22 Tahun Belah Bukit Demi Isteri : Kisah Dashrath Manji

Dalam dunia moden yang sering diwarnai dengan kisah cinta bersifat materialistik dan sementara, muncul satu kisah luar biasa dari sebuah kampung terpencil di India yang mampu menggegarkan jiwa sesiapa yang mendengarnya. Kisah ini bukanlah dongeng atau cerita mitos tetapi kisah benar tentang seorang lelaki biasa bernama Dashrath Manjhi yang melakukan sesuatu di luar jangkaan manusia iaitu membelah bukit dengan tangannya sendiri selama lebih dua dekad. Kisahnya bermula daripada tragedi, tetapi berakhir sebagai inspirasi sejagat mengenai cinta sejati, ketabahan dan semangat tidak mengenal lelah.
Dashrath Manjhi berasal dari kampung Gehlaur, sebuah kawasan miskin dan terpencil di negeri Bihar, India. Kampung ini dipisahkan oleh sebuah bukit besar yang menyukarkan penduduk untuk mendapatkan akses kepada kemudahan asas seperti sekolah, pasar dan hospital di bandar terdekat, Wazirganj. Pada tahun 1959, isteri Manjhi iaitu Phaguniya Devi mengalami kecederaan teruk selepas terjatuh ketika menuruni bukit tersebut. Disebabkan tiada jalan pintas dan ketiadaan kenderaan serta kemudahan kesihatan di kampung, Phaguniya tidak sempat dibawa ke hospital dalam masa yang mencukupi dan akhirnya meninggal dunia. Kematian isterinya akibat kekurangan infrastruktur ini menyayat hati Manjhi dan mengubah seluruh hidupnya.

Dalam kesedihan yang mendalam, Dashrath Manjhi mengambil keputusan yang pada ketika itu dianggap gila oleh masyarakat sekeliling. Dia bertekad untuk membelah bukit tersebut sendiri agar tiada lagi nyawa melayang kerana terputusnya hubungan antara kampung dan bandar. Tanpa pendidikan tinggi, tanpa bantuan kerajaan dan tanpa sokongan masyarakat pada awalnya, Manjhi hanya bergantung kepada satu perkara yakni keazamannya. Maka dengan bermodalkan alat asas seperti tukul, pahat dan cangkul, dia memulakan tugas berat itu seorang diri, siang dan malam. Pada waktu pagi, Manjhi bekerja sebagai buruh untuk menyara hidup dan pada waktu petang hingga malam, dia kembali ke bukit untuk menyiapkan misinya yang kelihatan mustahil.
Bukan sehari, bukan seminggu tetapi selama 22 tahun, dari 1960 hingga 1982, Dashrath Manjhi terus menggali, memotong dan mengukir bukit batu itu dengan tangannya sendiri. Dia menghadapi panas terik, hujan lebat, kelaparan, keletihan fizikal dan tekanan mental. Lebih menyakitkan, pada peringkat awal, Manjhi dicemuh dan diketawakan oleh masyarakat. Ramai menganggapnya gila dan buang masa. Walau bagaimanapun, Manjhi tidak pernah goyah. Dalam hatinya hanya satu niat, tiada lagi isteri, anak atau warga kampung yang akan mati hanya kerana jalan yang tidak ada. Kekuatan emosinya menjadi bahan bakar kepada tenaganya.

Akhirnya, setelah dua dekad lebih, Manjhi berjaya membina sebuah laluan sepanjang 110 meter, selebar 9.1 meter dan setinggi 7.6 meter, satu pencapaian luar biasa yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana individu dengan tangan kosong. Laluan itu bukan sahaja memudahkan hubungan kampung dengan bandar, malah membawa perubahan ketara dalam kehidupan ratusan keluarga di kawasan tersebut. Perjalanan yang dahulunya mengambil masa berjam-jam kini dapat dilakukan dalam beberapa minit sahaja. Jalan yang Manjhi bina telah membuka peluang pendidikan, perniagaan dan perubatan kepada generasi baharu di kampung Gehlaur.
Setelah usaha Manjhi mendapat perhatian media, dia akhirnya menerima pengiktirafan dari kerajaan India. Jalan tersebut dijadikan laluan rasmi dan dibina semula dengan turapan yang lebih kukuh. Kerajaan turut menghadiahkan Manjhi tanah dan mengiktiraf sumbangannya kepada pembangunan masyarakat setempat. Manjhi meninggal dunia pada 17 Ogos 2007 di Institut Sains Perubatan India (AIIMS), New Delhi. Dia disahkan menghidap penyakit kanser saluran hempedu. Sebagai penghormatan atas jasa dan pengorbanan Manjhi, kerajaan negeri Bihar mengadakan upacara pengebumian rasmi negeri untuknya, satu penghormatan yang jarang diberikan kepada rakyat biasa.

Kisah hidup Manjhi kemudian diangkat dalam filem biografi berjudul Manjhi: The Mountain Man yang ditayangkan pada tahun 2015. Filem ini membawa kisahnya ke pentas antarabangsa dan memperkenalkan nama Dashrath Manjhi kepada dunia sebagai simbol cinta dan keberanian.
Catat Ulasan for "22 Tahun Belah Bukit Demi Isteri : Kisah Dashrath Manji"