Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Keluarga Chalifoux : Ibu Bapa yang Terpaksa Menjual Anak-Anak Demi Kelangsungan Hidup


    Pada tahun 1948, sebuah kisah yang memilukan telah berlaku di Amerika Syarikat apabila sepasang suami isteri terpaksa menjual anak-anak mereka akibat kemiskinan yang melampau. Peristiwa ini mendapat perhatian dunia selepas sebuah gambar yang menunjukkan empat orang anak kecil duduk di tangga rumah dengan papan tanda bertuliskan "4 Anak Untuk Dijual" tersebar luas. Gambar tersebut  menggambarkan betapa terdesaknya sesetengah keluarga akibat kemelesetan ekonomi pada waktu itu hingga sanggup mengambil keputusan yang tidak dapat dibayangkan oleh kebanyakan ibu bapa.

     Pasangan Ray dan Lucille Chalifoux tinggal di Chicago bersama anak-anak mereka. Ray bekerja sebagai buruh tetapi pendapatannya tidak mencukupi untuk menyara keluarga yang semakin membesar. Lucille pula merupakan suri rumah sepenuh masa yang menjaga anak-anak mereka di rumah. Selepas Perang Dunia Kedua di mana keadaan ekonomi Amerika Syarikat masih tidak stabil telah menyebabkan ramai keluarga jatuh miskin selain terpaksa berjuang untuk mendapatkan makanan serta tempat berteduh. Malangnya keluarga Chalifoux adalah salah satu daripada mereka yang terpaksa menghadapi tekanan hidup yang sangat dahsyat.

     Tekanan semakin memuncak apabila Ray kehilangan pekerjaannya. Mereka mula bergelut dengan hutang dan tidak mampu membayar sewa rumah. Akibatnya, tuan rumah mengambil keputusan untuk mengusir mereka sekeluarga. Disebabkan tidak mempunyai tempat tinggal dan wang untuk meneruskan kehidupan, pasangan ini akhirnya mengambil keputusan drastik untuk menjual anak-anak mereka kepada keluarga lain dengan harapan anak-anak itu akan mendapat kehidupan yang lebih baik. 


    Sebuah gambar yang dirakam pada tahun 1948 menjadi bukti betapa terdesaknya keluarga ini. Dalam gambar itu, empat orang anak pasangan Chalifou iaitu Lana (6 tahun), Rae (5 tahun), Milton (4 tahun) dan Sue Ellen (2 tahun) sedang duduk di tangga rumah mereka dengan wajah yang sugul. Di hadapan mereka, terdapat papan tanda bertulis"4 Anak Untuk Dijual" (4 Children for Sale). Gambar ini mencetuskan pelbagai reaksi dengan ada yang bersimpati dan ada juga yang mengecam tindakan ibu bapa mereka. Tidak lama selepas gambar ini tersebar, beberapa keluarga datang menawarkan diri untuk mengambil anak-anak tersebut sebagai anak angkat. Dalam tempoh dua tahun selepas gambar tersebut diambil, keempat-empat mereka telah dijual dan dipisahkan antara satu sama lain.

     Ramai yang menyangka bahawa selepas dijual, anak-anak ini akan mendapat kehidupan yang lebih baik bersama keluarga angkat mereka. Walau bagaimanapun, realiti yang mereka hadapi jauh lebih menyedihkan. Sebahagian daripada mereka dibesarkan dalam persekitaran yang penuh dengan penderaan dan pengabaian. Misalnya Milton dan Sue Ellen telah diambil oleh pasangan yang tidak mempunyai anak. Namun mereka bukannya diberikan kasih sayang yang sewajarnya sebaliknya mereka mengalami penderaan fizikal dan emosi. Begitu juga dengan Rae yang ditempatkan di bawah jagaan keluarga yang tidak benar-benar menginginkannya dan membesar dalam keadaan terabai. Lana pula terpisah sepenuhnya daripada adik-beradiknya dan menjalani kehidupan yang penuh dengan kesukaran.

     Walaupun pasangan Chalifou berharap anak-anak mereka akan mendapat kehidupan yang lebih baik, hakikatnya mereka dibesarkan dengan pelbagai trauma akibat perpisahan dan penderitaan yang dialami. Bertahun-tahun kemudian, ada antara mereka yang berjaya bertemu semula selepas berdekad-dekad terpisah. Luka emosi mereka akibat perpisahan itu bagaimanapu. sukar untuk disembuhkan. Mereka membesar dengan kenangan pahit dan persoalan yang tidak pernah terjawab yakni mengapa mereka dijual?

     Hingga pada hari ini, gambar "4 Anak Untuk Dijual" masih dikenang sebagai salah satu bukti sejarah yang menggambarkan keperitan hidup yang dialami oleh sesetengah keluarga pada era kemelesetan ekonomi. Kesilapan yang dilakukan oleh keluarga Chalifoux mungkin sukar diterima tetapi harus diakui hakikat bahawa manusia boleh mengambil keputusan yang di luar jangkaan apabila berada dalam keadaan yang terdesak. Kisah ini mengingatkan kita tentang pentingnya sistem sokongan sosial bagi membantu keluarga miskin agar tragedi seperti ini tidak berulang.

Catat Ulasan for "Kisah Keluarga Chalifoux : Ibu Bapa yang Terpaksa Menjual Anak-Anak Demi Kelangsungan Hidup"