Kisah kematian Bayi Jeong-in yang Benar-Benar Menyedihkan

Jeong-in dilahirkan pada 10 Jun 2019 dan telah diambil sebagai anak angkat oleh pasangan yang dikenali sebagai Jang Hayeong dan Ahn Sungeun pada Februari 2020 ketika berusia lapan bulan. Pasangan ini yang sudah mempunyai seorang anak perempuan kandung berusia empat tahun menyatakan hasrat untuk memberikan seorang adik kepada anak mereka. Mereka lulus semua proses saringan termasuk ujian psikologi sebelum dibenarkan mengambil Jeong-in sebagai anak angkat. Waktu tersebut, Jeong-in berada dalam keadaan sihat dengan berat badan yang normal sekitar 8.5 kg. Namun selepas berada dalam jagaan keluarga angkatnya itu, kehidupan Jeong-in berubah menjadi mimpi ngeri.
Ibu angkat Jeong-in iaitu Jang Hayeong lahir pada 4 November 1986. Dia merupakan graduan Universiti Global Handong dan berasal daripada keluarga yang berpengaruh dalam komuniti gereja. Bapanya, Jang Young-Gil adalah seorang pastor di Gereja Yangdeok Pohang Disciples, manakala ibunya, Jang Eunhee, memiliki sebuah pusat jagaan harian yang bernaung di bawah gereja tersebut. Sementara itu, bapa angkat Jeong-in, Ahn Sungeun, lahir pada 18 Jun 1984. Dia juga merupakan graduan Universiti Global Handong dan bekerja sebagai wartawan di CBS (Christian Broadcasting System), sebuah rangkaian media berteraskan agama Kristian di Korea Selatan. Ahn turut berasal daripada keluarga yang dihormati dalam komuniti gereja. Bapanya, Ahn Hee-Gil, adalah seorang pastor di Gereja Baptist Andong, Gyeonbuk.

Sejak berada dalam jagaan pasangan ini, Jeong-in mengalami penderaan fizikal yang semakin teruk. Berdasarkan laporan perubatan dan siasatan pihak berkuasa, penderaan yang dialami oleh Jeong-in termasuk dipukul serta ditendang secara berulang kali oleh Jang selain dibiarkan kelaparan sehingga berat badannya susut dengan ketara, mengalami patah tulang, lebam di seluruh badan dan terdapat kecederaan dalaman yang serius. Menurut siasatan, Jang sering melepaskan kemarahannya terhadap Jeong-in. Dia pernah merakamkan dirinya menyuruh bayi itu berdiri di tempat duduk kereta tanpa sokongan sebagai hukuman. Ahn pula mengetahui penderaan yang dilakukan isterinya tetapi hanya membiarkan tanpa sebarang tindakan.
Hasil bedah siasat yang dilakukan selepas kematian Jeong-in menunjukkan bahawa dia mengalami pelbagai kecederaan serius akibat penderaan fizikal berulang kali. Antara kecederaan yang paling ketara ialah koyakan besar pada hati akibat hentakan kuat yang akhirnya menjadi punca utama kematiannya. Doktor forensik mengesahkan bahawa kecederaan ini setara dengan kesan rempuhan kemalangan jalan raya yang kuat. Selain itu, terdapat lebih daripada 16 tulang yang patah termasuk tulang rusuk, tulang selangka dan tulang belakang yang menunjukkan bahawa dia telah didera dalam tempoh yang lama sebelum kematiannya. Beberapa kecederaan tulang telah sembuh separa menandakan bahawa bayi ini dipukul secara berulang kali sebelum ini tanpa rawatan perubatan.

Selain kecederaan dalaman yang parah, tubuh kecil Jeong-in juga dipenuhi lebam-lebam yang jelas kelihatan pada lengan, kaki, punggung dan wajahnya. Beberapa lebam ini menunjukkan kesan tekanan yang kuat yang dipercayai akibat dicekik atau ditekan dengan objek keras. Pakar juga mendapati kesan luka pada bahagian perut dan kaki yang menandakan dia mungkin telah diseret atau diheret di permukaan kasar. Perutnya yang buncit juga merupakan petanda bahawa dia mengalami kekurangan zat makanan yang teruk kerana tubuhnya tidak mendapat nutrisi mencukupi dalam tempoh yang panjang. Berat badannya pada waktu kematian hanyalah sekitar 6 kg yakni jauh lebih rendah daripada purata bayi seusianya sekaligus membuktikan bahawa dia telah dibiarkan kelaparan dalam tempoh yang lama.

Sebelum kematian Jeong-in, terdapat tiga laporan berasingan yang dibuat kepada pihak polis oleh individu yang mengesyaki bahawa bayi itu sedang didera. Laporan pertama dibuat oleh guru tadika Jeong-in yang menyedari kesan lebam mencurigakan pada badannya. Walau bagaimanapun, polis menerima penjelasan daripada ibu angkatnya yang mengatakan bahawa lebam itu disebabkan oleh kejatuhan biasa dan tiada tindakan lanjut diambil. Laporan kedua dibuat oleh seorang jiran yang mendengar tangisan kuat dan melihat Jeong-in dalam keadaan lemah dan tidak bermaya. Pihak polis sekali lagi hanya memberi amaran tanpa menyiasat lebih lanjut. Laporan ketiga dibuat oleh seorang pakar pediatrik yang memeriksa Jeong-in dan mengesyaki penderaan berdasarkan kecederaan yang dialami. Namun tiada tindakan konkrit diambil dan Jeong-in terus berada dalam jagaan ibu bapa angkatnya. Kegagalan pihak berkuasa untuk bertindak lebih awal menyebabkan penderaan terhadap Jeong-in berterusan akhirnya membawa kepada kematiannya.


Pada 13 Oktober 2020, penderaan terhadap Jeong-in mencapai kemuncaknya. Bayi malang tersebut mengalami hentakan kuat pada perutnya hingga menyebabkan hati koyak dan pendarahan dalaman yang parah. Ketika dihantar ke hospital, Jeong-in sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami serangan jantung. Pasukan perubatan cuba menyelamatkannya tetapi selepas 40 minit usaha resusitasi, dia disahkan meninggal dunia.
Berita kematian Jeong-in mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan masyarakat Korea Selatan. Rakyat bangkit menuntut keadilan dengan melancarkan kempen media sosial #SorryJeongIn yang menjadi viral. Selebriti K-pop dan tokoh terkenal turut menyuarakan kemarahan mereka dan mendesak hukuman berat dikenakan terhadap ibu bapa angkatnya. Protes jalanan diadakan bagi menuntut perubahan dalam undang-undang perlindungan kanak-kanak agar kes serupa tidak berulang.
.jpg)
Pada 14 Mei 2021, mahkamah menjatuhkan hukuman terhadap pasangan tersebut. Jang Hayeong dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tuduhan pembunuhan dan penderaan kanak-kanak manakala Ahn Sungeun dikenakan hukuman lima tahun penjara atas tuduhan mengabaikan dan membiarkan penderaan berlaku. Namun pada 26 November 2021, hukuman Jang dikurangkan kepada 35 tahun penjara dalam rayuan mahkamah. Perkara ini menimbulkan kemarahan masyarakat yang berpendapat hukuman tersebut terlalu ringan. Pada 28 April 2022, Mahkamah Agung Korea Selatan mengesahkan hukuman itu, menamatkan proses perundangan kes ini.
Catat Ulasan for "Kisah kematian Bayi Jeong-in yang Benar-Benar Menyedihkan"