Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

TIGA WANITA DITEMUI MATI SECARA MISTERI DALAM BILIK HOTEL


     Pada Februari 2025, tiga wanita warga Amerika Syarikat iaitu Kaoutar Naqqad (23 tahun), Imane Mallah (24 tahun) dan Wafae El-Arar (26 tahun) ditemui mati di bilik hotel mereka di Royal Kahal Beach Resort, San Pedro, Belize. Ketiga-tiga mereka berasal dari Revere, Massachusetts dan melancong ke Belize bagi meraikan ulang tahun kelahiran El-Arar. Mereka telah mendaftar masuk ke hotel pada 19 Februari tetapi pada 22 Februari pihak hotel menemui mereka dalam keadaan tidak bernyawa setelah beberapa hari tidak keluar dari bilik mereka.

     Semasa staf hotel menemui mereka, tiada tanda-tanda pencerobohan atau kecederaan fizikal pada tubuh mereka. Walau bagaimanapun, buih ditemui di sekitar mulut setiap mangsa yakni petunjuk biasa bagi kes-kes overdosis dadah atau keracunan. Dalam bilik mereka, pihak berkuasa turut menemui pelbagai barangan seperti alkohol, vape elektronik dan gula-gula getah yang disyaki mengandungi ganja.

     Laporan awal dari Perkhidmatan Sains Forensik Belize menunjukkan bahawa ketiga-tiga wanita mengalami edema pulmonari akut iaitu keadaan di mana cecair berkumpul dalam paru-paru sehingga menyukarkan pernafasan dan boleh membawa maut. Walaupun ini merupakan satu petunjuk kepada punca kematian, siasatan masih diteruskan dengan ujian toksikologi bagi mendapatkan kepastian tentang bahan yang mungkin menyebabkan kematian mereka.

    Pihak polis Belize pada mulanya mengesyaki bahawa kematian wanita-wanita ini berpunca daripada overdosis dadah terutamanya selepas penemuan gula-gula getah yang disyaki mengandungi bahan terlarang. Namun teori ini segera dipersoalkan oleh keluarga dan rakan-rakan mangsa di Amerika Syarikat. Mereka menegaskan bahawa ketiga-tiga wanita itu bukanlah individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah selain dikenali sebagai wanita bertanggungjawab dan berperwatakan baik. Ramai yang meragui bagaimana ketiga-tiga mereka boleh mati serentak dalam keadaan sebegitu terutamanya apabila tidak ada sebarang petunjuk bahawa mereka mengamalkan gaya hidup berisiko.

     Di Revere, Massachusetts, satu majlis memperingati diadakan untuk mengenang mereka dan ramai yang hadir menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap cara pihak berkuasa mengendalikan kes ini. Keluarga mangsa mendesak siasatan yang lebih telus dan menyeluruh serta mahu kerajaan Amerika Syarikat turut campur tangan bagi memastikan keadilan ditegakkan.

     Jabatan Negara Amerika Syarikat telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedang memantau perkembangan kes ini dan akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Belize. Sehingga kini, keputusan ujian toksikologi masih belum diumumkan dan kes ini kekal sebagai misteri.

     Sementara itu, terdapat kebimbangan tentang keselamatan pelancong di Belize terutama apabila kes kematian pelancong asing yang mencurigakan bukanlah sesuatu yang asing di sana. Ada pihak yang mencadangkan supaya kerajaan Belize meningkatkan langkah keselamatan dan ketelusan dalam siasatan kes seumpama ini bagi memastikan pelancong berasa selamat melancong ke negara itu.

Catat Ulasan for "TIGA WANITA DITEMUI MATI SECARA MISTERI DALAM BILIK HOTEL"