Beku Seperti Batu Tetapi Tidak Mati: Kisah Ajaib Jean Hilliard

Kisah Jean Hilliard merupakan salah satu insiden luar biasa dalam sejarah perubatan yang masih membingungkan pakar sehingga hari ini. Kejadian ini berlaku pada malam 20 Disember 1980 di sebuah bandar kecil bernama Lengby, Minnesota ketika suhu menjunam ke sekitar -30°C.
Jean Hilliard yang baru berusia 19 tahun keyika itu sedang dalam perjalanan pulang dari rumah seorang rakan. Dia memandu sebuah kereta Ford LTD milik bapanya melalui jalan bersalji dan licin. Namun dalam keadaan cuaca yang terlampau sejuk, enjin keretanya tiba-tiba mati akibat masalah mekanikal yang disebabkan oleh suhu beku. Keretanya terbabas ke dalam parit di tepi jalan hingga menyebabkan dia terkandas di tengah malam tanpa sebarang alat pemanas.
Menyedari bahawa dia tidak boleh tinggal dalam kereta dalam suhu yang melampau itu, Jean mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke rumah rakannya iaitu Wally Nelson yang terletak kira-kira dua batu (3.2 km) dari situ. Berbekalkan hanya jaket musim sejuk, sarung tangan dan but koboi, dia meredah salji tebal dalam kegelapan malam dengan harapan dapat mencari bantuan.

Selepas beberapa lama berjalan dalam kesejukan yang menggigit, tubuh Jean mula menunjukkan tanda-tanda hipotermia. Pergerakannya semakin perlahan dan pandangannya menjadi kabur. Akhirnya, tubuhnya tidak lagi mampu bertahan dan dia rebah ke tanah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan jarak hanya beberapa meter dari rumah Wally Nelson. Jean terbaring di atas salji selama kira-kira enam jam di mana dia sepenuhnya terdedah kepada suhu di bawah paras beku. Salji yang menutupi badan Jean menyebabkan tubuhnya menjadi keras seperti bongkah ais.
Pada keesokan paginya, kira-kira jam 7 pagi, Wally Nelson keluar dari rumahnya dan terlihat sesuatu yang aneh di atas salji. Dia terkejut apabila mendapati Jean terbaring kaku dalam keadaan yang sangat mengerikan di mana kulitnya keras seperti kayu, matanya beku serta idak memberi sebarang tindak balas dan tubuhnya seolah-olah telah mati sepenuhnya. Walaupun menyangka Jean sudah meninggal dunia, Wally tetap membawanya ke hospital dengan harapan ada keajaiban yang boleh menyelamatkannya. Namun ketika Wally mengangkat Jean ke dalam kenderannya, badan Jean begitu beku hingga Wally terpaksa meletakkannya secara menyerong di tempat duduk kerana tubuhnya sudah kaku dan tidak boleh dibengkokkan.
Apabila Jean tiba di hospital Fosston Municipal, doktor yang merawatnya, Dr. George Sather percaya bahawa peluang untuk menyelamatkannya adalah sangat tipis. Suhu badan Jean terlalu rendah sehingga termometer biasa tidak dapat mengukurnya, bermakna suhunya berada di bawah 27°C (suhu normal manusia ialah sekitar 37°C). Ketika doktor cuba mencucuk jarum ke dalam kulit Jean, mereka mendapati bahawa badannya begitu beku sehingga jarum suntikan tidak dapat menembusi kulit. Matanya juga membeku dan tiada sebarang tindak balas daripada anak matanya. Malah doktor tidak dapat mengesan sebarang degupan jantung pada awalnya.

Walau bagaimanapun, mereka tetap tidak berputus asa dan memutuskan untuk memanaskan tubuhnya secara perlahan-lahan dengan menggunakan selimut elektrik. Selepas beberapa jam, sesuatu yang luar biasa berlaku dengan Jean mula menunjukkan tanda-tanda hidup! Pada mulanya, dia mula mengerang perlahan sebelum tubuhnya sedikit demi sedikit menjadi lebih hangat. Jari-jarinya yang sebelumnya beku mula bergerak, dan tidak lama kemudian, dia kembali sedar. Lebih mengejutkan, Jean bukan sahaja terselamat tetapi juga tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Tiada kerosakan otak, tiada radang beku (frostbite) yang mengakibatkan kehilangan anggota badan dan tiada sebarang komplikasi kekal. Dia hanya mengalami beberapa kesan kebas pada kakinya tetapi itu pun pulih dalam masa beberapa hari.
Kisah Jean Hilliard dianggap sebagai satu keajaiban dalam dunia perubatan kerana secara saintifik, seseorang yang mengalami hipotermia teruk seperti ini sepatutnya mengalami kerosakan otak atau kehilangan anggota badan akibat tisu yang membeku. Salah satu teori yang dikemukakan oleh pakar ialah badan Jean mungkin mengalami keadaan "hibernasi manusia" di mana metabolisme melambat secara drastik sehingga meminimumkan kerosakan organ akibat suhu beku. Dalam keadaan sejuk melampau, tubuhnya mungkin memasuki keadaan seakan-akan koma, memperlahankan fungsi badan sehingga dia mampu bertahan tanpa oksigen yang mencukupi. Selain itu, faktor seperti umur, daya tahan tubuh serta keadaan salji yang menutupi sebahagian tubuh Jean mungkin membantu melindunginya daripada kesan hipotermia yang lebih serius.

Jean Hilliard akhirnya keluar dari hospital tanpa sebarang kecederaan kekal dan menjalani kehidupan normal selepas insiden itu. Kisahnya masih menjadi bahan kajian dalam dunia perubatan kerana sangat jarang seseorang yang mengalami pembekuan ekstrem dapat hidup kembali tanpa sebarang kesan buruk. Hari ini, kisahnya terus menjadi salah satu kejadian paling aneh dan mengagumkan yang pernah direkodkan dalam sejarah perubatan sekaligus membuktikan bahawa dalam dunia sains, masih banyak perkara yang belum dapat dijelaskan sepenuhnya
Catat Ulasan for "Beku Seperti Batu Tetapi Tidak Mati: Kisah Ajaib Jean Hilliard"