Kisah Miyuki Ishikawa: Bidan Syaitan yang Membunuh Ratusan Bayi

Miyuki Ishikawa ialah seorang bidan di Jepun yang menjadi terkenal kerana terlibat dalam salah satu jenayah pembunuhan bayi paling kejam dalam sejarah negara itu. Dia bersama dengan rakan subahatnya dipercayai bertanggungjawab atas kematian ratusan bayi di Tokyo pada tahun 1940-an. Kes ini bukan sahaja mendedahkan kelemahan sistem perundangan Jepun pada ketika itu tetapi juga mencetuskan perdebatan besar mengenai hak asasi kanak-kanak serta tanggungjawab masyarakat terhadap bayi yang dilahirkan dalam keadaan miskin dan tidak diingini.
Bercerita tentang latar belakang Miyuki Ishikawa, dia yang dilahirkan di Jepun pada tahun 1897 merupakan seorang wanita yang berpendidikan tinggi berbanding kebanyakan wanita lain pada zamannya. Miyuki mendapat pendidikan dalam bidang kebidanan dan akhirnya bekerja sebagai seorang bidan di sebuah hospital bersalin di Tokyo. Pada waktu tersebut, sistem kebajikan Jepun masih belum maju di mana tiada perlindungan khusus bagi bayi yang dilahirkan dalam keluarga miskin atau ibu tunggal yang tidak mampu membesarkan anak mereka.

Keadaan ini bertambah buruk selepas Perang Dunia Kedua apabila Jepun mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk. Ramai keluarga hidup dalam kemiskinan serta menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan serta keperluan asas. Dalam situasi ini, kelahiran bayi sering dianggap sebagai beban yang tidak mampu ditanggung oleh ibu bapa yang terdesak. Disebabkan kesusahan hidup, ramai ibu terpaksa meninggalkan bayi mereka di hospital atau menyerahkannya kepada orang lain dengan harapan mereka dapat membesar dalam keadaan lebih baik.
Miyuki sebagai seorang bidan yang berpengalaman Ishikawa menyaksikan sendiri kesengsaraan keluarga-keluarga ini. Walau bagaimanapun, Miyuki bukannya berusaha mencari penyelesaian yang lebih baik, dia sebaliknya mengambil jalan mudah dengan membiarkan bayi-bayi yang tidak diingini mati secara perlahan-lahan. Pada awalnya, tindakan Miyuki mungkin didorong oleh pemikiran bahawa dia sedang membantu ibu bapa yang tidak berupaya. Namun lama-kelamaan, perbuatannya berkembang menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.

Miyuki pun mula menjalankan operasi haramnya dengan bantuan suaminya iaitu Takeshi Ishikawa dan seorang doktor bernama Shiro Nakayama. Pada mulanya, Miyuki hanya membiarkan bayi-bayi itu mati akibat kelaparan dan kekurangan penjagaan perubatan. Cuma apabila Miyuki menyedari bahawa ramai ibu bapa sebenarnya bersedia membayar untuk menyingkirkan anak mereka, dia mula mengenakan bayaran bagi "perkhidmatan" ini.
Miyuki dan suaminya meminta wang daripada ibu bapa yang tidak mahu menjaga anak mereka dengan alasan bahawa membayar sejumlah wang adalah lebih murah berbanding membesarkan anak tersebut dalam kemiskinan. Mereka berdua memanipulasi ibu bapa yang terdesak dan meyakinkan mereka bahawa ini adalah satu penyelesaian terbaik. Menerusi bantuan Dr. Shiro Nakayama, mereka juga memalsukan sijil kematian bayi-bayi tersebut untuk mengelakkan kecurigaan pihak berkuasa.
Sepanjang tempoh beberapa tahun, Miyuki dan rakan suhabatnya itu dipercayai telah membunuh sekurang-kurangnya 103 bayi tetapi jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi dengan berkemungkinan mencecah lebih daripada 200 bayi. Mayat-mayat bayi yang tidak dikebumikan dengan sempurna akhirnya menjadi bukti yang membawa kepada pendedahan jenayah mereka.

Jenayah Miyuki akhirnya terbongkar pada tahun 1948 apabila dua orang pegawai polis yang sedang membuat rondaan secara tidak sengaja menemui beberapa mayat bayi di daerah Shinjuku, Tokyo. Keadaan mayat-mayat tersebut yang membusuk dan dibuang tanpa sebarang urusan pengebumian yang betul menimbulkan kecurigaan. Penemuan ini mencetuskan penyiasatan yang lebih mendalam. Pihak polis kemudian menemui lebih banyak mayat bayi di beberapa lokasi lain termasuk di rumah pengebumian yang digunakan untuk menyimpan mayat sebelum dibakar. Siasatan lanjut membawa kepada penemuan bukti bahawa semua bayi ini mati akibat pengabaian yang disengajakan. Apabila polis menyiasat rekod hospital bersalin, mereka mendapati jumlah kematian bayi yang luar biasa tinggi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Hingga pada akhirnya, Miyuki, Takeshi dan Dr. Shiro pun ditangkap. Ketiga-tiga mereka didakwa atas jenayah pembunuhan bayi secara besar-besaran. Walaupun jenayah mereka amat kejam, hukuman yang dikenakan terhadap Miyuki adalah sangat ringan. Pada tahun 1949, mahkamah menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara ke atasnya. Hukuman itu bagaimanapun dikurangkan kepada empat tahun sahaja hasil rayuan daripada pihak Miyuki. Sementara itu, Takeshi dan Dr. Shiro turut menerima hukuman yang lebih ringan daripada jangkaan meskipun mereka terlibat secara langsung dalam konspirasi ini.
Susulan kes ini, kerajaan Jepun mula menggubal undang-undang yang lebih ketat bagi melindungi bayi dan kanak-kanak daripada pengabaian serta penderaan. Walaupun telah berlalu lebih tujuh dekad, jenayah Miyuki Ishikawa kekal sebagai salah satu kes pembunuhan bayi paling kejam dalam sejarah Jepun.
Catat Ulasan for "Kisah Miyuki Ishikawa: Bidan Syaitan yang Membunuh Ratusan Bayi"