Kisah Joji Obara : Perogol Bersiri Paling Kejam Jepun – Lebih 400 Mangsa

Joji Obara ialah seorang perogol bersiri dan pembunuh yang beroperasi di Jepun pada tahun 1990-an hingga awal 2000-an. Dia terkenal kerana keterlibatannya dalam kes pembunuhan Lucie Blackman iaitu seorang wanita Britain yang hilang secara misteri di Tokyo pada tahun 2000. Selain itu, dia juga disabitkan bersalah atas kematian Carita Ridgway, seorang pramugari dari Australia serta ratusan serangan seksual terhadap wanita lain. Kesnya bukan sahaja menggemparkan Jepun tetapi turut mendapat perhatian antarabangsa sehingga mencetuskan perdebatan mengenai kelemahan sistem perundangan Jepun dalam menangani jenayah terhadap wanita terutamanya wanita asing.
Bercerita tentang latar belakang Joji Obara, dia dilahirkan pada tahun 1952 dalam sebuah keluarga kaya keturunan Korea di Jepun. Dia mendapat pendidikan tinggi dan menjalani kehidupan mewah tetapi di sebalik imejnya sebagai seorang ahli perniagaan berjaya, dia sebenarnya seorang pemangsa seksual yang licik. Joji sering menjadikan wanita asing sebagai mangsanya, terutamanya mereka yang bekerja sebagai pelayan di kelab malam di Tokyo. Dia menggunakan kekayaannya untuk memikat mangsa dengan janji kemewahan sebelum menjerat mereka ke dalam perangkapnya.

Joji menggunakan taktik yang sama dalam hampir semua jenayahnya. Dia akan mengajak wanita-wanita ini keluar dengan menjanjikan mereka hadiah mahal atau pengalaman eksklusif seperti makan malam di tempat mewah atau percutian peribadi. Setelah berjaya menarik perhatian mangsa, Joji akan mencampurkan dadah ke dalam minuman mereka hingga menyebabkan mereka tidak sedarkan diri. Sesudah itu, dia akan memperkosa mereka dan merakam perbuatannya menggunakan kamera video.
Semasa siasatan dijalankan, pihak berkuasa menemui ratusan pita rakaman di rumahnya yang menunjukkan dia memperkosa wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri. Ini membuktikan bahawa jenayahnya telah berlaku selama bertahun-tahun tanpa dikesan. Polis Jepun menganggarkan bahawa jumlah sebenar mangsa rogol Joji melebihi 400 orang sekaligus menjadikannya salah seorang pemangsa seksual paling prolifik dalam sejarah moden Jepun.

Salah satu kes yang menyebabkan tertangkapnya Joji ialah kehilangan dan pembunuhan Lucie Blackman, seorang wanita Britain yang bekerja di sebuah kelab malam di kawasan hiburan terkenal di Tokyo, Roppongi. Pada 1 Julai 2000, Lucie memberitahu rakan serumahnya bahawa dia akan keluar bersama seorang pelanggan kaya yang menjanjikan pengalaman eksklusif. Namun selepas hari itu, dia tidak pernah pulang. Kehilangannya menarik perhatian dunia dan bapanya yang bernama Tim Blackman telah melakukan kempen besar-besaran untuk mencari anaknya termasuk mendapatkan perhatian Perdana Menteri Britain ketika itu, Tony Blair. Selepas tujuh bulan pencarian, mayat Lucie akhirnya ditemui dalam sebuah gua berhampiran pantai Miura dalam keadaan yang mengerikan di mana mayatnya itu dikerat dan disimen. Walaupun semua bukti menunjukkan bahawa Joji bertanggungjawab atas kematian Lucie, mahkamah pada mulanya tidak dapat menyabitkannya dengan pembunuhan kerana kekurangan bukti.
Lapan tahun sebelum kes Lucie Blackman, Joji didakwa telah menyebabkan kematian seorang wanita lain yang dikenali sebagai Carita Ridgway, seorang pramugari dari Australia. Carita ditemui dalam keadaan kritikal setelah mengalami kegagalan hati akibat jangkitan virus yang dipercayai berpunca daripada suntikan dadah yang diberikan oleh Joji. Dia meninggal dunia tidak lama kemudian. Berbeza dengan kes Lucie di mana dalam kes ini, pihak berkuasa mempunyai bukti kukuh bahawa Joji telah mencampurkan dadah dalam minuman Carita sebelum memperkosanya.

Selepas kehilangan Lucie Blackman, polis mula menyiasat latar belakang Joji dengan lebih mendalam. Mereka menemui bukti kukuh yang menunjukkan dia telah menyerang ramai wanita lain. Pada tahun 2000, dia akhirnya ditangkap dan didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk jenayah rogol, penyeksaan seksual dan pembunuhan.
Pada tahun 2007, Mahkamah Jepun menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Joji atas jenayah rogol terhadap lapan wanita dan atas kematian Carita Ridgway. Dia bagaimanapun pada awalnya dibebaskan daripada tuduhan membunuh Lucie Blackman kerana tiada bukti langsung yang mengesahkan dia membunuhnya. Keputusan ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan keluarga Lucie dan masyarakat antarabangsa. Namun pada tahun 2008, Mahkamah Rayuan Jepun mengubah keputusan tersebut dan menyabitkan Joji bersalah atas jenayah berkaitan dengan kematian Lucie Blackman. Walaupun begitu, butiran spesifik mengenai bagaimana Lucie dibunuh masih tidak dapat dipastikan sepenuhnya. Percubaan Joji untuk merayu keputusan tersebut ditolak oleh Mahkamah Agung Jepun pada tahun 2012, sekaligus mengekalkan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan kepadanya. Sejak itu, Joji terus menjalani hukuman penjara tanpa kemungkinan pembebasan.
Catat Ulasan for "Kisah Joji Obara : Perogol Bersiri Paling Kejam Jepun – Lebih 400 Mangsa"