Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Sweet Bobby: Kisah Catfishing yang Gila


     Kirat Assi tidak pernah menyangka bahawa kisah percintaannya yang berlangsung hampir sedekad sebenarnya hanyalah sebuah penipuan licik yang dirancang dengan begitu teliti. Lebih mengejutkan,  dalang di sebalik penipuan ini bukanlah orang asing tetapi sepupu wanitanya sendiri. Kes ini yang didedahkan melalui audio siar (podcast) Sweet Bobby pada tahun 2021 dan kemudian difilemkan dalam dokumentari Netflix Sweet Bobby: My Catfish Nightmare pada tahun 2024.

     Pada tahun 2009, Kirat Assi iaitu seorang penyampai radio dan pembantu acara di United Kingdom mula berkenalan dengan seorang lelaki bernama Dr. Bobby Jandu melalui media sosial. Bobby mendakwa dirinya seorang pakar kardiologi dan berasal dari komuniti Sikh yang sama dengan Kirat. Pada mulanya, hubungan mereka sekadar kenalan biasa tetapi lama-kelamaan mereka menjadi semakin rapat. Bobby sering berkongsi cerita tentang kehidupannya dan menunjukkan keprihatinan terhadap Kirat menyebabkan Kirat percaya bahawa dia telah menemui pasangan hidup yang tepat.

Dr. Bobby

     Namun setiap kali Kirat meminta untuk bertemu, Bobby sentiasa mengelak dengan pelbagai alasan. Dia mendakwa sedang berada dalam program perlindungan saksi, mengalami masalah kesihatan serius atau menghadapi konflik keluarga yang menyukarkan kehidupannya. Bagi menguatkan kisahnya, Bobby memperkenalkan Kirat kepada ‘keluarga’ dan ‘rakan-rakannya’ melalui media sosial yang sebenarnya hanyalah watak-watak rekaan yang diwujudkan untuk menyokong penipuan ini.

     Kirat mempercayai hubungan ini selama bertahun-tahun walaupun terdapat beberapa petanda mencurigakan. Gaya komunikasi Bobby sering berubah-ubah seolah-olah dikendalikan oleh individu yang berbeza. Kadang-kadang mesej yang dihantar kepadanya tidak selari dengan perbualan sebelum ini. Lebih aneh yakni setiap kali mereka berbual melalui telefon, suara Bobby kedengaran berbeza seperti dimanipulasi.

     Keadaan menjadi lebih pelik apabila Bobby mengaturkan satu ‘perkahwinan simbolik’ dengan Kirat dalam hubungan jarak jauh mereka seolah-olah mengesahkan hubungan mereka secara rasmi. Walau bagaimanapun, Bobby tetap mengelak untuk bertemu secara fizikal. Kirat akhirnya tidak dapat mengabaikan kecurigaannya lagi apabila semakin banyak perkara yang tidak masuk akal dalam hubungan ini.

Simran Boghal

     Hinggalah pada tahun 2018, Kirat mula melakukan penyiasatan sendiri dengan bantuan rakan-rakannya. Mereka meneliti jejak digital Bobby dan semua individu yang pernah berkomunikasi dengan Kirat dalam ‘lingkaran sosial’ Bobby. Melalui analisis mendalam terhadap akaun media sosial dan rekod digital, mereka mendapati bahawa terdapat lebih daripada 60 akaun media sosial yang terlibat dalam membina kisah Bobby dan kesemuanya dikendalikan oleh individu yang sama. Menerusi bantuan pakar forensik digital, Kirat dan rakan-rakannya menjejak alamat IP (Internet Protocol) daripada mesej-mesej yang diterima daripada Bobby serta individu lain yang kononnya merupakan rakan dan keluarganya. Hasil analisis mendapati bahawa semua akaun ini mempunyai corak alamat IP yang sama dan berasal dari satu lokasi sahaja. Apabila lokasi tersebut dianalisis lebih lanjut, mereka mendapati bahawa semua komunikasi ini sebenarnya datang dari rumah seseorang yang tidak disangka, sepupu wanita Kirat sendiri yang dikenali sebagai Simran Bhogal.

     Kebenaran ini benar-benar mengejutkan Kirat. Sepupunya sendiri itu telah mencipta keseluruhan identiti Bobby Jandu dan lebih 60 akaun media sosial palsu untuk membina satu dunia rekaan. Simran bukan sahaja menyamar sebagai Bobby tetapi juga sebagai ahli keluarga dan rakan-rakan Bobby untuk memperdayakan Kirat. Simran juga menggunakan perisian manipulasi suara untuk meniru suara lelaki setiap kali bercakap dengan Kirat di telefon. Perkara ini menjelaskan mengapa suara Bobby kedengaran berbeza-beza sepanjang perhubungan mereka. Setiap perbualan, mesej dan interaksi yang Kirat lalui selama hampir sepuluh tahun hanyalah satu ilusi yang direka sepenuhnya oleh Simran.

     Semasa Kirat berdepan dengan Simran dan mendesaknya untuk mengaku, Simran akhirnya mengakui segala perbuatannya. Wanita itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang alasan jelas mengapa dia sanggup melakukan penipuan yang begitu kompleks dan berpanjangan ini. Kirat bukan sahaja berasa tertipu bahkan juga rasa dikhianati oleh darah dagingnya sendiri.

     Selepas menemui kebenaran, Kirat cuba mendapatkan keadilan dengan melaporkan kes ini kepada pihak polis. Namun pada waktu itu, tiada undang-undang khusus di United Kingdom yang mengklasifikasikan catfishing sebagai jenayah. Disebabkan itu, tiada tindakan jenayah yang boleh diambil terhadap Simran Bhogal. Walaupun begitu, Kirat memfailkan kes sivil terhadap Simran atas gangguan, penyalahgunaan maklumat peribadi dan pelanggaran perlindungan data. Pada tahun 2020, Kirat memenangi kes ini hingga menyebabkan Simran terpaksa meminta maaf secara rasmi dan membayar pampasan kewangan kepada Kirat.

Catat Ulasan for "Sweet Bobby: Kisah Catfishing yang Gila"