Kisah Pembunuhan Kejam Vanessa Guillen
Vanessa Guillen ialah seorang askar berusia 20 tahun yang berkhidmat di Fort Hood, Texas yang juga merupakan salah satu pangkalan tentera terbesar di Amerika Syarikat. Dia dilaporkan hilang pada 22 April 2020 dan dua bulan sesudah itu, mayatnya ditemui dalam keadaan yang mengerikan, membawa kepada pendedahan jenayah kejam yang dilakukan oleh rakan sepasukannya sendiri.
Vanessa Guillen berasal dari keluarga keturunan Mexico-Amerika dan membesar di Houston, Texas. Sejak kecil, dia bercita-cita untuk menyertai angkatan tentera dan akhirnya mencapai impian itu apabila diterima masuk ke dalam 3rd Cavalry Regiment di Fort Hood. Vanessa dikenali sebagai seorang yang berdedikasi dalam tugasnya dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Namun beberapa bulan sebelum kehilangannya, Vanessa pernah memberitahu keluarganya bahawa dia mengalami gangguan seksual di tempat kerja. Vanessa bgaaimanapun tidak membuat laporan rasmi kerana takut akan tindakan balas daripada pihak atasan. Keputusan untuk berdiam diri ini akhirnya membawa kepada satu tragedi yang tidak dijangka.

Pada hari kejadian, 22 April 2020, Vanessa dilihat kali terakhir di bilik senjata Fort Hood pada waktu tengah hari. Rakan-rakan setugas Vanessa mendapati sesuatu yang mencurigakan apabila mereka menjumpai barang peribadinya seperti kunci, kad pengenalan tentera, dan dompet masih berada di tempat kerja tetapi dia sendiri tidak kelihatan di mana-mana. Kehilangan Vanessa segera dilaporkan tetapi pihak tentera tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa. Mereka beranggapan bahawa Vanessa mungkin telah pergi tanpa izin atau menghadapi masalah peribadi. Walau bagaimanapun, keluarganya Vanessa terutama kakaknya, Mayra Guillén, yakin bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan dia mula berkempen di media sosial dengan menggunakan tanda pagar #FindVanessaGuillen untuk menarik perhatian orang ramai.
Semakin hari, tekanan daripada keluarga dan orang awam semakin meningkat. Pihak berkuasa akhirnya meningkatkan usaha pencarian. Selama hampir dua bulan, tidak ada perkembangan besar dalam kes ini. Pada 30 Jun 2020, satu penemuan mengejutkan berlaku apabila bahagian tubuh manusia ditemui berhampiran Sungai Leon yakni kira-kira 30 kilometer dari Fort Hood. Setelah pemeriksaan forensik dilakukan, mayat tersebut disahkan sebagai Vanessa Guillen. Keadaan mayatnya yang telah dipotong-potong dan dibakar menunjukkan bahawa ini bukan kes kehilangan biasa tetapi satu pembunuhan kejam yang dirancang.

Hasil siasatan mendapati bahawa individu terakhir yang berhubung dengan Vanessa ialah Spc. Aaron Robinson, seorang anggota tentera di pangkalan yang sama. Siasatan mendalam mendedahkan bahawa pada hari kejadian, Robinson telah memanggil Vanessa ke dalam bilik senjata. Tanpa amaran, dia tiba-tiba memukul kepala Vanessa berulang kali dengan tukul hingga menyebabkan kecederaan parah yang mengakibatkan kematian serta-merta. Mayat Vanessa kemudian dimasukkan ke dalam kotak kayu sebelum Robinson membawa keluar mayat itu dari pangkalan tentera dengan bantuan teman wanitanya, Cecily Aguilar.
Robinson dan Aguilar seterusnya membawa mayat Vanessa ke kawasan berhampiran Sungai Leon di mana mereka melakukan usaha untuk menghapuskan bukti jenayah. Mereka memotong mayat Vanessa kepada beberapa bahagian menggunakan parang, membakar sebahagiannya dan mencurah konkrit ke atasnya untuk mengelakkan penemuan oleh pihak berkuasa. Usaha mereka gagal menyembunyikan jenayah tersebut apabila siasatan terus dijalankan dan bukti kukuh ditemui.
Pada 1 Julai 2020, apabila pihak polis mendekati Robinson untuk menahannya, dia bertindak melarikan diri. Robinson yang dalam keadaan terdesak akhirnya menembak dirinya sendiri. Teman wanitanya, Cecily Aguilar ditahan dan didakwa atas beberapa pertuduhan jenayah, termasuk pemusnahan bukti dan bersubahat dalam jenayah pembunuhan. Pada November 2022, Aguilar akhirnya mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun.

Kes pembunuhan Vanessa Guillen bukan sahaja mengejutkan rakyat Amerika Syarikat tetapi juga membongkar budaya gangguan seksual, buli dan keganasan yang berleluasa dalam tentera, khususnya di Fort Hood. Selepas kes ini mendapat perhatian meluas, lebih ramai anggota tentera tampil mendedahkan bahawa gangguan seksual di pangkalan tentera adalah perkara biasa tetapi sering diabaikan oleh pihak atasan.
Tekanan daripada masyarakat dan keluarga Guillen akhirnya membawa kepada tindakan drastik oleh kerajaan AS. Pada Disember 2020, 14 pegawai kanan Fort Hood dipecat atau digantung tugas kerana kecuaian dalam menangani kes Vanessa. Selain itu, pada tahun 2021, Kongres AS meluluskan satu undang-undang baru yang dinamakan "I Am Vanessa Guillen Act". Undang-undang ini membolehkan anggota tentera yang menjadi mangsa gangguan seksual membuat laporan kepada pihak bebas dan bukannya kepada pegawai atasan mereka sendiri yang selama ini sering melindungi pesalah.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Vanessa Guillen"