KRONOLOGI KONTROVERSI KIM SOO HYUN & KIM SAE RON

Skandal terkini yang melibatkan aktor terkenal Korea Selatan iaitu Kim Soo Hyun dan mendiang pelakon Kim Sae Ron telah menggemparkan industri hiburan negara itu. Pendedahan mengejutkan mengenai hubungan mereka sejak bertahun-tahun lalu membawa kepada kesan besar terhadap kerjaya Kim Soo Hyun serta pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat dan netizen. Berikut adalah kronologi lengkap hubungan mereka berdasarkan laporan media dan dakwaan yang tular di media sosial.
1. 2015: Permulaan Hubungan?
Menerusi pendedahan ibu saudara Kim Sae Ron baru-baru ini, dia mendakwa Kim Soo Hyun dan Kim Sae Ron telah mula bercinta pada tarikh 19 November 2015. Jika benar dakwaan itu, Kim Soo Hyun berusia 27 tahun manakala usia Kim Sae Ron pula baru 15 tahun pada waktu tersebut.
Pada tahun itu, Kim Soo Hyun berada di puncak populariti selepas kejayaan My Love from the Star (2013) dan The Producers (2015) manakala Kim Sae Ron semakin dikenali dalam industri perfileman selepas filem The Man From Nowhere (2010).
2. 2019: Kim Soo Hyun Tubuh Agensi Gold Medalist & Kim Sae Ron Sertai
Pada November 2019 Kim Soo Hyun menubuhkan agensi Gold Medalist bersama sepupunya, Lee Sarang. Tidak lama kemudian, Kim Sae Ron menandatangani kontrak dengan agensi ini selepas meninggalkan YG Entertainment.

3. 2022: Skandal Memandu Mabuk Kim Sae Ron
Kim Sae Ron terlibat dalam kemalangan akibat memandu dalam keadaan mabuk telah menyebabkan kerosakan besar pada harta benda awam. Gold Medalist mengeluarkan kenyataan memohon maaf dan menanggung bayaran ganti rugi berjumlah 700 juta KRW (RM2.5 juta). Tindakan Gold Medalist membayar ganti rugi bagi pihak Kim Sae Ron tanpa meminta pampasan daripadanya menimbulkan tanda tanya mengenai hubungan mereka. Ramai percaya bahawa Kim Soo Hyun mungkin memainkan peranan dalam keputusan agensi untuk melindungi Kim Sae Ron. Kes kemalangan mabuk ini telah menyebabkan Kim Sae Ron kehilangan tawaran lakonan serta beberapa penaja menarik diri.
4. 2024: Konflik & Tamat Kontrak
Setelah kontraknya dengan Gold Medalist tamat, Kim Sae Ron mengalami masalah kewangan kerana dia sebelum itu kehilangan banyak tawaran pekerjaan. Keadaan menjadi lebih teruk apabila Gold Medalist meminta Kim Sae Ron membayar kembali wang ganti rugi yang ditanggung bagi pihaknya tetapi dia didakwa tidak mampu membayarnya. Kim Sae Ron cuba menghubungi Kim Soo Hyun untuk meminta bantuan tetapi tidak mendapat sebarang respons. Perkara ini menyebabkan hubungan mereka menjadi semakin dingin dan ramai mula percaya bahawa mereka tidak berpisah secara baik.
5. 2025 : Kematian Kim Sae Ron
Pada 16 Februari 2025, Kim Sae Ron ditemui meninggal dunia di apartmennya di Seongdong-gu, Seoul. Pihak polis mengesyaki punca kematian adalah bunuh diri tetapi siasatan masih dijalankan. Kematian Kim Sae Ron ini berlaku pada hari ulang tahun Kim Soo Hyun.
6. 2025: Pendedahan Skandal, Gambar Tersebar dan Penafian Awal
10 Mac 2025, saluran YouTube Garosero Research Institute mendakwa bahawa Kim Soo Hyun dan Kim Sae Ron telah menjalinkan hubungan sejak 2015, berdasarkan maklumat daripada ibu saudara Kim Sae Ron. Dakwaan ini mengejutkan ramai pihak kerana perbezaan usia ketara antara mereka terutama Kim Sae Ron yang masih berada di bawah umur pada waktu tersebut.
Beberapa gambar yang dikatakan menunjukkan Kim Soo Hyun mencium Kim Sae Ron mula tersebar dalam talian.
Di pihak Agensi Gold Medalist, mereka menafikan segala dakwaan bahawa Kim Soo Hyun dan Kim Sae Ron pernah menjalinkan hubungan romantik. Mereka turut mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Garosero Research Institute kerana menyebarkan berita palsu.
Garosero Research Institute bagaimanapun bertegas bahawa mereka mempunyai bukti kukuh dan akan terus mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai hubungan mereka. Mereka juga mengkritik Kim Soo Hyun kerana tidak menghadiri majlis pengebumian Kim Sae Ron.

7. 2025: Bukti Lain dan Pengakuan Gold Medalist
14 Mac 2025, satu lagi gambar Kim Soo Hyun dan Kim Sae Ron dalam keadaan mesra tular di media sosial. Gambar yang tersebar itu termasuk gambar Kim Soo Hyun di dapur Kim Sae Ron sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa dia pernah tinggal bersamanya. Pendedahan ini menambahkan tekanan kepada Kim Soo Hyun yang didesak oleh peminat untuk memberikan penjelasan.
Gold Medalist akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi, mengesahkan bahawa Kim Soo Hyun dan Kim Sae Ron memang pernah bercinta. Menurut agensi itu, hubungan mereka bermula pada musim panas 2019 dan berakhir pada musim luruh 2020. Gold Medalist menegaskan bahawa tiada hubungan berlaku ketika Kim Sae Ron masih di bawah umur dan semua gambar yang tersebar adalah dari tahun 2020. Walau bagaimanapun, ibu Kim Sae Ron menolak kenyataan ini dan sedang menyediakan kenyataan balas untuk membersihkan nama anaknya.
8. 2025 : Impak Terhadap Kim Soo Hyun
Beberapa syarikat penaja menarik diri hingga menyebabkan Kim Soo Hyun mengalami kerugian besar. Beberapa projek lakonan yang sepatutnya dibintangi Kim Soo Hyun dibatalkan atau ditangguhkan. Gold Medalist turut mengesahkan bahawa Kim Soo Hyun sedang mengalami tekanan psikologi akibat skandal ini. Peminat mula berpecah kepada dua pihak, ada yang menyokong Kim Soo Hyun dan ada yang percaya bahawa dia harus bertanggungjawab.

9. 2025 : Perkembangan Terkini
Difahamkan selepas kematian Kim Sae Ron, Kim Soo Hyun dilaporkan mahu bertemu dengan ibu mendiang. Namun ibu Kim Sae Ron menolak untuk berjumpa dengannya buat masa ini kerana marah dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Gold Medalist. Dia juga berhasrat untuk mendedahkan lebih banyak bukti mengenai hubungan anaknya dengan Kim Soo Hyun.
Skandal ini masih menjadi perdebatan hangat dalam industri hiburan Korea. Menerusi pendedahan gambar, kenyataan agensi serta tindakan ibu Kim Sae Ron yang mahu membongkar lebih banyak bukti, kontroversi ini dijangka akan terus berlarutan.
Catat Ulasan for "KRONOLOGI KONTROVERSI KIM SOO HYUN & KIM SAE RON "