Ayah Saya Makan Mata Saya : Kisah Angelo Mendoza

Pada 28 April 2009 bertempat di Bakersfield, California, seorang bapa iaitu Angelo Mendoza Sr. yang berusia 34 tahun didakwa mencederakan anak kandungnya sendiri yang baru berusia empat tahun, Angelo Mendoza Jr. dalam serangan yang mengejutkan dan tidak berperikemanusiaan. Apa yang lebih mengerikan ialah kenyataan daripada kanak-kanak malang itu sendiri yang memberitahu polis bahawa "ayah saya makan mata saya".
Kejadian tersebut berlaku di sebuah apartmen di Bakersfield apabila jiran-jiran terdengar bunyi bising yang mencurigakan sebelum menemui Angelo Jr. dalam keadaan bogel dan berdarah di hadapan pintu rumah mereka. Keadaan fizikal kanak-kanak itu sangat menyedihkan di mana satu matanya hilang sepenuhnya manakala mata yang satu lagi mengalami kerosakan yang sangat teruk. Ketika dibawa ke hospital, doktor tidak dapat memberikan jaminan sama ada penglihatan anak kecil itu dapat diselamatkan. Kanak-kanak itu juga mengalami kecederaan pada muka dan badan.

Beberapa jam selepas kejadian, Angelo Sr. ditemui oleh pihak polis dalam keadaan bogel dan berlumuran darah di luar rumah jirannya. Dia dilaporkan telah mencederakan dirinya sendiri dengan menggunakan kapak dan berada dalam keadaan yang sangat tidak stabil. Siasatan awal polis mendapati bahawa Angelo Sr. berada di bawah pengaruh PCP (phencyclidine) yakni sejenis dadah halusinogenik yang boleh menyebabkan paranoia, agresif dan tindak balas ganas yang tidak terkawal. PCP dikenali sebagai salah satu dadah paling berbahaya yang sering dikaitkan dengan keganasan ekstrem dan kehilangan kawalan mental. Pengaruh bahan ini dipercayai menjadi punca utama tindakannya yang sadis terhadap anaknya.
Apa yang lebih mengejutkan ialah latar belakang Angelo Sr. sendiri. Rekod jenayah menunjukkan bahawa sejak tahun 1997, dia telah beberapa kali ditangkap atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan berkaitan dadah dan keganasan. Malah, pada tahun 2006, Angelo Sr. dan pasangannya pernah ditahan dan didakwa atas kesalahan berada di bawah pengaruh dadah PCP dan kekejaman terhadap kanak-kanak. Walaupun pernah dikenakan tindakan undang-undang, pasangan tersebut masih diberi hak jagaan terhadap anak mereka.

Berikutan kejadian ini, Angelo Sr. telah ditahan dan didakwa atas beberapa pertuduhan jenayah yang sangat berat. Antara pertuduhan utama termasuklah penyeksaan (torture) di bawah Penal Code Section 206 yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup, kecederaan teruk dengan niat jahat (aggravated mayhem) di bawah Penal Code Section 205 yang turut membawa hukuman penjara seumur hidup serta penderaan kanak-kanak (child abuse) di bawah Penal Code Section 273d yang memperuntukkan hukuman sehingga enam tahun penjara. Perbicaraan juri telah ditetapkan untuk bermula pada 22 November 2010. Status hukuman Angelo Sr. tidak dapat dipastikan. Cuma dalam tempoh perbicaraan tersebut, Angelo Jr. ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat sementara pihak kebajikan memutuskan tindakan susulan.
Angelo Jr. telah menjalani proses pemulihan daripada trauma fizikal dan emosi. Pembedahan mata, rawatan psikologi serta kaunseling diberikan kepadanya secara berkala. Kerajaan negeri California turut membantu menanggung sebahagian kos perubatan dan kaunselingnya meskipun jumlah bantuan itu tidak mencukupi untuk menampung semua keperluannya. Ibu kandung Angelo Jr. masih hidup namun hanya dibenarkan melawat anaknya dalam pengawasan ketat berikutan rekod penyalahgunaan dadah yang dimilikinya.

Pada 21 Oktober 2021, Angelo Jr. yang ketika itu sudah berusia 17 tahun dilaporkan hilang di kawasan Chandler, Arizona. Mujurlah dia ditemui dalam keadaan selamat pada beberapa hari kemudian. Kini, Angelo Jr. dilaporkan sedang membina kehidupan yang lebih stabil. Terdapat satu akaun Instagram atas nama Angelo Mendoza yang aktif memuat naik gambar-gambar bertemakan fotografi, perjalanan dan seni. Walaupun tidak disahkan sepenuhnya, ramai mempercayai bahawa akaun tersebut milik Angelo Jr. berdasarkan beberapa petunjuk visual dan latar belakang.
Catat Ulasan for "Ayah Saya Makan Mata Saya : Kisah Angelo Mendoza"