Kisah Tomoaki Hamatsu: Realiti TV Paling Kejam dalam Sejarah Jepun

Industri hiburan Jepun terkenal dengan rancangan realiti yang unik dan sering kali luar biasa berbanding negara lain. Namun pada akhir tahun 1990-an, satu eksperimen televisyen ekstrem telah mengejutkan dunia apabila seorang lelaki dipaksa hidup dalam pengasingan sepenuhnya tanpa sebarang keperluan asas. Kisah ini adalah mengenai Tomoaki Hamatsu, atau lebih dikenali sebagai Nasubi yang menjadi peserta dalam eksperimen sosial kejam melalui rancangan Susunu! Denpa Shōnen. Tanpa disedari, hidupnya berubah secara drastik apabila dia terperangkap dalam eksperimen ini selama lebih setahun.
Tomoaki Hamatsu dilahirkan pada tahun 1975 di Fukushima, Jepun. Sejak kecil, dia bercita-cita menjadi pelawak terkenal dan berusaha mencari peluang untuk memasuki dunia hiburan. Cuma seperti kebanyakan pendatang baharu dalam industri ini, dia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan peluang yang benar-benar dapat melonjakkan namanya.

Hinggalah pada tahun 1998, Hamatsu menghadiri satu uji bakat tanpa mengetahui bahawa kehidupannya akan berubah secara drastik. Uji bakat tersebut dianjurkan oleh sebuah rancangan realiti terkenal di Jepun iaitu Susunu! Denpa Shonen yang terkenal dengan eksperimen sosial yang mencabar ketahanan mental dan fizikal peserta. Diterbitkan oleh Toshio Tsuchiya, rancangan ini sering kali mencipta format yang menguji had kemampuan manusia. Konsepnya adalah mudah tetapi kejam di mana peserta perlu menjalani cabaran yang melampaui batas kebiasaan manusia dan semua yang berlaku akan dirakam serta disiarkan kepada jutaan penonton di Jepun.
Setelah terpilih, Hamatsu diberikan nama gelaran Nasubi yang bermaksud "terung" dalam bahasa Jepun kerana wajahnya yang panjang menyerupai bentuk sayuran tersebut. Pada waktu itu, Hamatsu tidak menyedari bahawa dia bakal menjadi sebahagian daripada salah satu eksperimen televisyen paling ekstrem dalam sejarah.
Tanpa sebarang amaran, Hamatsu dibawa ke sebuah bilik kecil tanpa tingkap yang kosong sepenuhnya kecuali beberapa majalah dan surat khabar yang mengandungi borang peraduan. Di situ, dia diberikan satu arahan mudah,
“Anda mesti hidup dalam bilik ini dengan hanya bergantung kepada hadiah yang dimenangi melalui peraduan pos.”

Bagi menambahkan lagi keperitan cabaran ini, produksi turut mengambil satu-satunya pakaian yang dipakainya, menyebabkan dia berada dalam keadaan berbogel sepanjang eksperimen. Cuma untuk siaran televisyen, bahagian sulitnya disensor menggunakan imej terung sebagai penutup.
Selain itu, produksi menetapkan satu sasaran yang tidak masuk akal untuk Hamatsu. Sasaran yang dimaksudkan ialah dia hanya akan dibebaskan selepas jumlah nilai hadiah yang dimenanginya mencapai ¥1 juta (lebih kurang RM30,000 pada waktu itu). Malangnya, Hamatsu tidak diberitahu tentang perjalanan eksperimen dengan dia tidak menyedari bahawa diirinya bakal menghabiskan lebih setahun dalam keadaan terkurung.

Hari pertama dalam kurungan merupakan pengalaman paling mengerikan bagi Hamatsu. Tiada makanan, tiada pakaian dan tiada tempat tidur. Kelaparan mula menyerang sejak jam pertama. Dia mengisi sebanyak mungkin borang peraduan dengan harapan dapat memenangi makanan secepat mungkin tetapi penyertaan peraduan biasanya mengambil masa minggu atau bulan sebelum pemenang diumumkan.
Hari-hari berlalu dan Nasubi hanya bergantung kepada air paip untuk mengisi perutnya. Selepas beberapa minggu, hadiah pertamanya akhirnya tiba. Hadiah ith adalah sebotol jus buah yang langsung tidak mencukupi untuk bertahan lama. Sesudah itu, dia memenangi beberapa hadiah rawak seperti mainan, lampu hiasan dan tiket konsert yang tidak berguna dalam situasi semasanya.

Selepas lebih sebulan, barulah dia akhirnya memenangi sekampit beras. Walau bagaimanapun, kegembiraan tersebur tidak bertahan lama apabila dia menyedari bahawa tiada periuk atau dapur untuk memasak beras tersebut. Akibatnya, dia terpaksa makan beras mentah untuk bertahan hidup. Selain kelaparan, cabaran terbesar yang dihadapi Hamatsu adalah kesunyian yang melampau. Dia tidak mempunyai akses kepada sebarang bentuk hiburan atau interaksi sosial hingga menyebabkan dirinya mula bercakap seorang diri. Bagi mengatasi kesunyian ini, dia memberi nama kepada objek dalam biliknya dan menganggapnya sebagai "rakan".
Lama-kelamaan, keperitan ini menjadi lebih ketara. Hamatsu semakin lemah secara fizikal dan mental. Tubuhnya menjadi semakin kurus akibat kekurangan zat makanan dan dia sering kali kelihatan termenung tanpa tujuan. Hamatsu tidak menyedari bahawa eksperimen ini disiarkan secara langsung kepada jutaan penonton di maba penderitaan yang dialaminya itu menjadi hiburan kepada masyarakat Jepun.
Selepas 14 bulan (hampir 440 hari), Hamatsu akhirnya mencapai matlamat ¥1 juta dalam bentuk hadiah. Dia menyangka penderitaannya telah berakhir tetapi produksi mempunyai kejutan lain untuknya. Tanpa sebarang amaran dan makluman, dia dipindahkan ke Korea Selatan dan diletakkan dalam satu lagi bilik kosong. Sekali lagi, Hamatsu diberitahu bahawa dia perlu mengulangi cabaran ini dari awal. Waktu itu, Hamatsu hampir berputus asa. Dia menangis dan kelihatan sangat tertekan tetapi tetap meneruskan cabaran ini selama beberapa bulan lagi. Akhirnya, selepas mencapai sasaran buat kali kedua, produksi membuka pintu biliknyadan kali ini, dia mendapati dirinya berada di dalam studio TV dengan penonton bersorak. Hamatsu berdiri dalam keadaan terkejut dan trauma, menyedari bahawa hidupnya telah menjadi tontonan umum selama lebih setahun tanpa pengetahuannya.

Selepas eksperimen ini berakhir, Hamatsu mengalami kesan psikologi yang mendalam. Dia menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan dunia luar, mengalami paranoia dan sering berasa tidak selesa dalam persekitaran sosial. Walaupun Hamatsu menjadi terkenal di Jepun, dia tidak menerima sebarang bayaran atas penderitaan yang dilaluinya. Hamatsu bagaimanapun terus berusaha untuk membina semula kehidupannya dan akhirnya menemui minat baru dalam aktiviti mendaki gunung dan kerja amal.
Catat Ulasan for "Kisah Tomoaki Hamatsu: Realiti TV Paling Kejam dalam Sejarah Jepun"