Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PENCULIKAN KATIE BEERS : 17 Hari dalam Kegelapan

     Katie Beers dilahirkan pada 30 Disember 1982 di New York. Sejak kecil, hidupnya sudah penuh dengan penderitaan. Ibunya iaitu Marilyn Beers yang juga merupakan seorang ibu tunggal tidak memberikan perhatian yang cukup kepadanya. Katie kemudian dibesarkan oleh seorang wanita bernama Linda Inghilleri yakni ibu angkatnya secara tidak rasmi.

     Walaupun sepatutnya berada dalam jagaan yang lebih baik, hidup Katie bersama keluarga Inghilleri juga penuh dengan kesengsaraan. Linda dan suaminya, Sal Inghilleri, sering mendera dan mengabaikan Katie. Dia mengalami penderaan fizikal dan emosi sejak usia muda. Sal yang sepatutnya menjaga Katie telah melakukan penderaan seksual terhadapnya sejak kecil. Tiada sesiapa yang mengetahui keperitan hidup Katie kerana tiada orang dewasa yang peduli untuk membantunya.


     Antara individu yang sering berada di sekitar keluarga ini ialah John Esposito, seorang lelaki berusia 43 tahun yang merupakan kenalan rapat keluarga Inghilleri. Dia dikenali sebagai seorang lelaki yang baik hati terhadap kanak-kanak, sering membawa mereka bersiar-siar dan membeli hadiah untuk mereka. 

     Pada 28 Disember 1992, dua hari sebelum ulang tahunnya yang ke-10, Katie telah diculik oleh John Esposito. Dia membawa Katie ke rumahnya di Bay Shore, Long Island dengan alasan ingin membawanya keluar bermain permainan video sebagai hadiah hari lahir. Namun sebaik tiba di rumahnya, John terus menyerang Katie. Dia mengikat tangan dan menutup mulut gadis kecil itu sebelum membawanya ke ruang bawah tanah khas yang telah dibinanya bertahun-tahun sebelum itu.


     Ruang bawah tanah tersebut adalah sebuah petak kecil yang kedap suara, tanpa tingkap dan hanya seluas kira-kira 2.1 meter panjang, 1.2 meter lebar, serta 1.5 meter tinggi. Katie terkurung di dalam ruang yang sempit dan gelap itu tanpa sebarang cahaya matahari dengan terdapat sebuah televisyen kecil untuk menonton siaran rakaman video yang John pilih untuknya.

     John memberi Katie makanan dan air hanya sekali-sekala. Dia juga cuba memanipulasi fikiran gadis itu dengan berkata bahawa tiada siapa yang mencarinya dan dia kini menjadi "anak" kepada Esposito. Selama 17 hari, Katie hidup dalam ketakutan tanpa mengetahui bila atau sama ada dia akan diselamatkan.

 
     Selepas kehilangan Katie, Linda Inghilleri dan ibunya, Marilyn Beers, membuat laporan polis. Pada mulanya, Linda cuba meyakinkan polis bahawa Katie telah hilang kerana melarikan diri. Penyiasat bagaimanapun tidak percaya dengan kenyataan itu. John Esposito turut berpura-pura membantu dalam pencarian Katie. Dia pergi ke balai polis dan bukan saja berpura-pura bersedih, malah memberikan keterangan palsu. Namun penyiasat mula mengesyaki John kerana dia pernah disyaki dalam kes-kes pencabulan kanak-kanak sebelum ini.

     Hingga pada akhirnya, John sendiri yang membuat kesilapan. Dalam satu sesi soal siasat, John tiba-tiba berkata bahawa dia mempunyai maklumat tentang Katie dan ingin bercakap dengan peguamnya. Tidak lama sesudan  itu, dia mengaku bahawa Katie berada di rumahnya. Polis segera menyerbu rumah John dan menemui Katie dalam ruang bawah tanah rahsia.

     Pada 13 Januari 1993, Katie akhirnya dibebaskan selepas 17 hari dikurung dalam kegelapan. Dia berada dalam keadaan dehidrasi, kekurangan zat makanan, dan trauma. John segera ditangkap dan didakwa atas tuduhan penculikan, penderaaan seksual dan pemenjaraan secara haram. Dia akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol.


     Selepas diselamatkan, Katie tidak dikembalikan kepada ibunya atau keluarga Inghilleri. Dia sebaliknya ditempatkan dalam jagaan keluarga angkat yang penuh kasih sayang selain membantunya pulih daripada trauma fizikal dan emosi yang dialaminya sejak kecil.

     Katie menjalani sesi terapi dan kaunseling untuk mengatasi kesan penderaan dan penculikan. Keazamannya untuk hidup serta kasih sayang daripada keluarga angkatnya membantunya pulih dengan baik. Selepas bertahun-tahun, Katie akhirnya dapat menjalani kehidupan yang normal. Dia berjaya menamatkan pendidikan tinggi, berkahwin dan mempunyai kehidupan yang stabil. Pada tahun 2013, dia menulis buku berjudul "Buried Memories: Katie Beers' Story", yang menceritakan pengalaman hidupnya sebelum, semasa dan selepas penculikan. 

Catat Ulasan for "KISAH PENCULIKAN KATIE BEERS : 17 Hari dalam Kegelapan"