Kisah Riley Horner: Remaja dengan Memori yang Terhenti

Riley Horner, seorang remaja dari Illinois, Amerika Syarikat mengalami keadaan neurologi yang jarang berlaku selepas mengalami kecederaan kepala semasa latihan tarian. Kecederaan itu menyebabkan dia mengalami amnesia anterograd yakni satu keadaan di mana dia tidak dapat menyimpan memori jangka panjang baharu. Disebabkan itu, Riley hidup seolah-olah terperangkap dalam hari yang sama berulang kali tanpa menyedari bahawa masa terus berlalu.
Pada 11 Jun 2019, Riley sedang menghadiri sesi latihan tarian bersama rakan-rakannya apabila kepalanya terkena tendangan seseorang secara tidak sengaja. Dia segera dibawa ke hospital tetapi hasil imbasan CT dan MRI tidak menunjukkan sebarang kecederaan serius. Doktor menganggapnya hanya mengalami gegaran otak biasa dan membenarkannya pulang. Namun beberapa jam kemudian, sesuatu yang luar biasa berlaku. Riley mula menunjukkan simptom kehilangan ingatan jangka pendek. Setiap kali dia tidur atau hilang fokus, memorinya akan "terpadam" dan dia kembali percaya bahawa hari-hari yang dilalui adalah masih bertarikh 11 Jun 2019.

Akibat keadaan ini, kehidupan Riley berubah secara drastik. Setiap pagi apabila dia bangun, dia tidak menyedari bahawa masa telah berlalu berbulan-bulan. Dia perlu diberitahu semula oleh ahli keluarga mengenai keadaannya kerana baginya hari yang sama terus berulang tanpa henti. Ibunya iaitu Sarah Horner menyatakan bahawa mereka perlu menjelaskan semula situasi sebenar kepada Riley setiap hari. Bagi Riley, setiap kali dia tersedar, segalanya terasa baharu walaupun orang di sekelilingnya sudah lama mengetahui tentang keadaannya.
Keadaan ini menjejaskan pelbagai aspek dalam kehidupan Riley. Dalam pembelajaran, Riley tidak dapat mengingati apa yang dipelajari pada hari sebelumnya hingga menyebabkan dia menghadapi kesukaran di sekolah. Dalam hubungan sosial, dia sering terlupa perbualan yang baru sahaja berlaku sekaligus menjadikan interaksi dengan rakan-rakannya mencabar. Bagi mengatasi masalah ini, dia terpaksa bergantung kepada buku nota, telefon bimbit dan peringatan khas untuk membantu dirinya menyesuaikan diri dengan kehidupan seharian.

Walaupun cabaran ini sukar, rakan-rakan Riley tidak membiarkan dia menghadapinya sendirian. Mereka sentiasa berusaha untuk membantunya dengan pelbagai cara. Salah satu usaha mereka ialah merekodkan nota dan video tentang kejadian harian supaya Riley boleh menontonnya semula apabila memorinya hilang. Selain itu, mereka juga memastikan dia berasa diterima dengan bersikap sabar apabila perlu mengulang perbualan atau menjelaskan sesuatu perkara berulang kali. Mereka turut membantunya mengulangkaji pelajaran dengan menyediakan nota yang mudah difahami dan menggunakan isyarat visual untuk membantunya mengingati maklumat penting.
Selain itu, rakan-rakannya mencadangkan agar Riley memakai gelang khas yang dapat memberi isyarat kepada orang lain mengenai keadaannya. Perkara ini dapat membantu guru dan orang sekeliling memahami bahawa Riley mungkin tidak mengingati interaksi sebelumnya dan memerlukan bantuan tambahan. Mereka juga menggunakan teknik ingatan kreatif seperti kata kunci dan simbol untuk membantunya mengingati perkara penting dalam kehidupan sehariannya. Meskipun keadaan Riley sukar, rakan-rakannya tetap berada di sisinya untuk memberikan sokongan moral dan memastikan dia tidak berasa terasing.

Dari segi perubatan, pakar mendapati bahawa Riley mengalami amnesia anterograd, satu keadaan yang biasanya berlaku apabila bahagian otak seperti hipokampus mengalami gangguan atau kerosakan. Walaupun imbasan MRI dan CT tidak menunjukkan sebarang kecederaan fizikal yang jelas, doktor percaya bahawa kecederaan traumatik ringan telah mengganggu fungsi saraf otaknya hingga menyebabkan kehilangan memori yang berpanjangan. Biasanya pesakit dengan kecederaan kepala pulih dalam beberapa minggu atau bulan tetapi keadaan Riley luar biasa kerana simptomnya berterusan lebih lama daripada yang dijangka.
Setakat ini, belum ada kepastian sama ada Riley akan pulih sepenuhnya atau berapa lama keadaannya akan berlanjutan. Beberapa pesakit dengan amnesia anterograd dapat pulih secara perlahan apabila otak mereka menyesuaikan diri dan membentuk laluan saraf baharu tetapi tempoh pemulihan berbeza bagi setiap individu. Doktor mencadangkan terapi kognitif dan rehabilitasi sebagai usaha untuk membantu pemulihannya. Dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan, Riley berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaannya sambil berharap agar memorinya kembali normal suatu hari nanti.
Catat Ulasan for "Kisah Riley Horner: Remaja dengan Memori yang Terhenti"