Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WARTAWAN CANTIK DIBUNUH ANGGOTA TENTERA


     Kes pembunuhan Juwita, seorang wartawan muda berusia 23 tahun dari Banjarbaru, Kalimantan Selatan telah mengejutkan masyarakat Indonesia. Pada awalnya, kematian Juwita disangka sebagai satu kemalangan jalan raya. Walau bagaimanapun,  siasatan lanjut pihak berkuasa mendedahkan pembunuhan kejam tersebut dilakukan oleh individu paling dipercayainya sendiri iaitu kekasihnya yang juga merupakan seorang anggota Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) yang hanya dikenali sebagai J.

     Pada 22 Mac 2025, Juwita ditemui tidak bernyawa di tepi jalan raya di Banjarbaru. Pihak berkuasa yang tiba di lokasi kejadian pada mulanya menganggap kematian Juwita berpunca daripada kemalangan tunggal. Mayatnya ditemui dengan kesan kecederaan teruk di kepala dan badan dan motosikalnya kelihatan rosak teruk seolah-olah terlibat dalam perlanggaran.

     Pemeriksaan awal menunjukkan kecederaan yang dialami oleh Juwita tidak konsisten dengan kemalangan jalan raya biasa. Selain itu, barang-barang peribadinya seperti telefon bimbit dan dompetnya hilang. Keluarga Juwita terutama abangnya, Praja Ardinata menuntut agar pihak berkuasa melakukan siasatan yang lebih menyeluruh. Mereka yakin bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kematian Juwita lebih-lebih lagi kerana dia tidak mempunyai musuh atau masalah kewangan yang boleh membawa kepada sesuatu yang buruk.


     Selepas beberapa hari siasatan, pihak polis menemui petunjuk penting daripada komputer riba dan akaun media sosial Juwita. Mereka mendapati bahawa mangsa mempunyai perbualan terakhir dengan kekasihnya, J yang menunjukkan tanda-tanda pertelingkahan. Melalui rakaman CCTV di sekitar kawasan kejadian, polis mendapati bahawa sebelum kejadian, Juwita telah bertemu dengan seorang lelaki di lokasi berhampiran tempat penemuan mayatnya. Setelah mengenal pasti lelaki tersebut sebagai J, pihak polis mula menumpukan siasatan terhadapnya.

     Pada 26 Mac 2025, J akhirnya ditahan oleh pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. Hasil soal siasat mendedahkan bahawa Juwita sebenarnya telah dibunuh sebelum diletakkan di lokasi yang direka seolah-olah dia mengalami kemalangan. Berdasarkan siasatan, J dan Juwita sudah lama menjalin hubungan dan merancang untuk berkahwin pada Mei 2025. Hubungan mereka bagaimanapun dikatakan mengalami ketegangan beberapa minggu sebelum kejadian. Juwita dipercayai mengetahui sesuatu yang boleh menjejaskan karier J sebagai anggota TNI AL. Terdapat spekulasi bahawa J terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang dan Juwita mungkin telah mengugut untuk mendedahkannya kepada pihak berkuasa atau pihak media. J yang panik dan bimbang reputasinya musnah dipercayai telah bertindak di luar kawalan dengan membunuh Juwita. Setelah membunuh Juwita, J cuba membuatkan ia kelihatan seperti kemalangan jalan raya untuk mengelakkan dirinya daripada disyaki.

     Komandan Polisi Militer Lanal Balikpapan, Mayor Laut (PM) Ronald L. Ganap telah mengesahkan bahawa J telah ditahan dan sedang disiasat di bawah perundangan tentera. Jika didapati bersalah, J boleh berdepan hukuman berat termasuk hukuman mati atau penjara seumur hidup. Pihak berkuasa berjanji untuk mengendalikan kes ini dengan penuh ketelusan selain memastikan bahawa J mendapat hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Catat Ulasan for "WARTAWAN CANTIK DIBUNUH ANGGOTA TENTERA"