Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Saat-Saat Terakhir Ted Bundy Sebelum Dihukum Mati: Tangisan & Ketakutan


     Ted Bundy merupakan salah seorang pembunuh bersiri paling terkenal dalam sejarah Amerika Syarikat. Dia dikenali bukan sahaja kerana jumlah mangsanya yang ramai tetapi juga kerana keperibadiannya yang manipulatif serta kebolehannya memperdaya orang di sekelilingnya. Ted sering digambarkan sebagai lelaki yang tampan dan berketerampilan. Namun di sebalik imej tersebut, dia adalah seorang pemangsa kejam yang bertanggungjawab atas kematian puluhan wanita muda. Setelah bertahun-tahun menafikan jenayahnya, dia akhirnya dihukum mati di kerusi elektrik pada 24 Januari 1989 di Penjara Negeri Florida. Hari-hari terakhirnya dipenuhi dengan ketakutan dan penyesalan berbeza dengan sikap tenang serta penuh keyakinan yang sering ditunjukkannya sebelum itu.

     Sehari sebelum dihukum mati, Ted ditempatkan di "death watch cell," iaitu sel khas bagi banduan yang bakal menjalani hukuman mati. Dia berada di bawah pengawasan ketat untuk mengelakkan sebarang cubaan mencederakan diri sendiri. Pada hari tersebut, Ted menerima kunjungan terakhir daripada Pastor James Dobson iaitu seorang paderi Kristian konservatif yang turut menjalankan wawancara dengannya. Dalam wawancara itu, dia menyalahkan ketagihannya terhadap pornografi sebagai faktor utama yang mendorongnya melakukan jenayah kejam. Ted mendakwa bahawa keganasan dalam bahan pornografi telah memberi pengaruh besar terhadap keinginannya untuk membunuh. Walau bagaimanapun, ramai yang percaya bahawa kenyataan ini hanyalah satu lagi cubaan Ted untuk mengalihkan perhatian daripada kekejamannya yang sebenar.

     Ted juga meluangkan masa berbual dengan peguamnya dan beberapa pegawai penjara. Waktu ini, dia mula menunjukkan tanda-tanda ketakutan yang jelas. Jika sebelum ini Ted sering tampil dengan keyakinan tinggi tetapi ada hari terakhirnya, sikapnya berubah sama sekali. Dia menjadi gelisah dan sukar untuk tidur. Beberapa orang pegawai penjara melaporkan bahawa Ted kelihatan semakin cemas selain sering berjalan mundar-mandir di dalam selnya seolah-olah sedang bergelut dengan ketakutan yang semakin memuncak.

     Pada malam terakhir sebelum eksekusi, Ted ditawarkan hidangan terakhir yang boleh dipesan hingga harga $20 tetapi dia menolak dan hanya diberikan hidangan piawaian penjara seperti stik, telur, roti bakar dengan mentega serta jem, kentang goreng, susu dan jus oren. Ted bagaimanapun tidak menyentuh makanan itu kerana terlalu gelisah. Dia tidak dapat tidur sepanjang malam dan keadaannya semakin tidak menentu. Ketika jam menghampiri waktu pelaksanaan hukuman, ketakutannya semakin jelas. Ini jelas berbeza dengan keangkuhan yang pernah ditunjukkannya di mahkamah suatu ketika dahulu.

     Sekitar jam 4:50 pagi, Ted dibangunkan oleh pegawai penjara untuk persiapan terakhir. Dia diberikan pakaian khas untuk dihukum dan dikawal rapi. Sebelum dibawa ke bilik hukuman, Ted diberi peluang untuk memberikan kenyataan terakhir. Namun dia hanya berkata dengan suara lemah, "Jim and Fred, I'd like you to give my love to my family and friends." Kata-kata ini ditujukan kepada dua pegawai penjara yang bersamanya. Pada saat ini, Ted tidak lagi cuba berlagak tenang seperti sebelumnya.  Menurut laporan beberapa saksi, dia sempat menangis sebelum dibawa ke kerusi elektrik.

    Pada jam 7:06 pagi, Ted dibawa ke bilik hukuman di Penjara Negeri Florida. Tangannya diikat dan elektroda dipasang pada kepalanya untuk memastikan arus elektrik dapat mengalir dengan sempurna. Seorang pegawai membacakan hukuman secara rasmi sebelum suis elektrik dihidupkan. Apabila arus berkuasa tinggi mula mengalir, tubuh Ted menegang dan asap mula keluar dari kepalanya akibat kulit yang terbakar. Proses ini berlangsung hampir satu minit sebelum doktor mengesahkan kematiannya pada jam 7:16 pagi.

      Di luar penjara, ratusan orang berkumpul untuk menyaksikan berita kematiannya. Ramai yang bersorak gembira, malah ada yang membawa sepanduk bertulis "Burn, Bundy, Burn!" sebagai tanda kepuasan mereka melihat pembunuh kejam ini akhirnya menerima hukuman setimpal. Bagi keluarga mangsa, ini adalah hari yang telah lama mereka nantikan. Selepas kematiannya, jasad Ted dibawa ke rumah mayat untuk proses autopsi. Walaupun ada spekulasi bahawa otaknya akan dikaji untuk mencari tanda-tanda kecacatan neurologi yang mungkin berkaitan dengan tingkah lakunya, tiada bukti kukuh ditemui. Dia akhirnya dikebumikan di lokasi yang dirahsiakan tanpa sebarang tanda atau batu nisan untuk mengenang namanya.


Catat Ulasan for "Saat-Saat Terakhir Ted Bundy Sebelum Dihukum Mati: Tangisan & Ketakutan"