Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Pembunuhan Kejam Addie Hall

     New Orleans adalah sebuah bandar yang terkenal dengan budaya muzik, seni dan sejarahnya yang unik. Namun pada tahun 2006, berlakunya satu kes pembunuhan ngeri yang benar-benar mengejutkan masyarakat setempat. Tragedi ini melibatkan seorang bekas anggota tentera bernama Zachary Bowen yang mengalami tekanan jiwa dan kekasihnya iaitu Addie Hall. Hubungan mereka yang pada awalnya kelihatan romantik bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Zachary membunuh Addie dalam keadaan yang penuh kekejaman sebelum mengakhiri hidupnya sendiri.

     Bercerita tentang Zachary Bowen, dia dilahirkan pada tahun 1978 di California dan membesar dalam kehidupan yang biasa seperti orang lain. Namun keputusannya untuk menyertai tentera telah mengubah hidupnya secara drastik. Dia pernah berkhidmat dalam Perang Iraq dan Kosovo di mana dia menyaksikan keganasan dan kemusnahan yang meninggalkan kesan mendalam pada jiwanya. Setelah menamatkan perkhidmatan, Zachary kembali ke Amerika Syarikat dan menetap di New Orleans. Dia berkahwin dan mempunyai dua orang anak tetapi perkahwinannya tidak bertahan lama. Kehidupan selepas tentera tidak mudah baginya di mana Zachary menghadapi masalah kewangan, kehilangan hak penjagaan anak-anaknya dan mula bergantung kepada alkohol untuk melupakan penderitaannya.

     Di New Orleans, Bowen bertemu dengan Addie Hall seorang penyair dan penggemar seni yang bekerja sebagai penjaga bar. Addie dikenali sebagai wanita yang cerita tetapi di sebalik perwatakan cerianya itu, dia juga mempunyai sejarah masalah mental dan hubungan toksik. Hubungan Zachary dan Addie semakin rapat terutama selepas mereka memutuskan untuk tetap tinggal di bandar tersebut semasa Taufan Katrina melanda pada tahun 2005. Ketika kebanyakan penduduk berpindah keluar, mereka memilih untuk bertahan.  

     Cuma di sebalik imej romantik yang ditonjolkan kepada dunia luar, hubungan mereka penuh dengan pergaduhan, penyalahgunaan alkohol dan keganasan. Addie pernah dilaporkan bertindak agresif terhadap Zachary dengan Zachary pula semakin tenggelam dalam tekanan akibat trauma perang dan kehidupan yang tidak menentu. Pada awal Oktober 2006, ketegangan dalam hubungan mereka mencapai kemuncaknya. Satu malam, selepas pertengkaran yang sengit, Zachary mencekik Addie sehingga mati di dalam apartmen mereka.

     Apa yang berlaku sesudah itu lebih mengerikan. Disebabkan panik dan mungkin juga gangguan mental yang serius, Zachary memotong mayat Addie kepada beberapa bahagian. Kepala Addie dimasukkan ke dalam periuk di atas dapur, sementara tangannya dimasukkan ke dalam ketuhar. Bahagian kaki dan tubuhnya pula diletakkan dalam peti sejuk. Ada spekulasi bahawa Zachary cuba memasak mayat Addie sama ada untuk menghapuskan bukti atau kerana dorongan kanibalisme tetapi tiada bukti kukuh menunjukkan dia memakan mana-mana bahagian mayat itu.

     Selama beberapa hari selepas pembunuhan tersebut, Zachary terus hidup di apartmen yang dipenuhi dengan mayat Addie yang telah dipotong. Dia menulis mesej-mesej aneh di dinding dan buku nota termasuk pengakuan tentang apa yang telah dilakukannya. Salah satu mesej yang ditulis di dinding berbunyi,  "Saya berusaha menghormati mayatnya, tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya takut." 

     Akhirnya pada 17 Oktober 2006, Zachary mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya. Pada malam itu, dia pergi ke sebuah bar di French Quarter dan minum secara berlebihan sebelum menuju ke Hotel Omni Royal Orleans. Di sana, Zachary melompat dari bumbung hotel lalu jatuh ke tempat letak kereta di bawah. Zachary mati serta-merta akibat impak jatuhan tersebut.

    Apabila pihak polis memeriksa mayatnya, mereka menemui nota bunuh diri dalam poketnya yang mengandungi pengakuan penuh tentang pembunuhan Addie serta arahan untuk polis pergi ke apartmennya. Setibanya pihak polis di lokasi yang dinyatakan dalam nota itu, mereka mendapati keadaan yang mengerikan dengan potongan-potongan mayat Addie yang berselerakan di dapur. Beberapa potongan itu dimasukkan ke dalam periuk yang sedang berisi air. 

     Tragedi ini meninggalkan pelbagai persoalan dan teori mengenai motif sebenar Zachary. Ada yang percaya bahawa gangguan stres pascatrauma (PTSD) akibat perkhidmatannya dalam perang menyebabkan dia hilang kawalan dan bertindak kejam terhadap Adie. Ada juga yang berpendapat bahawa hubungan mereka yang toksik, digabungkan dengan penyalahgunaan alkohol dan tekanan hidup hingga mencetuskan peristiwa tragis ini. Kisah ngeri Zachary Bowen dan Addie Hall akan terus dikenang sebagai salah satu kes jenayah paling mengerikan dalam sejarah moden New Orleans.

Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Addie Hall"