Selena Quitanilla : Kisah Pembunuhan Ikon Muzik Tejano

Selena Quintanilla merupakan salah seorang penyanyi Latin paling berpengaruh dalam sejarah muzik. Dilahirkan pada 16 April 1971 di Lake Jackson, Texas, Selena membesar dalam keluarga yang sangat mencintai muzik. Bapanya, Abraham Quintanilla Jr. yang juga merupakan seorang bekas pemuzik menyedari bakat luar biasa Selena sejak kecil. Pada usia sembilan tahun, Selena menjadi vokalis utama kumpulan keluarganya iaitu Selena y Los Dinos, bersama abangnya, A.B. Quintanilla, sebagai pemain bass dan kakaknya, Suzette pula bermain dram.
Sejak awal, perjalanan Selena dalam dunia muzik tidak mudah. Keluarganya bergantung kepada persembahan di restoran, majlis perkahwinan dan pesta tempatan untuk mencari rezeki. Kemelesetan ekonomi menyebabkan restoran keluarga mereka terpaksa ditutup hingga memaksa mereka menjadikan muzik sebagai punca pendapatan utama. Selena akhirnya mendapat pengiktirafan apabila dia memenangi anugerah Female Vocalist of the Year di Tejano Music Awards pada tahun 1987 sekaligus menandakan permulaan kejayaannya dalam industri muzik Tejano yakni genre muzik Latin yang ketika itu didominasi oleh lelaki.

Pada tahun 1989, Selena menandatangani kontrak dengan EMI Latin yang membuka peluang untuknya merakamkan album di bawah label besar. Album terkenalnya ialah seperti Ven Conmigo (1990), Entre a Mi Mundo (1992), dan Amor Prohibido (1994) yang melonjakkan namanya ke peringkat antarabangsa. Lagu-lagu seperti Como La Flor, Bidi Bidi Bom Bom dan Amor Prohibido menjadi kegemaran ramai. Selain kejayaan dalam muzik, Selena turut mengembangkan empayar fesyennya dengan membuka dua butik, Selena Etc..
Dengan populariti yang semakin meningkat, Selena bersiap sedia untuk menembusi pasaran muzik arus perdana di Amerika Syarikat dengan album bahasa Inggeris pertamanya, Dreaming of You. Walau bagaimanapun impian itu hancur apabila dia dibunuh oleh seseorang yang dipercayainya sendiri, Yolanda Saldivar.

Yolanda Saldivar pada asalnya ialah seorang jururawat yang juga peminat tegar Selena. Dia berjaya membina kepercayaan keluarga Selena sehingga dilantik sebagai presiden kelab peminat rasmi dan pengurus butik Selena Etc.. Namun tidak lama kemudian, keluarga Selena mula menyedari bahawa Yolanda telah menyeleweng wang daripada kelab peminat dan perniagaan Selena. Apabila perkara ini terbongkar, Abraham Quintanilla Jr. mendesak Yolanda untuk menyerahkan dokumen kewangan yang membuktikan penyelewengannya.
Pada 31 Mac 1995, Selena bertemu Yolanda di sebuah bilik motel di Days Inn, Corpus Christi, Texas untuk mengambil dokumen yang masih belum diserahkan. Beberapa hari sebelum itu, Yolanda telah membeli sepucuk pistol .38 kaliber kononnya untuk melindungi dirinya sendiri. Ketika bertemu Selena, Yolanda mendakwa dia telah dirogol di Mexico tetapi doktor yang memeriksanya tidak menemukan sebarang bukti yang menyokong dakwaan itu. Selena akhirnya memutuskan untuk mengakhiri hubungan mereka secara rasmi yang menyebabkan Yolanda berasa marah dan tertekan. Dalam keadaan terdesak, Yolanda telah mengeluarkan pistol dan menembak Selena dari belakang ketika penyanyi itu cuba meninggalkan bilik. Meskipun cedera parah, Selena masih mampu berlari ke lobi motel untuk meminta bantuan. Sebelum rebah, dia sempat menyebut nama Yolanda sebagai penembaknya. Selena dikejarkan ke hospital sebelum dia disahkan meninggal dunia pada pukul 1:05 petang akibat kehilangan banyak darah.

Pembunuhan Selena mengejutkan dunia. Ribuan peminat berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya dan media melaporkan berita kematiannya secara meluas. Yolanda Saldivar kemudiannya ditangkap selepas bersembunyi dalam trak pikapnya selama sembilan jam sambil mengacukan pistol ke kepalanya dalam usaha membunuh diri. Dia bagaimanapun akhirnya menyerah diri kepada pihak polis. Dalam perbicaraan pada Oktober 1995, Yolanda disabitkan bersalah atas pembunuhan peringkat pertama dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol selama 30 tahun pertama. Pada tahun 2025, Yolanda pertama kali layak untuk memohon parol setelah menjalani 30 tahun hukuman. Permohonan tersebut ditolak oleh pihak berkuasa kerana beberapa faktor termasuk risiko keselamatan dan bantahan daripada keluarga Selena serta peminatnya.
Walaupun hayatnya pendek, legasi Selena terus hidup. Album Dreaming of You yang dikeluarkan selepas kematiannya menduduki tangga pertama dalam carta Billboard 200, satu pencapaian luar biasa bagi artis Latin. Kisah hidupnya juga diadaptasi ke dalam filem Selena (1997) lakonan Jennifer Lopez, yang membantu melonjakkan kerjaya J.Lo di Hollywood. Pada tahun 2020, Netflix menghasilkan siri Selena: The Series yang memperincikan perjalanan hidupnya. Selena juga diberikan penghormatan dengan bintang di Hollywood Walk of Fame dan pelbagai anugerah lain yang mengiktiraf sumbangannya dalam muzik Latin.
Catat Ulasan for "Selena Quitanilla : Kisah Pembunuhan Ikon Muzik Tejano"