Punca Sebenar Kematian Bruce Lee

Bruce Lee merupakan seorang yang obsesif dengan latihan dan disiplin fizikal. Sebelum kematiannya, dia sedang sibuk dalam pasca-produksi filem Enter the Dragon yang dijangka melonjakkan lagi namanya di Hollywood. Namun pada 10 Mei 1973 yakni ketika Bruce sedang melakukan proses alih suara untuk filem tersebut di Golden Harvest Studios, dia tiba-tiba rebah. Bruce mengadu sakit kepala yang amat teruk dan mengalami sawan yang menyebabkan badannya kejang. Dia segera dikejarkan ke Hospital Baptist Hong Kong di mana doktor mendapati otaknya telah membengkak sebanyak 13%. Para doktor berpendapat bahawa dia mengalami reaksi alahan terhadap Equagesic, sejenis ubat tahan sakit yang mengandungi aspirin dan meprobamate (sejenis penenang otot). Walaupun Bruce pulih selepas dirawat, kejadian itu menjadi tanda awal sesuatu yang tidak kena dengan kesihatannya. Selepas insiden itu, Bruce Lee tetap meneruskan kehidupannya seperti biasa. Dia tidak menunjukkan kebimbangan yang ketara dan terus bekerja keras menyempurnakan Game of Death, sebuah filem yang dijangka menjadi mahakarya seni bela dirinya.

Pada 20 Julai 1973, Bruce Lee mengadakan pertemuan dengan penerbit filem Raymond Chow pada waktu pagi untuk berbincang mengenai projek Game of Death. Mereka berbincang selama beberapa jam sebelum Bruce dan Raymond pergi ke rumah Betty Ting Pei, seorang pelakon Taiwan yang juga rapat dengannya. Di rumah Betty, Bruce meneruskan perbincangan mengenai skrip filem. Pada petang tersebut, dia mengadu sakit kepala kepada Betty. Sebagai penyelesaian cepat, Betty memberinya satu pil Equagesic, ubat yang sama dikaitkan dengan kejadian rebahnya sebelum ini. Selepas mengambil ubat tersebut, Bruce berbaring untuk berehat.
Setelah beberapa jam berlalu, Bruce langsung tidak bangun. Betty cuba mengejutkannya tetapi Bruce tidak memberi sebarang tindak balas. Bimbang akan keadaan Bruce, Betty segera menghubungi Raymond Chow. Setelah gagal membangunkan Bruce, Raymond menghubungi doktor peribadi Betty yang bernama Dr. Eugene Chu. Doktor tersebut cuba memberi rawatan kecemasan tetapi mendapati Bruce sudah tidak memberi tindak balas. Dalam keadaan panik, mereka segera menghubungi ambulans. Bruce dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth tetapi sebaik tiba di sana, doktor mengesahkan bahawa dia telah meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati bahawa otak Bruce membengkak secara drastik, meningkat dari 1,400 gram ke 1,575 gram, iaitu sekitar 13% lebih besar daripada saiz normal. Doktor menyimpulkan bahawa punca kematian adalah akibat "edema otak yang disebabkan oleh reaksi terhadap Equagesic." Walau bagaimanapun, tidak semua orang menerima penjelasan rasmi ini. Kematian Bruce Lee terus menjadi misteri yang mencetuskan pelbagai teori dan spekulasi.
Salah satu teori yang sering diperkatakan ialah pembunuhan oleh kumpulan Triad Hong Kong. Kumpulan kongsi gelap ini dikatakan tidak senang dengan kejayaan Bruce dalam industri perfileman terutama kerana dia enggan bekerjasama dengan mereka. Ada spekulasi bahawa Bruce telah menerima ancaman daripada triad kerana menolak untuk memberi mereka pengaruh dalam industri filem Hong Kong. Disebabkan itu, ada yang percaya bahawa kematiannya bukanlah satu kebetulan tetapi satu konspirasi yang telah dirancang.

Selain teori pembunuhan, terdapat juga kepercayaan bahawa keluarga Lee mengalami sumpahan. Kepercayaan ini semakin kuat selepas anak Bruce, Brandon Lee telah meninggal dunia dalam keadaan tragik ketika penggambaran filem The Crow pada tahun 1993. Brandon ditembak secara tidak sengaja dengan pistol prop yang sepatutnya berisi peluru kosong tetapi mengandungi serpihan peluru sebenar. Kejadian ini menyebabkan ramai yang percaya bahawa keluarga Lee mengalami sumpahan yang menyebabkan kematian tragis mereka berdua.
Teori lain yang lebih saintifik ialah strok haba. Bruce Lee diketahui menjalani latihan intensif sehingga tubuhnya kehilangan banyak lemak yang mungkin menjadikannya lebih terdedah kepada dehidrasi. Pada masa itu, Hong Kong mengalami cuaca panas yang melampau dan Bruce telah berlatih dalam bilik yang tidak mempunyai pendingin hawa. Faktor ini boleh menyebabkan strok haba yang seterusnya membawa kepada pembengkakan otak seperti dalam laporan hasil bedah siasatnya.

Selain strok haba, ada juga teori bahawa Bruce telah diracun sama ada secara tidak sengaja atau disengajakan. Spekulasi ini timbul kerana dia meninggal dunia secara tiba-tiba selepas mengambil ubat tahan sakit yang diberi oleh Betty. Ada yang percaya bahawa ubat tersebut telah dicemari atau mengandungi bahan tertentu yang menyebabkan kematiannya. Namun tiada bukti yang menyokong dakwaan ini.
Jenazah Bruce Lee diterbangkan ke Seattle, Amerika Syarikat, di mana dia telah dikebumikan di Lake View Cemetery pada 31 Julai 1973. Upacara pengebumiannya dihadiri oleh ramai figura terkenal dalam industri perfileman dan seni bela diri termasuk Steve McQueen, James Coburn dan Chuck Norris.
Kematian Bruce Lee pada usia 32 tahun meninggalkan kejutan besar di seluruh dunia. Filem Enter the Dragon ditayangkan selepas kematiannya dan menjadi salah satu filem seni bela diri paling berpengaruh dalam sejarah. Walaupun telah lama meninggal dunia, Bruce Lee bukan saja dikenang sebagai sebagai seorang pelakon tetapi juga sebagai seorang pemikir, ahli falsafah seni bela diri dan pelopor yang mengubah persepsi dunia terhadap kung fu.
Catat Ulasan for "Punca Sebenar Kematian Bruce Lee"