Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Misteri Remaja Hilang yang Terungkai Setelah Hampir 50 Tahun

     Pada 22 Mac 1995, satu penemuan mengejutkan berlaku di Santa Cruz County, California apabila sekumpulan pekerja pembinaan menemui sisa rangka manusia di dasar sungai berhampiran Lebuhraya 129. Waktu itu, pihak berkuasa tidak dapat mengenal pasti identiti individu tersebut kerana kekurangan bukti fizikal dan teknologi forensik yang terhad. Kes ini akhirnya dikategorikan sebagai kes mayat tidak dikenali atau John/Jane Doe dan dibiarkan tanpa jawapan selama hampir tiga dekad.

     Identiti rangka manusia ini akhirnya dikenal pasti pada bulan Mac 2025 sebagai milik Laura Ann O'Malley iaitu seorang remaja berusia 13 tahun yang berasal dari Queens, New York. Dia dilaporkan hilang pada Ogos 1975 selepas meninggalkan rumahnya. Menurut laporan keluarga, Laura mempunyai hubungan tegang dengan bapa tirinya yang dikatakan menjadi punca utama dia keluar dari rumah. Kali terakhir keluarga Laura mendengar berita daripadanya ialah melalui sepucuk surat yang diterima beberapa minggu selepas kehilangannya. Dalam surat tersebut, Laura menyatakan bahawa dia tidak akan pulang selagi bapa tirinya masih tinggal di rumah mereka. Cuma selepas itu, Laura tidak lagi dapat dihubungi.

     Sewaktu kehilangan Laura, tiada laporan rasmi dibuat kepada pihak berkuasa mungkin kerana anggapan bahawa dia sengaja melarikan diri dan akan kembali suatu hari nanti. Perkara ini menyebabkan kesnya tidak pernah didaftarkan dalam pangkalan data orang hilang sekaligus menyukarkan pencarian yang lebih sistematik.

     Pada 1995, sisa rangka yang ditemui di Santa Cruz dianggap sebagai kes pengebumian lama yang mungkin berasal dari zaman lampau. Disebabkan itu, pada mulanya tiada usaha serius dilakukan untuk menghubungkannya dengan kes orang hilang yang lebih moden. Namun pada tahun-tahun berikutnya, teknologi forensik semakin berkembang lalu membolehkan para penyiasat mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai rangka itu. Ujian radiokarbon yang dijalankan mendedahkan bahawa individu tersebut mungkin dilahirkan antara tahun 1964 hingga 1967 dan anggaran tarikh kematiannya pula adalah antara 1977 hingga 1984. Maklumat ini menimbulkan kecurigaan bahawa mayat tersebut sebenarnya bukan berasal dari zaman dahulu tetapi berkaitan dengan kes orang hilang yang lebih terkini.

     Pada tahun 2022, Pejabat Sheriff Santa Cruz County bekerjasama dengan Othram yakni sebuah syarikat penyelidikan DNA forensik terkemuka. Menggunakan genealogi genetik lanjutan, mereka mula membina profil DNA individu tersebut dan membandingkannya dengan pangkalan data genealogi awam. Proses ini akhirnya membawa kepada penemuan identiti sebenar sisa rangka itu sebagai Laura Ann O'Malley. Keluarga Laura dihubungi  dan ujian DNA mengesahkan bahawa sisa rangka itu memang miliknya. Selepas hampir 50 tahun, misteri kehilangan Laura akhirnya terungkai.

     Meskipun identitinya telah dikenalpasti, banyak persoalan masih belum mendapat jawapan. Tidak diketahui bagaimana Laura sampai ke California lebih-lebih lagi kerana dia berasal dari New York dan masih di bawah umur ketika hilang. Punca sebenar kematiannya juga masih menjadi tanda tanya. Adakah dia menjadi mangsa pembunuhan atau adakah dia terlibat dalam sesuatu kejadian malang yang menyebabkan kematiannya? Hingga kini, pihak berkuasa masih menyiasat keadaan sekeliling kematiannya. Pihak Pejabat Sheriff Santa Cruz County meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi mereka di talian 831-471-1121. Mereka berharap dengan lebih banyak bukti dan maklumat daripada orang awam, kes ini akhirnya dapat diselesaikan sepenuhnya.

Catat Ulasan for "Misteri Remaja Hilang yang Terungkai Setelah Hampir 50 Tahun "