Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Misteri 67 Tahun: Penemuan Kereta di Sungai Columbia Mungkin Merungkai Kehilangan Keluarga Martin


     Selepas hampir tujuh dekad, satu perkembangan mengejutkan mungkin membawa kepada jawapan dalam kes kehilangan keluarga Martin yang telah lama membingungkan Oregon. Baru-baru ini, sebuah kereta yang dipercayai milik mereka ditemui di dasar Sungai Columbia berhampiran Cascade Locks, Oregon.

     Penemuan ini dibuat oleh penyelam bebas iaitu Archer Mayo yang menggunakan teknologi sonar untuk mengesan objek di bawah air. Kenderaan tersebut, jenis Ford Custom station wagon keluaran 1954 ditemui pada kedalaman kira-kira 50 kaki dengan tertimbus oleh lumpur, batu dan serpihan lain. Walaupun tiada mayat ditemui di dalam kereta itu, pihak berkuasa sedang menjalankan analisis nombor casis (VIN) untuk mengesahkan pemilik kenderaan tersebut. Jika terbukti milik keluarga Martin, ini mungkin menjadi petunjuk penting dalam merungkai apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian.

     Pada pagi 7 Disember 1958, Kenneth Martin (54 tahun), isterinya Barbara (48 tahun) dan tiga anak perempuan mereka yang bernama Barbie (14 tahun), Virginia (13 tahun) serta Susan (11 tahun) telah meninggalkan rumah mereka di Portland untuk perjalanan sehari ke Columbia River Gorge. Mereka merancang untuk mengumpul hiasan Krismas.

     Keluarga itu kali terakhir dilihat membeli minyak di sebuah stesen minyak di Hood River sekitar tengah hari. Namun apabila mereka tidak pulang ke rumah seperti biasa, kebimbangan mula timbul. berikutan Kenneth Martin adalah seorang pekerja tetap dan sangat bertanggungjawab. Jadi apabila dia gagal hadir ke tempat kerja keesokan harinya, rakan sekerja serta ahli keluarga segera melaporkan kehilangan mereka kepada pihak polis.

     Pihak berkuasa melancarkan pencarian besar-besaran tetapi selama berbulan-bulan tiada sebarang jejak mereka ditemui. Sehinggalah lima bulan kemudian, dua mayat kanak-kanak perempuan dari keluarga itu akhirnya ditemui di Sungai Columbia. Pada 1 Mei 1959, mayat Susan Martin ditemui berhampiran Bonneville Dam kira-kira 70 batu (112 km) dari Portland. Beberapa hari kemudian yakni pada 5 Mei 1959, mayat kakaknya, Virginia Martin pula ditemui 46 batu (74 km) dari Portland, juga di Sungai Columbia.

     Kedua-dua mayat sudah dalam keadaan terurai akibat lama berada dalam air. Pemeriksaan forensik mendapati terdapat kecederaan pada tengkorak mereka, menimbulkan persoalan sama ada mereka mengalami kemalangan atau menjadi mangsa jenayah. Walau bagaimanapun, tiada bukti kukuh yang dapat menjelaskan keadaan sebenar sebelum mereka mati. Selebihnya, mayat Kenneth, Barbara dan anak sulung mereka, Barbie tidak pernah ditemui. Begitu juga dengan kenderaan mereka sehinggalah penemuan terbaru ini.

    Sejak sekian lama, banyak teori dikemukakan mengenai apa yang berlaku kepada keluarga Martin. Ada yang percaya mereka mengalami kemalangan tragis dan terjunam ke dalam sungai. Namun kecederaan pada mayat Virginia dan Susan mencetuskan teori bahawa mereka mungkin menjadi mangsa jenayah. Beberapa spekulasi lain termasuk kemungkinan insiden ini berkaitan dengan individu yang dikenali keluarga Martin atau mungkin mereka telah menjadi sasaran jenayah terancang. Tanpa bukti yang kukuh, semua ini kekal sebagai teori.

     Maka dengan penemuan kereta yang dipercayai milik keluarga Martin ini, siasatan kes ini memasuki fasa baharu. Jika kenderaan ini sah milik mereka, ia mungkin memberi petunjuk sama ada mereka benar-benar mengalami kemalangan atau jika terdapat unsur jenayah yang menyebabkan mereka hilang.

     Pihak berkuasa kini sedang menjalankan analisis lanjut terhadap kenderaan itu untuk mencari sebarang bukti yang boleh membantu merungkai misteri ini. Selepas hampir 70 tahun, mungkin akhirnya kes kehilangan keluarga Martin akan mendapat jawapan yang dinantikan selama ini.

Catat Ulasan for "Misteri 67 Tahun: Penemuan Kereta di Sungai Columbia Mungkin Merungkai Kehilangan Keluarga Martin"