Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ahli Biologi Mati Dikerat di Colombia


     Alessandro Coatti iaitu seorang ahli biologi warganegara Itali berusia 45 tahun telah menjadi mangsa kepada satu pembunuhan kejam. Mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan pada awal April 2025 di Santa Marta, sebuah bandar pesisir yang terletak di utara Colombia. Coatti yang dilaporkan hilang oleh rakan-rakannya beberapa hari sebelum itu ditemui dalam keadaan tubuh yang telah dikerat dan disumbat ke dalam sebuah beg pakaian. 

     Alessandro Coatti sebelum ini merupakan pegawai dasar sains kanan di Royal Society of Biology (RSB), sebuah institusi berprestij di London, United Kingdom. Sepanjang tempoh lapan tahun berkhidmat di sana, Coatti dikenali sebagai seorang saintis berdedikasi, beretika dan disenangi oleh rakan-rakan sekerjanya. Pada akhir tahun 2024, dia mengambil keputusan untuk meninggalkan jawatannya dan memulakan pengembaraan sebagai sukarelawan di Ecuador. Di samping itu, Coatti merancang untuk mengembara ke beberapa lokasi di Amerika Selatan untuk tujuan penyelidikan lapangan yang berkaitan dengan spesies haiwan tempatan khususnya di kawasan hutan dan pergunungan yang kaya dengan biodiversiti.

     Santa Marta menjadi salah satu destinasi beliau kerana kedudukannya yang strategik berhampiran dengan kawasan semula jadi seperti perkampungan Minca yang terkenal dengan hutan tropika dan spesies endemik. Semasa berada di bandar tersebut, Coatti dipercayai menginap di sebuah hostel. Menurut beberapa laporan, dia berhasrat untuk menjalankan penyelidikan bebas di kawasan pedalaman. Namun begitu, niat murni itu berakhir dengan tragedi apabila Coatti gagal dihubungi dan dilaporkan hilang oleh kenalan rapatnya. Beberapa hari kemudian, penduduk tempatan menjumpai beg pakaian yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan pihak berkuasa membawa kepada penemuan mayat Coatti dalam keadaan telah dikerat.

     Kes ini mendapat perhatian serius daripada pihak berkuasa Colombia. Datuk Bandar Santa Marta, Carlos Pinedo Cuello yang mengeluarkan kenyataan mengecam kekejaman ini dan mengumumkan ganjaran sebanyak lebih USD 11 000 bagi sesiapa yang dapat memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pelaku. Dia turut berikrar bahawa keadilan akan ditegakkan dan jenayah ini tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Namun sehingga kini, siasatan masih berjalan dan tiada individu yang dikenal pasti sebagai suspek utama. Ketidakjelasan ini menambahkan lagi tekanan kepada pihak berkuasa tempatan yang sememangnya berdepan cabaran besar dalam menangani jenayah di kawasan yang sering menjadi tumpuan pelancong asing.

     Sementara itu, pihak Royal Society of Biology dalam kenyataan mereka turut merakamkan ucapan takziah dan menyifatkan pemergian Coatti sebagai satu kehilangan besar buat dunia sains.

Catat Ulasan for "Ahli Biologi Mati Dikerat di Colombia"