SIAPA BUNUH TUPAC SHAKUR?

Tupac Amaru Shakur atau lebih dikenali sebagai 2Pac merupakan salah seorang ikon hip-hop paling berpengaruh sepanjang zaman. Lahir pada 16 Jun 1971 di Harlem, New York, Tupac membesar dalam persekitaran yang dipenuhi dengan perjuangan hak asasi dan kemiskinan. Ibunya iaitu Afeni Shakur merupakan ahli kumpulan Black Panther yang aktif memperjuangkan hak orang Afrika-Amerika. Sejak dari kecil lagi, Tupac telah menunjukkan bakat luar biasa dalam bidang seni dan sastera. Dia mendapat pendidikan dalam seni persembahan dan puisi sebelum akhirnya menceburi dunia hip-hop.
Sebagai seorang artis, Tupac bukan sekadar penyanyi rap biasa. Lirik-liriknya penuh dengan kritikan sosial, isu ketidakadilan, keganasan geng dan kehidupan di jalanan. Album pertamanya, 2Pacalypse Now (1991) telah mendapat perhatian luas kerana mengandungi mesej yang kuat mengenai ketidakadilan sosial dan kekejaman polis. Namun kejayaan besar Tupac bermula dengan album Me Against the World (1995), yang dianggap sebagai salah satu album hip-hop terbaik sepanjang zaman. Pada tahun 1996, album All Eyez on Me melonjakkan namanya sebagai salah seorang artis rap paling berjaya di dunia dengan lagu-lagu seperti California Love dan How Do U Want It menjadi hits besar.

Namun di sebalik kejayaannya, kehidupan peribadi Tupac penuh dengan kontroversi. Dia sering terlibat dalam konflik dengan pihak berkuasa, pertelingkahan geng dan perseteruan dengan artis lain. Paling terkenal adalah konflik East Coast vs. West Coast di mana Tupac menjadi wajah utama West Coast dan sering bertelagah dengan rapper East Coast seperti Notorious B.I.G. dan label rakaman Bad Boy Records. Ketegangan ini semakin memuncak apabila Tupac pernah ditembak dalam satu insiden rompakan di New York pada tahun 1994. Dia percaya bahawa kejadian itu adalah hasil konspirasi pihak lawan dan sejak itu perseteruan antara dua pihak ini semakin membara.
Tragedi bermula pada 7 September 1996 ketika Tupac menghadiri perlawanan tinju antara Mike Tyson dan Bruce Seldon di MGM Grand, Las Vegas. Selepas perlawanan tamat, Tupac dan rombongannya terlibat dalam pergaduhan dengan seorang lelaki bernama Orlando Anderson yang dipercayai ahli kumpulan geng Southside Crips. Rakaman CCTV menunjukkan Tupac menumbuk Anderson sebelum beberapa orang daripada kumpulannya turut menyerang lelaki itu. Tidak lama selepas kejadian itu, Tupac dan CEO Death Row Records, Suge Knight, menaiki sebuah BMW 750iL hitam dalam perjalanan menuju ke kelab malam Club 662.

Pada 11:17 malam yakni ketika mereka berhenti di lampu isyarat di Flamingo Road dan Koval Lane, sebuah Cadillac putih secara tiba-tiba muncul di sebelah kanan kenderaan mereka. Tanpa sebarang amaran, individu tidak dikenali dalam Cadillac tersebut melepaskan 13 das tembakan ke arah Tupac dan Suge Knight. Tupac terkena empat das tembakan dengan satu daripadanya mengenai dada dan merosakkan paru-parunya. Suge Knight pula hanya mengalami kecederaan ringan akibat serpihan peluru. Setelah melakukan serangan itu, kenderaan suspek melarikan diri dan tidak pernah dikenal pasti sehingga hari ini.
Selepas kejadian, Tupac segera dikejarkan ke University Medical Center of Southern Nevada di mana dia menjalani beberapa pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya. Para doktor terpaksa membuang sebelah paru-parunya yang rosak akibat tembakan. Dia berada dalam keadaan koma selama enam hari dengan keluarganya berada di sisinya. Akhirnya, pada 13 September 1996, Tupac mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pada usia 25 tahun.

Kematian Tupac mengundang pelbagai teori konspirasi dan spekulasi mengenai siapa yang bertanggungjawab membunuhnya. Salah satu teori paling popular adalah penglibatan Orlando Anderson, individu yang bergaduh dengan Tupac sebelum kejadian. Ada yang percaya bahawa geng Southside Crips merancang serangan sebagai balas dendam. Walau bagaimanapun, Anderson menafikan keterlibatannya dan dia dibunuh dalam insiden tembak-menembak pada tahun 1998. Selain itu, ada juga teori bahawa pembunuhan ini berpunca daripada perseteruan East Coast vs. West Coast dengan pihak yang menyokong Bad Boy Records dikatakan mahu menyingkirkan Tupac.
Satu lagi teori yang sering diperkatakan adalah konspirasi dari Death Row Records sendiri. Ada spekulasi bahawa Suge Knight mungkin mempunyai motif untuk menyingkirkan Tupac kerana penyanyi rap itu dikatakan mahu keluar dari label Death Row dan membuka labelnya sendiri. Teori ini bagaimanapun agak lemah kerana Suge Knight juga berada dalam kenderaan yang sama dan hampir terbunuh dalam kejadian itu.

Selepas hampir tiga dekad tanpa sebarang tangkapan, pada September 2023, polis akhirnya menahan seorang lelaki bernama Duane "Keffe D" Davis atas dakwaan membunuh Tupac. Keffe D adalah bekas ahli geng yang sebelum ini mengaku bahawa dia berada dalam Cadillac putih pada malam kejadian. Dia mendakwa mengetahui siapa yang menembak Tupac tetapi enggan mendedahkan nama sebenar individu tersebut. Walaupun penahanannya dianggap sebagai perkembangan besar dalam kes ini, banyak persoalan masih belum terjawab. Pada awalnya, perbicaraan Davis dijadualkan bermula pada Mac 2025 tetapu pasukan pembelaannya telah memfailkan permohonan bagi menangguhkan perbicaraan tersebut dengan alasan memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan lanjut dan menemu bual saksi-saksi baru. Pihak mahkamah telah bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan dan menetapkan tarikh baru pada 9 Februari 2026.
Kematian Tupac Shakur kekal sebagai salah satu misteri terbesar dalam dunia muzik hip-hop. Sama ada dia dibunuh kerana dendam geng, perseteruan industri muzik atau konspirasi dari dalam, satu perkara yang pasti ialah Tupac telah meninggalkan legasi yang kekal dalam sejarah muzik. Lagu-lagunya yang menyentuh isu sosial, perjuangan dan kehidupan jalanan masih relevan sehingga ke hari ini sekaligus menjadikannya sebagai penyanyi rap legenda yang tidak akan dilupakan.
Catat Ulasan for "SIAPA BUNUH TUPAC SHAKUR?"