Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ancaman Sextortion : Kisah Kematian Jordan DeMay

     Sextortion merujuk kepada suatu bentuk pemerasan seksual yang melibatkan ancaman untuk menyebarkan gambar, video atau maklumat peribadi intim seseorang jika mereka tidak memenuhi tuntutan pemeras, biasanya berupa wang atau perkara lain. Dalam kes sextortion, mangsa sering kali diugut dengan ancaman untuk mendedahkan gambar atau video peribadi yang telah dihantar dalam konteks hubungan dalam talian yang sering kali melibatkan individu yang berpura-pura menjadi seseorang yang mereka percayai. Modus operandi ini biasanya berlaku di platform media sosial atau aplikasi mesej dalam talian.

     Salah satu kes tragis yang melibatkan sextortion ini ialah kes Jordan DeMay iaitu seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dari Marquette, Michigan yang mengambil keputusan untuk menamatkan riwayat hidupnya pada 25 Mac 2022 selepas menjadi mangsa sindiket pemerasan seksual rentas negara. Segalanya bermula apabila Jordan dihubungi oleh individu tidak dikenali melalui Instagram. Individu tersebut menyamar sebagai seorang wanita yang tertarik untuk berkenalan dengan Jordan. Melalui pendekatana yang licik dan meyakinkan, Jordan akhirnya terpedaya dan menghantar gambar intim kepada “wanita” tersebut. 

     Selepas gambar-gambar itu dihantar, Jordan mula menerima ugutan daripada pihak yang sebenarnya adalah sindiket pemerasan seksual dari Nigeria. Mereka menuntut wang berjumlah $1000 (sekitar RM4400) dengan ancaman untuk menyebarkan gambar-gambar tersebut kepada keluarga, rakan-rakan dan kenalan Jordan sekiranya permintaan tidak dipenuhi. Dalam keadaan terdesak dan panik, Jordan hanya mampu menghantar $300 tetapi pemeras ugut itu tetap tidak berpuas hati. Malah mereka mula memberi tekanan psikologi dengan kata-kata kejam, menggesa Jordan untuk membunuh diri sekiranya tidak mampu menyelesaikan bayaran selebihnya.

     Kata-kata yang tidak berperikemanusiaan itu benar-benar menghantui Jordan. Dalam tempoh hanya beberapa jam selepas menerima ugutan terakhir, Jordan dilaporkan telah menembak dirinya sendiri. Kematian Jordan ini membuka dimensi baharu kepada isu jenayah siber di Amerika Syarikat kerana ia melibatkan sindiket antarabangsa yang beroperasi di luar jangkauan mangsa dan pihak berkuasa tempatan. Namun melalui kerjasama antara pihak berkuasa Amerika Syarikat dan agensi keselamatan antarabangsa, dua beradik dari Nigeria yang dikenali sebagai Samuel Ogoshi (24 tahun) dan Samson Ogoshi (21 tahun)  akhirnya dikenal pasti sebagai dalang utama dalam kes sextortion tersebut.

     Kedua-dua suspek telah diekstradisi ke Amerika Syarikat dan dibicarakan atas pelbagai pertuduhan berkaitan eksploitasi seksual, pemerasan dan menyebabkan kematian secara tidak langsung. Pada September 2024, mereka telah dijatuhi hukuman penjara selama 17 tahun dan 6 bulan diikuti lima tahun pengawasan selepas dibebaskan. Kes ini turut mendedahkan bahawa sindiket mereka telah mensasarkan lebih 100 remaja lain dari pelbagai negara. Jordan cuma salah seorang daripada ramai mangsa yang tidak bernasib baik. Dalam perkembangan lain, lima individu dari beberapa negeri di Amerika Syarikat termasuk Georgia dan Alabama turut ditahan kerana terlibat dalam pengubahan wang haram hasil daripada skim pemerasan tersebut.

     Kematian Jordan telah memberi impak besar terutama kepada keluarganya yang mengambil langkah proaktif untuk memperjuangkan undang-undang yang lebih ketat berkaitan jenayah sextortion. Bapanya, John DeMay telah menjadi suara utama dalam mendidik masyarakat tentang bahaya jenayah ini. Dia telah bekerjasama dengan penggubal undang-undang di Michigan untuk memperkenalkan undang-undang khas berkaitan sextortion. Hasil usaha itu, undang-undang baru telah diluluskan dan mula berkuat kuasa pada 2 April 2025, menetapkan hukuman khas dan lebih berat terhadap pesalah yang terbukti terlibat dalam aktiviti pemerasan seksual secara digital.

     Pihak FBI dan pelbagai agensi keselamatan lain turut menyarankan beberapa langkah pencegahan yang wajar diamalkan oleh masyarakat umum terutama pengguna media sosial. Antaranya termasuklah mengelakkan perkongsian gambar atau maklumat peribadi dengan individu tidak dikenali, tidak mudah percaya dengan kenalan baharu dalam talian dan sentiasa melaporkan sebarang ugutan atau aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa. 

Catat Ulasan for "Ancaman Sextortion : Kisah Kematian Jordan DeMay"