Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Pempengaruh Jepun Dibunuh Ketika Bersiaran Langsung


    Dunia media sosial Jepun dikejutkan dengan kejadian tragis melibatkan seorang pempengaruh terkenal iaitu Airi Sato atau lebih dikenali sebagai Ai Mogami. Airi maut selepas ditikam berkali-kali ketika sedang bersiaran langsung berhampiran Stesen Takadanobaba, Shinjuku Ward. Kejadian mengerikan itu disaksikan lebih 6,500 penonton secara langsung sebelum siaran terhenti secara tiba-tiba.

     Airi Sato yang berusia 22 tahun merupakan seorang pempengaruh yang aktif berkongsi aktiviti harian dan interaksi bersama peminat melalui platform penstriman langsung. Memiliki ribuan pengikut setia, siaran Airi sering menarik perhatian ramai terutama kerana sikapnya yang ceria dan gaya hidup yang menarik.

     Sementara itu, suspek dikenal pasti sebagai Kenichi Takano. Lelaki yang berusia 42 tahun tersebut telah berinteraksi dengan Airi dalam siarannya sejak 2021. Siasatan mendapati bahawa Takano telah memberikan wang sebanyak 2 juta yen (sekitar RM60,000) kepada Airi dalam tempoh dua tahun. Walaupun dia berjaya memenangi kes mahkamah untuk menuntut kembali wang tersebut, Airi masih belum membuat sebarang pembayaran.

     Pada hari kejadian, Takano berjaya menjejaki Airi dengan menggunakan latar belakang dalam siaran langsungnya. Dia mengenal pasti mercu tanda, papan tanda jalan dan bangunan di sekitar lokasi Airi sebelum dapat menentukan dengan tepat di mana pempengaruh itu berada.


     Menurut laporan Kyodo News, Takano sebelum ini pernah cuba menghubungi Airi melalui mesej peribadi dan meninggalkan komen dalam siaran langsungnya untuk menuntut wangnya kembali tetapi dia tidak mendapat sebarang respon. Disebabkan berasa marah dan dikhianati, dia akhirnya membuat keputusan untuk bertemu Airi secara langsung dan menuntut wang tersebut dengan caranya sendiri.

     Pada pagi kejadian, 11 Mac 2025, Airi sedang bersiaran langsung di sekitar Stesen Takadanobaba. Dia berinteraksi dengan penonton seperti biasa. Walau bagaimanapun, siaran itu bertukar menjadi detik mengerikan apabila Takano muncul secara tiba-tiba dan menyerangnya dengan sebilah pisau sepanjang lima inci. Dia menikam Airi berulang kali di bahagian leher, kepala, dan dada. Jeritan Airi kedengaran dalam siaran langsung sebelum siaran itu terhenti secara tiba-tiba. Penonton yang menyaksikan kejadian tersebut tergamam dan ramai yang segera menghubungi pihak polis selepas menyedari apa yang sedang berlaku.

     Selepas serangan tersebut, Takano tidak melarikan diri. Dia sebaliknya berdiri di tempat kejadian dengan pakaian berlumuran darah dan menunggu ketibaan polis. Semasa ditahan, Takano mengaku menikam Airi kerana marah dan merasa dikhianati selepas memberi wang dalam jumlah besar tetapi tidak mendapat sebarang bayaran semula.

     Rakaman siaran langsung kejadian itu tersebar di media sosial dalam tempoh beberapa jam, menyebabkan kejutanan besar dalam kalangan netizen. Ribuan peminat Airi meluahkan rasa sedih dan tidak percaya bahawa pempengaruh kegemaran mereka dibunuh secara kejam. Ada juga yang mengecam tindakan Takano dan menuntut hukuman berat dikenakan terhadapnya.

     Pihak berkuasa Jepun kini sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kes ini dan Takano dijangka akan didakwa atas tuduhan membunuh dalam masa terdekat. Insiden ini juga mengingatkan masyarakat Jepun tentang kejadian serupa pada tahun 2016 di mana seorang artis pop, Mayu Tomita, ditikam berkali-kali oleh seorang peminat yang marah kerana cintanya ditolak. Tomita mengalami kecederaan parah akibat tikaman di leher dan dada tetapi dia berjaya diselamatkan. Kisah Mayu Tomita ini boleh dibaca di sini :  KISAH MAYU TOMITA - Keobsesan Seorang Peminat

Catat Ulasan for "Pempengaruh Jepun Dibunuh Ketika Bersiaran Langsung"