Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Misteri Kehilangan Michael Rockefeller : Mati Lemas atau Dibunuh?


     Michael Rockefeller iaitu anak kepada Nelson Rockefeller yang ketika itu merupakan Gabenor New York ialah seorang pemuda berusia 23 tahun yang mempunyai minat mendalam terhadap budaya suku asli di Papua New Guinea. Pada tahun 1961, dia melakukan ekspedisi ke wilayah terpencil di kawasan itu untuk mengkaji budaya suku Asmat yang terkenal dengan seni ukiran kayu mereka. Michael bukan sekadar seorang pengembara tetapi seorang pengkaji yang benar-benar ingin memahami cara hidup masyarakat pribumi tersebut. Dia telah berulang kali mengunjungi perkampungan Asmat, membeli ukiran kayu, mengambil gambar dan mendokumentasikan kehidupan mereka. Berbeza dengan penjajah Belanda yang sering bertindak kasar terhadap penduduk tempatan, Michael bersikap mesra dan cuba membina hubungan baik dengan suku itu.

Namun pada 17 November 1961, ekspedisi Michael Rockefeller berakhir dengan tragedi. Dia dan seorang antropologis Belanda yang bernama Rene Wassing menaiki sebuah perahu kecil untuk meneruskan eksplorasi mereka di sepanjang Sungai Betsj. Malangnya perjalanan itu bertukar menjadi mimpi ngeri apabila ombak kuat menyebabkan perahu mereka terbalik. Kedua-duanya berpegang pada perahu yang terapung selama berjam-jam. Setelah lama menunggu tanpa sebarang bantuan tiba, Michael akhirnya membuat keputusan untuk berenang ke daratan dengan hanya menggunakan tong kecil sebagai pelampung sambil meninggalkan Wassing di atas perahu. Kata-kata terakhirnya sebelum berenang ialah "I think I can make it." (Saya rasa saya boleh sampai). Cuma selepas itu, Michael Rockefeller tidak pernah kembali.

     Berita kehilangan Michael Rockefeller tersebar luas dan mencetuskan misi pencarian besar-besaran. Helikopter, kapal tentera laut dan pasukan penyelamat dikerahkan untuk mencarinya. Malah bapanya, Nelson Rockefeller sendiri terbang ke Papua New Guinea untuk mengetuai usaha pencarian tersebut. Meskipun pelbagai usaha dilakukan, tiada sebarang petunjuk ditemui kerana tiada mayat, tiada pakaian dan tiada kesan yang menunjukkan bahawa dia terselamat. Pada akhirnya, pihak berkuasa Belanda mengeluarkan kesimpulan rasmi bahawa Michael Rockefeller telah mati lemas. Walau bagaimanapun, ramai yang meragui teori itu kerana terdapat banyak faktor mencurigakan yang menunjukkan dia mungkin dibunuh oleh suku Asmat.

     Salah satu teori paling menyeramkan ialah Michael Rockefeller sebenarnya dibunuh dan dimakan oleh suku Asmat sebagai tindakan balas dendam. Walaupun dia sebelum ini mempunyai hubungan baik dengan mereka, sejarah hitam antara suku Asmat dan penjajah Belanda mungkin telah menjadi punca utama pembunuhannya. Pada tahun 1958 yakni tiga tahun sebelum kehilangan Michael, pihak Belanda telah menyerang salah satu perkampungan Asmat dan membunuh beberapa ketua suku mereka. Dalam budaya Asmat, kematian mesti dibalas dan mereka percaya bahawa roh nenek moyang mereka tidak akan tenang sehingga ada pembalasan setimpal. Disebabkan Michael Rockefeller merupakan seorang lelaki kulit putih yang menyerupai penjajah Belanda, ada kemungkinan dia dianggap sebagai musuh dan menjadi korban balas dendam tersebut. Selain faktor sejarah, kepercayaan budaya suku Asmat juga mungkin memainkan peranan dalam pembunuhan Michael. Mereka mempercayai kewujudan roh jahat yang boleh menyamar sebagai manusia dan kemunculan Michael yang tiba-tiba berenang ke daratan dalam keadaan lemah mungkin telah menimbulkan rasa takut atau curiga dalam kalangan penduduk tempatan. Di samping itu, dalam masyarakat Asmat, keputusan dibuat secara kolektif. Meskipun ada individu dalam suku itu yang menyukai Michael tetapi ketua suku memutuskan bahawa dia harus dibunuh, penduduk lain terpaksa mematuhinya.

     Pada tahun 2014, seorang wartawan bernama Carl Hoffman menjalankan siasatan dan menemui saksi tempatan yang mengaku bahawa suku Asmat memang telah membunuh dan memakan Michael Rockefeller. Seorang lelaki tua dari suku itu menceritakan bahawa Michael dibunuh dengan tombak, kepalanya dipenggal dan tubuhnya dimakan dalam upacara ritual. Walaupun kenyataan ini mengejutkan, tiada bukti fizikal yang dapat mengesahkan dakwaan tersebut kerana masyarakat Asmat tidak mempunyai rekod bertulis dan mayat Michael Rockefeller tidak pernah ditemui.

     Hingga pada hari ini, kehilangan Michael Rockefeller kekal sebagai salah satu misteri paling mengerikan dalam sejarah eksplorasi moden. Dia masih dianggap mati lemas tetapi bukti lisan dan kajian antropologi menunjukkan kemungkinan besar dia telah menjadi korban kanibalisme suku Asmat. Kejadian ini terus menjadi perbincangan di kalangan penyelidik dan penggemar sejarah serta menjadi contoh bagaimana pertembungan antara dunia moden dan budaya pribumi boleh membawa kepada akibat yang tidak terduga.

Catat Ulasan for "Misteri Kehilangan Michael Rockefeller : Mati Lemas atau Dibunuh?"