Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Skandal Hu Jiyong: Pegawai Tinggi CNPC Dipecat, ‘Gaun Pemecatan’ Jadi Fenomena


     Pada bulan Jun 2023, China dikejutkan dengan skandal besar membabitkan seorang pegawai kanan China National Petroleum Corporation (CNPC) yakni salah satu syarikat minyak terbesar dan paling berpengaruh di negara itu. Individu tersebut iaitu Hu Jiyong yang memegang jawatan tinggi dalam syarikat dipecat serta-merta selepas tersebar videonya berpegangan tangan dengan seorang wanita muda di tempat awam.

     Skandal ini mula mendapat perhatian umum apabila seorang jurugambar jalanan di bandar Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan telah merakam gambar dan video seorang lelaki berpegangan tangan dan berjalan mesra dengan seorang wanita di jalan terkenal Chunxi Road. Jurugambar itu tidak mengetahui identiti pasangan berkenaan. 


     Pada mulanya, video tersebut hanya sekadar kandungan biasa yang dimuat naik ke Douyin (TikTok versi China). Namun selepas beberapa jam, netizen mula menyedari bahawa lelaki dalam video itu bukan orang biasa. Dia adalah Hu Jiyong, seorang eksekutif kanan dalam CNPC. Apa yang lebih mengejutkan, wanita di sebelahnya itu bukan isteri atau ahli keluarganya tetapi seorang pekerja bawahan di syarikat yang sama yang dikenali sebagai Dong Sijin. Video tersebut terus menjadi viral di Weibo dan ramai yang mengecam tindakan Hu kerana dia merupakan seorang pegawai kerajaan yang sepatutnya menunjukkan integriti dan profesionalisme yang tinggi.

     Hu Jiyong ialah pengarah eksekutif, pengurus besar dan juga setiausaha Parti di Huanqiu Project Management (Beijing) Co Ltd yakni anak syarikat CNPC. Selain mempunyai pengaruh besar dalam industri minyak dan gas China, dia merupakan pegawai kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan projek-projek bernilai tinggi. Sebagai pegawai kerajaan dan eksekutif dalam syarikat milik negara, Hu diwajibkan untuk mematuhi disiplin ketat Parti Komunis China (PKC). Mana-mana pegawai yang didapati menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam salah laku boleh dikenakan tindakan tegas.


     Dong Sijin pula merupakan seorang pekerja bawahan di syarikat yang sama. Netizen menemui akaun media sosialnya dan mendapati dia sering memuat naik gambar percutian eksklusif, makanan mewah serta barangan berjenama. Ada spekulasi bahawa bapanya ialah seorang pegawai tinggi dalam CNPC yang mungkin membolehkannya mendapat pekerjaan dengan mudah di syarikat tersebut.  Selain itu, ramai juga percaya bahawa Hu Jiyong menaja kehidupan mewahnya walaupun tiada bukti rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

     Selepas skandal ini tersebar luas, CNPC bertindak pantas. Pada 7 Jun 2023, syarikat itu mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa Hu Jiyong dipecat serta-merta daripada semua jawatan dalam syarikat. Begitu juga dengan Dong Sijin yang turut ditamatkan kontraknya sebagai pekerja. Siasatan dalaman syarikat dan jawatankuasa disiplin Parti Komunis China mendapati bahawa Hu bukan sahaja melanggar etika kerja tetapi juga menyalahgunakan kuasa serta sumber syarikat untuk tujuan peribadi.


     Pada 7 Julai 2023, hukuman lebih berat dijatuhkan di mana Hu Jiyong dilucutkan keahlian daripada Parti Komunis China. Dia turur dipecat sepenuhnya daripada semua jawatan kerajaan dan korporat. Dokumen siasatan mendedahkan bahawa Hu telah beberapa kali menggunakan jadual perjalanan rasmi untuk tujuan peribadi, termasuk menghabiskan masa dengan Dong Sijin.

     Selain daripada pemecatan Hu dan Dong, satu perkara lain yang menarik perhatian dalam skandal ini ialah pakaian yang dipakai oleh Dong Sijin dalam video tersebut. Dalam video tersebut, Dong mengenakan gaun merah jambu ringkas tetapi bergaya yang kemudiannya dikenali sebagai "Dismissal Dress" (Gaun Pemecatan) kerana peranannya dalam mendedahkan skandal ini. Tidak lama selepas itu, jualan gaun serupa meningkat secara mendadak di platform e-dagang seperti Taobao dan JD.com. Carian untuk gaun merah jambu telah meningkat lebih 300% dalam masa beberapa hari. Peniaga di China mula menjenamakan gaun serupa sebagai ‘Gaun Simpanan’ atau ‘Gaun Skandal’ dan ia menjadi trend fesyen yang luar biasa.

Catat Ulasan for "Skandal Hu Jiyong: Pegawai Tinggi CNPC Dipecat, ‘Gaun Pemecatan’ Jadi Fenomena"