Kisah Lisa Nowak: Cinta, Cemburu dan Jenayah Seorang Angkasawan

Lisa Nowak ialah seorang bekas angkasawan NASA dan pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat yang pernah dianggap sebagai wanita berprestasi tinggi dalam bidang aeroangkasa. Namun pada tahun 2007, namanya menjadi tajuk utama media di seluruh dunia bukan disebabkan pencapaian luar biasa tetapi kerana skandal jenayah yang mengejutkan ramai.
Lisa Nowak yang lahir pada tahun 1963 ialah seorang jurutera aeroangkasa dengan mempunyai latar belakang akademik dan kerjaya yang sangat cemerlang. Dia memperoleh ijazah dalam bidang kejuruteraan dan menyertai Tentera Laut Amerika Syarikat sebagai pegawai. Pada tahun 1996, dia telah dipilih untuk menyertai NASA sebagai angkasawan dan menjadi salah seorang wanita yang dihormati dalam program angkasa lepas.
Pada tahun 2006, Lisa diberi peluang untuk menyertai misi STS-121 sebagai pakar misi dalam kapal angkasa Discovery. Misi ini adalah pengalaman impiannya sebagai angkasawan. Cuma di sebalik kejayaannya di angkasa lepas, kehidupan peribadi Lisa berada dalam keadaan yang rapuh. Dia sudah berkahwin dengan Richard Nowak dan mempunyai tiga orang anak tetapi perkahwinan mereka semakin goyah. Pada masa yang sama, Lisa menjalinkan hubungan sulit dengan seorang juruterbang ujian dan angkasawan NASA yang dikenali sebagai William Oefelein.
William Oefelein bagaimanapun tidak begitu berminat dengan komitmen jangka panjang bersama Lisa. Selepas beberapa tahun berhubungan secara sulit, William mula beralih perhatian kepada wanita lain Colleen Shipman iaitu wanita berpangkat kapten dalam Tentera Udara Amerika Syarikat yang bekerja sebagai jurutera penerbangan.
Apabila Lisa mengetahui bahawa William telah mula menjalinkan hubungan dengan Colleen, dia menjadi sangat cemburu dan obses untuk mengetahui segala-galanya tentang wanita itu. Lisa tidak dapat menerima kenyataan bahawa William telah berpaling daripadanya. Keadaan ini mencetuskan ketegangan dalam hidup Lisa hingga menyebabkan dia mula mengalami tekanan emosi yang hebat. Rasa kecewa, cemburu, dan marah yang membuak-buak membuatkan Lisa nekad untuk berdepan dengan Colleen. Lisa berniat mahu menghapuskan Colleen daripada hidup William.

Pada 4 Februari 2007, Lisa mula merancang perjalanannya dari Houston, Texas ke Orlando, Florida. Dia tahu bahawa Colleen Shipman akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando pada keesokan harinya dan Lisa mahu menunggunya di sana. Lisa memandu seorang diri sejauh 1,400 kilometer tanpa henti. Bagi mengelakkan dirinya daripada perlu berhenti ke tandas, dia memakai lampin dewasa seperti yang digunakan oleh angkasawan dalam misi angkasa lepas. Perkara ini menunjukkan betapa obses dan nekadnya dia dalam usaha ini. Semasa dalam perjalanan, Lisa membawa pelbagai barang seperti pisau lipat, tukul, sarung tangan getah, getah plastik, beg plastik, dan penyembur lada. Lisa yang memakai topeng untuk mengelakkan dikenali sampai di Orlando pada 5 Februari 2007 di mana dia sudah bersedia untuk menyerang Colleen.
Setelah Colleen tiba di lapangan terbang, Lisa mengekorinya ke tempat letak kereta. Dia memakai baju gelap dan menyamar supaya Colleen tidak mengenalinya. Lisa cuba berpura-pura sebagai orang yang memerlukan pertolongan dan mengetuk tingkap kereta Colleen. Walau bagaimanapun, Colleen berasa curiga dan enggan membuka pintu. Lisa kemudian bertindak lebih agresif di mana dia cuba membuka pintu kereta lalu menghala penyembur lada ke arah Colleen. Mujur sajalah Colleen berjaya menghalang serangan itu dengan menutup tingkapnya tepat pada masanya dan segera memandu pergi untuk meminta pertolongan. Dia menelefon polis dan Lisa Nowak ditangkap di tempat kejadian.

Apabila polis memeriksa barang-barang yang dibawa oleh Lisa, mereka mendapati senarai perancangan, peta perjalanan serta semua senjata yang telah disediakan untuk serangan tersebut. Semua bukti ini menunjukkan bahawa dia telah merancang sesuatu yang lebih serius daripada sekadar menakut-nakutkan Colleen. Lisa pada mulanya didakwa dengan cubaan membunuh, cubaan menculik dan serangan dengan senjata berbahaya. Kes ini mengejutkan orang ramai kerana sebelum ini Lisa dikenali sebagai seorang yang cemerlang dalam kerjayanya.
Setelah proses perbicaraan, tuduhan cubaan membunuh digugurkan dan digantikan dengan tuduhan cubaan mencederakan serta pencerobohan. Pada tahun 2009, Lisa mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman satu tahun percubaan serta khidmat masyarakat.
Insiden ini merosakkan reputasi Lisa Nowak sepenuhnya. Dia dipecat daripada NASA dan Angkatan Laut AS turut menurunkan pangkatnya sebelum dia bersara secara paksa. Perkahwinannya juga berakhir dengan perceraian. Sementara itu, William Oefelein dan Colleen Shipman akhirnya berkahwin.
Catat Ulasan for "Kisah Lisa Nowak: Cinta, Cemburu dan Jenayah Seorang Angkasawan"