Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Megan Meier: Maut Akibat Buli Siber


     Megan Taylor Meier dilahirkan pada 6 November 1992 di Missouri, Amerika Syarikat. Sejak kecil, dia merupakan seorang remaja yang ceria tetapi sering berdepan dengan masalah kesihatan mental termasuk kemurungan dan gangguan kecemasan. Megan juga bergelut dengan masalah imej diri kerana sering berasa rendah diri terhadap berat badannya. Walaupun begitu, Megan tetap menjalani kehidupan seperti remaja biasa dengan sokongan keluarganya.  

     Pada tahun 2006 yakni ketika Megan berusia 13 tahun, dia mula menggunakan laman sosial MySpace iaitu sebuah platform yang popular dalam kalangan remaja pada waktu itu. Tidak lama kemudian, dia menerima permintaan rakan daripada seorang remaja lelaki yang dikenali sebagai Josh Evans. Josh digambarkan sebagai seorang remaja berusia 16 tahun yang tampan dan mesra. Megan serta-merta tertarik kepada Josh kerana dia memberikan perhatian dan sokongan emosi yang Megan dambakan. Mereka berbual setiap hari dengan berkongsi cerita dan membina hubungan persahabatan yang rapat dalam talian.


     Namun tanpa pengetahuan Megan, Josh Evans sebenarnya tidak wujud. Akaun tersebut adalah rekaan beberapa individu termasuk Lori Drew yang juga merupakan ibu kepada bekas rakan baik Megan. Motif di sebalik tindakan ini masih tidak jelas sepenuhnya tetapi ada spekulasi bahawa mereka mahu "mengajar Megan satu pengajaran" kerana masalah persahabatan antara Megan dan anak perempuan Lori. Pada awalnya, mereka hanya ingin bermain-main dengan perasaan Megan tetapi akhirnya situasi bertukar menjadi satu bentuk manipulasi emosi yang kejam.

     Selepas beberapa minggu berbual secara mesra, Josh tiba-tiba berubah sikap. Dia mula menghantar mesej-mesej kasar dan menghina Megan. Kata-kata yang dahulunya bersifat manis bertukar menjadi sindiran dan kutukan yang melukakan hati. Contoh  mesej yang dihantar ialah "Kau bukan sesiapa pun di dunia ini", "Tiada siapa yang sukakan kau" dan "Kau cuma beban kepada orang lain". Kemuncaknya, Josh menghantar satu mesej yang berbunyi, "Dunia ini akan menjadi tempat yang lebih baik tanpa kau." Kata-kata tersebut memberi tamparan hebat kepada Megan yang sememangnya sudah bergelut dengan kemurungan dan isu harga diri.


    Pada 16 Oktober 2006, Megan mengambil keputusan yang tragis selepas membaca mesej tersebut. Dia mengurung diri di biliknya lalu menggantung diri di dalam almari pakaian. Ibunya, Tina Meier yang menemui Megan dalam keadaan tidak sedarkan diri, segera membawanya ke hospital. Selepas sehari bertarung nyawa, Megan meninggal dunia pada 17 Oktober 2006 yang hanya beberapa minggu sebelum ulang tahunnya yang ke-14. Kehilangan Megan memberikan tamparan hebat kepada keluarganya yang sebelum itu tidak menyangka bahawa Megan telah menjadi mangsa buli siber yang begitu dahsyat.

     Setelah kematiannya, keluarga Megan menyangka bahawa dia telah dibuli oleh seorang remaja lelaki sebenar. Selepas beberapa bulan menyiasat, mereka mendapat tahu bahawa Josh Evans hanyalah akaun rekaan yang diwujudkan oleh Lori Drew dan beberapa individu lain. Pendedahan ini mengejutkan ramai pihak terutama sekali kerana individu yang bertanggungjawab ke atas manipulasi Megan adalah seorang dewasa dan bukan remaja sebaya dengannya.


     Kes ini mendapat perhatian meluas di seluruh Amerika Syarikat dan masyarakat menuntut keadilan untuk Megan. Lori Drew akhirnya dibawa ke mahkamah pada tahun 2008. Berikutan tiada undang-undang khusus yang mengawal kes siber buli waktu itu, Lori tidak boleh didakwa atas pembunuhan atau kesalahan secara langsung yang menyebabkan kematian Megan. Dia sebaliknya hanya didakwa atas kesalahan akses komputer tanpa kebenaran di bawah Computer Fraud and Abuse Act. Walaupun dia pada mulanya disabitkan bersalah, keputusan tersebut kemudian dibatalkan selepas rayuan sekaligus menyebabkan ramai pihak kecewa kerana percaya bahawa tindakan Lori secara langsung membawa kepada kematian Megan.


     Kes Megan ini membawa kepada perubahan dalam sistem perundangan termasuk pengenalan Undang-Undang Megan Meier di beberapa negeri di Amerika Syarikat yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang melakukan buli dalam talian. Hari ini, warisan Megan diteruskan melalui usaha ibunya, Tina Meier yang menubuhkan The Megan Meier Foundation, sebuah organisasi yang memberi kesedaran tentang bahaya buli siber dan menyokong mangsa buli di seluruh dunia.

Catat Ulasan for "Kisah Megan Meier: Maut Akibat Buli Siber"