Kisah Tragis Brian Brown Easley: Veteran Terabai yang Terdesak Mencari Keadilan

Pada pagi 7 Julai 2017, Brian Brown Easley iaitu seorang bekas anggota Kor Marin Amerika Syarikat telah memasuki sebuah cawangan Wells Fargo di Marietta, Georgia dengan langkah yang tenang. Brian kemudian menyerahkan nota kepada juruwang dengan mendakwa bahawa dia mempunyai bom di dalam beg galasnya dan meminta agar polis dihubungi. Berbeza dengan perompak bank biasa, Brian tidak menuntut wang dari peti simpanan. Dia hanya mahu mendapatkan kembali bayaran faedah veterannya yang berjumlah $892 yang telah ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (VA).
Brian yang berusia 33 tahun ketika itu merupakan seorang veteran yang mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD) akibat perkhidmatannya di Kuwait dan Iraq. Selepas diberhentikan daripada tentera atas sebab kesihatan mental, dia berdepan dengan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan awam. Dengan ketiadaan pekerjaan tetap dan sumber pendapatan yang terhad, bayaran faedah veteran adalah satu-satunya harapannya untuk terus hidup. Namun beberapa minggu sebelum insiden di Wells Fargo, bayaran tersebut tiba-tiba dihentikan tanpa sebarang penjelasan daripada pihak berwajib.

Disebabkan terdesak, Brian telah berulang kali cuba mendapatkan bantuan daripada VA tetapi tidak mendapat respons yang sewajarnya. Keadaan ini memburukkan lagi tahap kesihatan mentalnya sehingga dia mengambil keputusan drastik untuk memasuki bank tersebut. Berbeza dengan perompak bersenjata yang lazimnya menggunakan keganasan, Brian langsung tidak bertindak agresif. Dia memastikan semua pelanggan meninggalkan premis sebelum mengunci pintu serta menahan dua orang pekerja bank sebagai tebusan iaitu Shatina Brown dan Tiana Hill. Walaupun mendakwa memiliki bom, Brian tidak menunjukkan sebarang tanda ingin mencederakan sesiapa. Malah, menurut tebusan, Brian bersikap tenang, sopan dan tidak kasar sepanjang insiden berlangsung.
Beberapa kali sepanjang kejadian itu, Brian sempat menghubungi stesen televisyen tempatan WSB-TV dan berkongsi kisahnya secara langsung. Melalui perbualan telefon tersebut, Brian menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk mencederakan sesiapa dan hanya mahu memastikan haknya sebagai seorang veteran tidak diabaikan. "Saya tidak mahu mencederakan sesiapa. Saya bukan orang jahat. Saya hanya mahu mendapatkan wang saya kerana saya memerlukannya untuk hidup," katanya dalam satu panggilan yang disiarkan kepada orang ramai.

Pasukan polis dan SWAT segera mengepung bank tersebut dan cuba merundingkan penyelesaian damai. Sepanjang rundingan, Brian kekal tenang dan tidak membuat sebarang tuntutan lain selain daripada mendapatkan wangnya. Namun selepas beberapa jam, situasi bertukar menjadi tegang apabila pasukan SWAT menembaknya hingga mati. Laporan mendakwa bahawa seorang penembak tepat (sniper) telah melepaskan tembakan ke arahnya kerana mereka percaya keadaan semakin berbahaya. Apabila pihak berkuasa memeriksa beg galasnya, mereka mendapati bahawa bom yang didakwa itu sebenarnya tidak wujud.
Insiden ini mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat terutama mereka yang memperjuangkan kebajikan veteran. Ramai yang melihat kejadian ini sebagai bukti kegagalan sistem dalam menjaga kebajikan bekas anggota tentera khususnya mereka yang mengalami masalah kesihatan mental. Organisasi veteran dan kumpulan hak asasi manusia mengecam tindakan polis mempersoalkan sama ada Brian benar-benar perlu ditembak mati memandangkan dia tidak bersenjata dan tidak menunjukkan ancaman langsung.

Kisah tragis Brian turut mendapat perhatian dalam dunia perfileman apabila ia diadaptasi ke dalam filem Breaking (2022) yang dibintangi oleh John Boyega. Filem ini menggambarkan kejadian sebenar berdasarkan laporan berita, rekod rundingan dan testimoni saksi. Breaking menyoroti bagaimana seorang lelaki yang pernah berjuang untuk negaranya akhirnya dipinggirkan dan dipaksa mengambil tindakan yang terdesak semata-mata untuk mendapatkan haknya.
Catat Ulasan for "Kisah Tragis Brian Brown Easley: Veteran Terabai yang Terdesak Mencari Keadilan"