahawa dia telah melakukan Caesarean ke atas dirinya sendiri. Meskipun keadaan Ines kritikal, dia bernasib baik kerana tidak mengalami jangkitan teruk. Doktor kemudian menjalankan pembedahan lanjut untuk membetulkan jahitan dan memastikan lukanya sembuh dengan baik.
Kisah luar biasa Ines Ramirez Perez ini mendapat perhatian dunia terutamadalam komuniti perubatan. Ramai doktor menganggap kejadian ini sebagai satu keajaiban kerana sangat jarang seseorang boleh melakukan pembedahan besar seperti ini ke atas dirinya sendiri dan masih hidup. Doktor yang menganalisis kes ini melaporkan bahawa kebanyakan wanita yang mengalami situasi seperti Ines mungkin akan mati akibat kehilangan darah atau jangkitan. Namun keberanian, kekuatan mental dan ketahanan fizikalnya membolehkannya bertahan.
Hingga pada hari ini, Ines Ramirez Perez dikenali sebagai satu-satunya wanita dalam sejarah moden yang berjaya menjalankan pembedahan Caesarean ke atas dirinya sendiri dan selamat. Kisahnya menjadi bukti tentang keazaman serta ketahanan luar biasa seorang ibu dalam menghadapi cabaran hidup dan menyelamatkan nyawa anaknya.
Catat Ulasan for "Kisah Ines Ramirez Perez: Wanita Luar Biasa yang Melakukan Pembedahan Caesarean ke Atas Dirinya Sendiri"