Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pembunuhan Kejam di Bantul: Kekasih Dicekik, Mayat Disimpan Selama Enam Bulan

     Pada 25 September 2024, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Bantul, Yogyakarta, Indonesia. Seorang pemuda berusia 24 tahun bernama Muhammad Rafy Ramadhan telah membunuh kekasihnya iaitu Enggal Dika Puspita yang ketika itu berusia 23 tahun. Kejadian ini berlaku di rumah sewa mereka di Kampung Dawang, Padukuhan Manding RT 02, Kalurahan Sabdodadi, Bantul.

     Pada malam kejadian, Rafy dan Enggal dikatakan terlibat dalam satu pertengkaran hebat. Menurut pengakuan Rafy kepada pihak polis, Enggal mempunyai sikap emosional dan mudah marah yang sering menjadi punca perbalahan dalam hubungan mereka. Pada malam tersebut, pertengkaran mereka semakin memuncak menyebabkan Rafy hilang kawalan lalu mencekik Enggal hingga tidak bernyawa.

     Selepas menyedari bahawa dia telah membunuh kekasihnya, Rafy tidak segera melaporkan kejadian itu atau mengambil sebarang tindakan yang wajar. Dia sebaliknya membiarkan mayat Enggal terbiar di dalam rumah sewa mereka selama dua minggu. Bau busuk mula memenuhi ruang rumah tetapi Rafy tetap bertahan. Dia cuba bertindak seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku walaupun bau mayat semakin kuat. Namun setelah tidak tahan dengan bau yang semakin membusuk, Rafy akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah sewa itu dan menumpang tidur di rumah rakan-rakannya. Dia tidak memberitahu sesiapa tentang apa yang telah terjadi.

     Pada 7 Disember 2024 yakni setelah lebih dua bulan meninggalkan mayat kekasihnya tanpa diuruskan, Rafy kembali ke rumah sewa tersebut. Waktu itu, mayat Enggal sudah menjadi rangka. Dia kemudian mengumpulkan sisa-sisa tulang Enggal dan membungkusnya untuk dibawa pulang ke rumah ibu bapanya di Gading Lumbung, Donotirto, Kretek, Bantul.

     Setibanya di rumah keluarganya, Rafy melakukan sesuatu yang lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dia mencuci tulang-tulang Enggal menggunakan detergen untuk menghilangkan bau dan kesan daging yang masih melekat. Selain itu, bahagian tubuh yang masih mempunyai sisa daging dan lemak dibakar untuk memastikan tidak ada bukti jenayah yang boleh ditemui. Sesudah proses ini selesai, Rafy menyimpan rangka tulang Enggal di dalam biliknya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

     Kehilangan Enggal mula mencurigakan keluarganya kerana tidak dapat menghubungi atau mendapatkan khabar daripada Enggal selama beberapa bulan sebelum mereka membuat laporan orang hilang kepada pihak polis. Pihak berkuasa mula menjalankan siasatan dan menemui sesuatu yang aneh di mana motosikal milik Enggal masih digunakan oleh Rafy. Kecurigaan semakin meningkat apabila Rafy tidak dapat memberikan penjelasan yang jelas tentang keberadaan Enggal. Selepas penyiasatan lebih mendalam dilakukan, pihak polis akhirnya berjaya menemui rangka Enggal yang disimpan di dalam bilik Rafy. Maka Rafy pun ditangkap pada 20 Mac 2025.

     Semasa disoal siasat, Rafy akhirnya mengaku telah membunuh Enggal dan menjelaskan bagaimana dia menyembunyikan mayat kekasihnya selama enam bulan. Menerusi pengakuannya kepada pihak polis, Rafy menyatakan bahawa dia masih menyayangi Enggal. Walau bagaimanapun, dia mendakwa tidak tahan dengan perangai Enggal sering menyebabkan mereka kerap bergaduh. Rafy mendakwa bahawa pembunuhan itu bukan sesuatu yang dirancang tetapi berlaku akibat hilang kawalan semasa pertengkaran.

     Meskipun Rafy mendakwa dia tidak berniat untuk membunuh tetapi tindakan kejamnya selepas kejadian jelas menunjukkan sikapnya yang tidak berperikemanusiaan. Menyimpan mayat Enggal selama berminggu-minggu kemudian mencuci dan membakar sisa tubuhnya adalah sesuatu yang amat sukar diterima.

     Muhammad Rafy Ramadhan telah didakwa di bawah Pasal 339 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) Indonesia yang berkaitan dengan pembunuhan yang disertai dengan tindak jenayah lain. Sekiranya didapati bersalah, dia berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun. Pada masa ini, proses perbicaraan masih berlangsung dan hukuman akhir akan diputuskan oleh mahkamah berdasarkan bukti serta pertimbangan yang dikemukakan semasa prosiding.

Catat Ulasan for "Pembunuhan Kejam di Bantul: Kekasih Dicekik, Mayat Disimpan Selama Enam Bulan"