Kisah Nasen Saadi: Pelajar Kriminologi yang Menjadi Pembunuh

Pada 28 Mac 2025, seorang pelajar kriminologi iaitu Nasen Saadi telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 39 tahun selepas didapati bersalah atas pembunuhan Amie Gray dan cubaan membunuh Leanne Miles dalam serangan kejam di pantai Bournemouth, Dorset, England.
Pada malam 24 Mei 2024, Amie Gray yang juga merupakan seorang jurulatih peribadi berusia 34 tahun bersama rakannya Leanne Miles sedang duduk di tepi api di pantai Durley Chine untuk menikmati suasana malam. Suasana yang tenang tersebut bagaimanapun bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Nasen Saadi tiba-tiba menyerang mereka dengan senjata tajam. Amie Gray ditikam sebanyak sepuluh kali termasuk satu tikaman yang menembusi jantungnya hingga menyebabkannya maut serta-merta di tempat kejadian. Sementara itu, Leanne Miles menerima lebih daripada dua puluh luka tikaman tetapi bernasib baik kerana berjaya bertahan dan mendapatkan bantuan. Selepas melakukan serangan kejam itu Saadi telah melarikan diri. Walau bagaimanapun, dia akhirnya berjaya ditangkap selepas siasatan rapi oleh pihak berkuasa.

Apa yang lebih mengejutkan adalah latar belakang Nasen Saadi sebagai seorang pelajar kriminologi. Dia yang berasal dari Croydon, London Selatan bukan sekadar mempelajari teori dan analisis kes jenayah tetapi mengambil pendekatan yang lebih obsesif seolah-olah ingin memahami jenayah dari perspektif pelaku. Saadi sering mengumpul pisau bukan sebagai koleksi biasa tetapi lebih kepada satu bentuk pemujaan terhadap senjata tajam. Dia mempunyai minat luar biasa terhadap keganasan bersenjata selain pernah menunjukkan kepada rakan-rakannya jumlah pisau yang dikumpulnya dengan penuh rasa bangga. Selain itu, Saadi juga sering menonton filem seram dan dokumentari jenayah yang memperincikan teknik pembunuhan, cara pembunuh bersiri melaksanakan jenayah mereka serta bagaimana mereka mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa. Selain tingkah laku obsesifnya terhadap jenayah, Saadi juga menggunakan nama samaran "Ninja Killer" di akaun Snapchatnya. Nama itu sendiri menggambarkan kecenderungannya terhadap pembunuhan dan dia dipercayai menggunakan platform media sosial tersebut untuk berkongsi pemikirannya yang gelap. Beberapa orang rakan Saadi menyatakan bahawa dia sering bercakap mengenai bagaimana membunuh seseorang tanpa meninggalkan bukti dan menyuarakan ideanya tentang jenayah yang sempurna. Ada juga yang melaporkan bahawa Saadi suka berbincang mengenai kes-kes pembunuhan terkenal termasuk pembunuh bersiri yang paling sukar ditangkap dalam sejarah.

Siasatan pihak berkuasa selepas penangkapannya mendedahkan bahawa Saadi telah melakukan pelbagai penyelidikan berkaitan jenayah pada waktu sebelum kejadian. Dia bukan sahaja mencari maklumat mengenai kes-kes pembunuhan terkenal dan bagaimana pelaku meloloskan diri tetapi juga mengkaji lokasi-lokasi terpencil yang sesuai untuk melakukan jenayahnya tanpa dikesan. Pihak polis turut menemui sejarah carian internetnya yang menunjukkan bahawa Saadi telah mencari teknik pembunuhan yang boleh membunuh mangsa dengan cepat dan senyap. Lebih menakutkan lagi, Saadi pernah menyoal pensyarahnya mengenai cara untuk mengelak daripada dikesan selepas melakukan pembunuhan. Dalam satu sesi perbincangan di kelas, dia mengajukan soalan yang pelik dan mencurigakan seperti, "Jika seseorang melakukan jenayah di kawasan yang tidak mempunyai kamera pengawasan, apakah kemungkinan polis dapat mengesannya?". Saadi juga pernah bertanya kepada seorang pensyarah tentang bagaimana DNA boleh dimanipulasi atau dihapuskan supaya tidak dapat dikesan di tempat kejadian. Salah seorang pensyarahnya pernah bergurau dengan bertanya, "Anda tidak merancang pembunuhan, bukan?"

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa raya menggambarkan Saadi sebagai seorang individu yang kejam dan tidak menunjukkan sebarang penyesalan terhadap perbuatannya. Hakim Mrs Justice Cutts ketika menjatuhkan hukuman menyatakan bahawa Saadi mempunyai rasa tidak puas hati terhadap masyarakat secara keseluruhan terutama terhadap wanita. Hakim turut menyifatkan Saadi sebagai seorang lelaki muda yang sangat berbahaya dan akan kekal begitu sepanjang hayatnya. Maka dengan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 39 tahun. Ini bermakna Saadi hanya boleh memohon parol apabila usianya mencecah 60 tahun.
Sementara itu, kematian Amie Gray memberikan kesan mendalam kepada keluarganya dan masyarakat setempat. Keluarga mangsa menyatakan bahawa Amie adalah seorang yang sangat bermakna kepada ramai orang, dan kehilangannya merupakan satu kehilangan besar.
Catat Ulasan for "Kisah Nasen Saadi: Pelajar Kriminologi yang Menjadi Pembunuh "