Kisah Jean Stevens: Wanita yang Tinggal Bersama Mayat Suami dan Saudara Kembarnya Selama Bertahun-Tahun

Pada tahun 2010, pihak berkuasa Pennsylvania, Amerika Syarikat menemui satu kes yang mengejutkan melibatkan seorang wanita berusia 91 tahun iaitu Jean Stevens yang telah tinggal bersama mayat suaminya dan saudara kembarnya selama bertahun-tahun tanpa sesiapa menyedari perkara itu.
Jean Stevens dilahirkan pada tahun 1918 dan membesar di kawasan luar bandar di Pennsylvania. Sejak kecil, dia mempunyai hubungan yang sangat erat dengan saudara kembarnya yang bernama June. Mereka membesar bersama, berkongsi segalanya dan hampir tidak pernah berpisah. Namun apabila dewasa, hidup mereka mula berbeza. Jean berkahwin dengan seorang lelaki bernama James Stevens manakala June memilih untuk tidak berkahwin. Walaupun telah berumah tangga, Jean tetap mengekalkan hubungan rapat dengan kembarnya dan mereka sering meluangkan masa bersama.

Kehidupan Jean bagaimanapun mula berubah apabila suaminya, James meninggal dunia pada tahun 2000 akibat usia tua. Waktu itu, Jean mengalami kesedihan yang mendalam dan tidak sanggup menerima hakikat bahawa insan yang paling dicintainya telah pergi. Perasaan sunyi dan kehilangan yang membelenggunya menyebabkan dia mengambil keputusan yang tidak masuk akal. Beberapa bulan selepas pengebumian suaminya, Jean semakin tertekan dengan idea bahawa James dibiarkan keseorangan di dalam tanah perkuburan yang gelap dan sejuk. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk menggali semula mayat suaminya dan membawanya pulang ke rumah. Menerusi bantuan seorang pekerja tanah perkuburan yang dikenalinya, Jean mengeluarkan mayat James lalu menyimpannya di dalam garaj rumahnya di dalam sebuah kotak kayu yang ditutup dengan kain.
Pada ketika ini, June masih hidup dan mengetahui bahawa saudara kembarnya telah membawa pulang mayat suaminya. Walau bagaimanapun, dia tidak melaporkan atau menghalang tindakan tersebut. Mungkin kerana June tidak mahu menambah penderitaan emosi kepada Jean atau mungkin dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menangani situasi tersebut. Cuma tidak lama selepas itu, June sendiri meninggal dunia pada tahun 2009 ketika berusia 91 tahun. Kehilangan June memberi tamparan yang lebih hebat kepada Jean kerana dia bukan sahaja kehilangan suami malah satu-satunya insan yang paling dekat dengannya sejak kecil.

Jean sekali lagi berasa dia tidak boleh membiarkan orang tersayangnya ditinggalkan di dalam tanah perkuburan. Menggunakan cara yang sama, dia menggali semula mayat June dan membawanya pulang ke rumah. Kali ini, dia tidak meletakkan mayat itu di garaj seperti suaminya. Jean sebaliknya menyediakan sebuah bilik khas di dalam rumahnya untuk saudara kembarnya. Dia menyusun bilik itu seolah-olah June masih hidup yakni dengan katil yang rapi, pakaian yang bersih dan persekitaran yang selesa.
Jean tinggal bersama dua mayat ini selama bertahun-tahun tanpa sesiapa menyedarinya. Dia sering bercakap dengan mereka, merapikan pakaian mereka dan memastikan mereka kelihatan "terjaga". Bagi Jean, memastikan suami dan saudara kembarnya berada di rumah membuatkan dia tidak rasa sunyi atau keseorangan. Walaupun kedua-dua mayat ini tidak diawet, keadaan mereka masih terpelihara kerana suhu rumah yang sejuk dan persekitaran yang kering membantu memperlahankan pereputan.
Rahsia Jean akhirnya terbongkar pada tahun 2010 apabila seorang individu yang mengenali keluarganya berasa curiga dan membuat laporan kepada pihak berkuasa. Semasa polis datang untuk menyiasat, mereka terkejut apabila menemui dua mayat yang sudah mengering tetapi masih dalam keadaan baik dengan satu di dalam garaj dan satu lagi di dalam rumah. Jean tidak cuba melarikan diri atau menyembunyikan apa-apa. Jean dengan tenang menjelaskan bahawa dia melakukan semua ini kerana terlalu menyayangi mereka dan tidak mahu mereka ditinggalkan di dalam tanah perkuburan yang gelap.

Meskipun menyimpan mayat adalah perbuatan yang melanggar undang-undang, pihak berkuasa tidak mengenakan hukuman berat ke atas Jean kerana mereka mendapati dia tidak mempunyai niat jenayah. Kes ini dilihat lebih kepada masalah psikologi dan kesedihan melampau daripada satu jenayah kejam. Mayat suaminya dan saudara kembarnya akhirnya diambil dan dikebumikan semula dengan cara yang lebih sewajarnya. Pihak berkuasa juga memastikan bahawa Jean mendapat bantuan dan pemantauan yang sewajarnya supaya dia tidak mengalami tekanan emosi yang lebih teruk selepas kehilangan mereka buat kali kedua.
Dalam dunia psikologi, ada beberapa kemungkinan yang boleh menjelaskan tindakaan Jean. Antaranya ialah Gangguan Kesedihan Berpanjangan (Prolonged Grief Disorder) di mana seseorang tidak dapat menerima kehilangan orang tersayang dan terus bertindak seolah-olah mereka masih ada. Selain itu, Jean juga mungkin mengalami Thanatophobia iaitu ketakutan terhadap kematian atau pengebumian. Dia membenci idea tanah perkuburan dan merasa lebih selesa jika orang tersayang "bersamanya". Ada juga kemungkinan bahawa dia mengalami Necromania iaitu obsesi untuk berada dekat dengan mayat biarpun tidak sampai ke tahap necrophilia.
Catat Ulasan for "Kisah Jean Stevens: Wanita yang Tinggal Bersama Mayat Suami dan Saudara Kembarnya Selama Bertahun-Tahun"