Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Misteri Kehilangan Ben McDaniel di Vortex Spring


     Pada 18 Ogos 2010, seorang penyelam bernama Ben McDaniel telah memasuki perairan Vortex Spring, Florida, Amerika Syarikat dan tidak pernah kembali. Kehilangannya menjadi salah satu misteri terbesar dalam dunia selaman gua hingga mencetuskan pelbagai teori dan spekulasi. Walaupun pencarian besar-besaran dilakukan, tiada bukti kukuh yang dapat menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku pada hari kejadian tersebut. 

     Bercerita tentang latar belakang Ben McDaniel, dia merupakan seorang lelaki berusia 30 tahun dari Collierville, Tennessee. Dia berasal daripada keluarga yang berada dan mempunyai minat yang mendalam terhadap aktiviti selaman skuba. Walau bagaimanapun, kehidupannya tidak berjalan lancar. Dia pernah memiliki syarikat pembinaan yang akhirnya gagal hingga menyebabkannya mengalami masalah hutang cukai sebanyak lebih USD 50 000. Selain itu, Ben juga masih bergelut dengan kesedihan akibat kematian adiknya iaitu Paul yang telah meninggal dunia pada tahun 2008 akibat strok. Bagi mencari ketenangan, Ben berpindah ke Florida dan tinggal di rumah percutian ibu bapanya di mana dia kerap menghabiskan masa menyelam di Vortex Spring.


     Vortex Spring sememangnya terkenal sebagai lokasi penyelaman yang mencabar terutama kerana terdapat gua bawah air yang sangat kompleks dan berbahaya. Bahagian gua ini hanya boleh dimasuki oleh penyelam yang memiliki sijil selaman gua. Namun Ben tidak mempunyai lesen tersebut. Dia hanya memiliki sijil untuk selaman rekreasi biasa yang tidak membenarkannya menyelam di dalam gua tertutup. 

Pada hari kehilangannya, Ben dilihat oleh beberapa penyelam lain sedang berlatih di kawasan selaman sebelum menuju ke bahagian yang lebih dalam. Dia membawa lampu suluh dan papan tulis bawah air yang sering digunakan oleh penyelam gua untuk mencatat maklumat. Beberapa orang saksi juga melihat Ben cuba membuka pagar besi yang menghalang akses ke kawasan gua yang lebih dalam. Pagar besi ini dipasang untuk menghalang penyelam tanpa lesen daripada memasuki zon berbahaya. Terdapat laporan tentang Ben telah berjaya menyelinap masuk ke dalam zon tersebut sama ada dengan memanjat pagar atau dibantu oleh seseorang.

     Dua hari selepas kehilangannya, pekerja di Vortex Spring menyedari bahawa trak pikap putih milik Ben masih berada di tempat letak kenderaan. Trak itu terkunci dan di dalamnya terdapat dompet, telefon bimbit serta kunci kenderaan. Pasukan penyelamat segera memulakan pencarian di dalam gua bawah air dengan harapan dapat menemui Ben atau sekurang-kurangnya petunjuk tentang kehilangannya. Selepas berhari-hari pencarian, mereka tidak menemui sebarang jasad, peralatan atau sebarang tanda bahawa Ben masih berada di dalam gua.


     Keanehan semakin bertambah apabila penyelam profesional yang menyertai operasi mencari dan menyelamat mendapati bahawa tiada gangguan dalam lumpur atau batu di dalam gua yang biasanya berlaku jika seseorang tersesat atau terperangkap. Malah seorang penyelam veteran menyatakan bahawa jika Ben benar-benar terperangkap di dalam gua tersebut, mereka pasti akan menemui jasadnya. Selain itu, anjing pengesan yang digunakan dalam pencarian di kawasan darat juga gagal mengesan bau mayat sementara pencarian dengan helikopter inframerah tidak menemukan sebarang tanda haba.

     Kehilangan Ben yang begitu misteri menimbulkan pelbagai teori. Teori pertama ialah dia mungkin telah terperangkap dan mati dalam gua tetapi ketiadaan mayat atau tanda gangguan dalam struktur gua menimbulkan persoalan. Jika dia benar-benar berada di dalam gua, tubuhnya sepatutnya akan mula terapung atau membusuk selepas beberapa hari namun tiada sebarang tanda sedemikian ditemui.

     Teori kedua menyatakan bahawa Ben mungkin telah memalsukan kematiannya untuk melarikan diri daripada masalah kewangan dan peribadinya. Ada yang berpendapat bahawa dia telah merancang untuk "hilang" dengan meninggalkan barang peribadi dan mencipta naratif bahawa dia lemas. Jika benar, teori ini bermaksud dia berjaya melarikan diri ke suatu tempat tanpa dikesan. Cuma ada persoalan tetap timbul iaitu bagaimana dia melakukannya dan mengapa tiada sebarang bukti transaksi atau pergerakan selepas kehilangannya?


     Teori ketiga pula menyatakan bahawa Ben mungkin telah menjadi mangsa jenayah. Beberapa individu mendakwa melihat Ben telah bertengkar dengan seorang pekerja Vortex Spring sehari sebelum kehilangannya. Ada spekulasi bahawa dia mungkin telah dibunuh dan mayatnya dibuang di tempat lain namun tanpa sebarang bukti forensik, teori ini kekal sebagai spekulasi semata-mata.

     Hingga kini, misteri kehilangan Ben McDaniel masih belum terungkai. Walaupun ibu bapanya telah menawarkan ganjaran sebanyak USD 30,000 kepada sesiapa yang dapat membantu menyelesaikan kes ini, tiada petunjuk baharu yang muncul. Pihak berkuasa dan komuniti penyelam terus berdebat mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu. Adakah Ben benar-benar mati di dalam gua atau adakah dia memilih untuk menghilangkan diri? 

Catat Ulasan for "Misteri Kehilangan Ben McDaniel di Vortex Spring"