Tragedi Keluarga Chelyshev: Maut Akibat Gas Beracun dari Kentang Busuk

Pada tahun 2013, satu kejadian tragis menimpa satu keluarga Chelyshev di Laishevo, sebuah daerah kecil di Tatarstan, Rusia. Keluarga ini terdiri daripada Mikhail Chelyshev, seorang profesor undang-undang berusia 42 tahun, isterinya, Anastasia, anak lelaki mereka, Georgy, ibu Mkhail, Iraida dan seorang anak perempuan bernama Maria yang baru berusia lapan tahun. Kejadian ini bermula dengan mengambil kentang dari ruang bawah tanah. Namun siapa sangka tindakan rutin itu akhirnya meragut nyawa hampir seluruh ahli keluarga.
Pada hari kejadian, Mikhail turun ke ruang bawah tanah rumah mereka untuk mengambil kentang. Di Rusia, menyimpan bahan makanan seperti kentang di ruang bawah tanah adalah perkara biasa terutama bagi menghadapi musim sejuk. Tanpa keluarga Chelyshev sedari, kentang-kentang yang disimpan di situ telah lama membusuk dan melepaskan gas beracun. Ruang bawah tanah yang tertutup dengan pengudaraan yang terhad menyebabkan gas tersebut terkumpul dalam jumlah yang berbahaya. Sebaik sahaja Mikhail masuk dan menghidu gas itu, dia serta-merta rebah dan tidak sedarkan diri sebelum akhirnya meninggal dunia.

Tidak lama selepas itu, Anastasia mula berasa risau apabila suaminya tidak kembali. Disebabkan berasa risau, dia pun turun untuk melihat keadaan Mikhail. Tanpa mengetahui bahaya yang menantinya, Anastasia turut menghidu gas beracun yang masih memenuhi ruang tersebut. Dia terus rebah dan mengalami nasib yang sama seperti suaminya.
Selang beberapa waktu, giliran Georgy pula berasa hairan mengapa ibu bapanya belum kembali. Jadi dia memutuskan untuk memeriksa keadaan. Georgy bergegas melangkah masuk ke ruang bawah tanah tanpa menyedari bahaya yang tersembunyi di dalamnya. Malangnya dia juga tidak bertahan lama setelah menghidu gas beracun dan akhirnya meninggal dunia di situ.
Kematian mereka tidak terhenti di situ. Iraida yang berasa panik dengan ehilangan semua ahli keluarga mengambil keputusan untuk turun dan melihat sendiri apa yang berlaku. Sebaik sahaja Iraidamemasuki ruang tersebut, dia juga mengalami kesan gas beracun yang sama. Pada waktu yang singkat, empat nyawa telah terkorban dalam ruang bawah tanah rumah mereka sendiri.

Dalam tragedi ini, seorang sahaja yang terselamat iaitu Maria. Dia langsung tidak menyedari apa yang telah berlaku pada awalnya. Memandangkan usianya yang masih kecil, Maria tidak terfikir untuk turun ke ruang bawah tanah serta-merta. Hanya selepas beberapa jam, Maria akhirnya memberanikan diri untuk mencari keluarganya. Dia turun ke ruang bawah tanah sebelum menemui ibu, bapa, abang dan neneknya terbaring tidak bernyawa.
Nasib menyebelahi Maria kerana pada waktu tersebut gas beracun yang sebelum ini berada dalam kepekatan tinggi mungkin sudah mula tersebar atau kurang berbahaya akibat sedikit aliran udara. Jika Maria turun lebih awal yakni ketika gas masih pekat, dia juga mungkin akan mengalami nasib yang sama seperti keluarganya.

Setelah menyedari keluarganya tidak bergerak dan suasana semakin sunyi, Maria melarikan diri ke luar rumah dan meminta bantuan jiran. Apabila pihak berkuasa tiba, mereka menemui empat mayat dalam ruang bawah tanah dan hanya Maria sebagai satu-satunya yang masih hidup.
Kejadian ini membawa kesedaran tentang bahaya gas beracun yang boleh dihasilkan oleh bahan organik yang membusuk. Kentang yang sudah rosak mengeluarkan gas beracun seperti solanin yang dalam jumlah besar boleh menyebabkan pening, sesak nafas, kehilangan kesedaran dan akhirnya kematian. Dalam kes keluarga Chelyshev, ruang bawah tanah yang kurang pengudaraan menyebabkan gas beracun itu terperangkap dan menjadi perangkap maut bagi mereka yang masuk ke dalamnya.
Catat Ulasan for "Tragedi Keluarga Chelyshev: Maut Akibat Gas Beracun dari Kentang Busuk"