Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pelajar PhD China di UK Ditangkap: Polis Percaya Lebih 50 Mangsa!


     London dikejutkan dengan kes seorang pelajar PhD dari China berusia 28 tahun iaitu Zhenhao Zou yang telah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas kesalahan merogol dan mendera sekurang-kurangnya 10 wanita di United Kingdom dan China dalam tempoh 2019 hingga 2023. Polis Metropolitan bagaimanapun percaya jumlah sebenar mangsa mungkin melebihi 50 orang menjadikannya salah seorang perogol bersiri paling prolifik dalam sejarah Britain. 

     Zou yang juga merupakan pelajar dalam bidang kejuruteraan mekanikal di University College London (UCL) menggunakan media sosial China dan aplikasi temu janji untuk mengenali serta memperdaya wanita terutamanya pelajar dari China yang menetap di UK. Dia menampilkan dirinya sebagai seorang lelaki yang berjaya dan berkarisma untuk menimbulkan kepercayaan dalam kalangan mangsanya sebelum mempelawa mereka ke kediamannya.

     Namun sebaik sahaja mangsa tiba, Zou memperdayakan mereka dengan dadah yang menyebabkan mereka tidak sedarkan diri atau hilang kawalan terhadap tubuh mereka. Apabila keadaan mereka lemah dan tidak mampu melawan, Zou kemudian melakukan serangan seksual di mana dalam kebanyakan kes dirakam olehnya sendiri. Di fahamkan Zou ditangkap setelah salah seorang mangsanya berjaya melarikan diri dan melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa. Wanita itu yang tidak sedarkan diri akibat dadah yang diberikan oleh Zou terbangun sebelum menyedari bahawa dia telah diserang. Dia segera melaporkan insiden berkenaan kepada polis yang kemudian memulakan siasatan terhadap Zou.


     Siasatan mendedahkan bahawa Zou menyimpan koleksi rakaman video serangan seksual ini dengan sekurang-kurangnya 58 video ditemui dalam peranti elektroniknya. Selain itu, dia juga mengambil barang peribadi mangsanya sebagai "trofi" untuk mengingati perbuatannya.

     Pihak berkuasa UK percaya bahawa Zou mungkin telah melakukan serangan ke atas lebih 50 wanita termasuk mangsa yang masih belum tampil ke hadapan kerana tidak sedar mereka telah didera. Ramai wanita yang menjadi mangsa Zou mungkin tidak menyedari mereka telah diserang kerana dadah yang digunakan olehnya mampu menghilangkan ingatan atau membuatkan mereka keliru tentang apa yang berlaku. Disebabkan itu, Polis Metropolitan telah membuat rayuan agar lebih ramai mangsa tampil memberi keterangan terutamanya dari komuniti pelajar China di UK. Walau bagaimanapun, mereka menghadapi kesukaran kerana ramai dalam komuniti ini takut untuk melaporkan kejadian tersebut atas faktor tekanan budaya, rasa malu, atau ketakutan terhadap hukuman sosial. Akibatnya banyak kes serangan seksual yang melibatkan mangsa dari komuniti ini tidak dilaporkan dan pelaku seperti Zou dapat beroperasi tanpa dikesan untuk tempoh yang lama.

     Selepas siasatan yang menyeluruh, Zou akhirnya disabitkan dengan pelbagai pertuduhan jenayah berat termasuk 11 pertuduhan rogol, memiliki bahan pornografi ekstrem, kurungan secara paksa dan memiliki dadah dengan niat melakukan jenayah seksual. Dia dijadualkan untuk dijatuhkan hukuman pada 19 Jun 2025, dan dijangka menerima hukuman penjara yang panjang dengan kemungkinan penjara hukuman seumur hidup memandangkan keparahan dan jumlah mangsa yang besar.

Catat Ulasan for "Pelajar PhD China di UK Ditangkap: Polis Percaya Lebih 50 Mangsa!"