Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Bila Mafia Culik Anak Umur 12 Tahun: Dendam Giovanni Brusca

     Dalam sejarah hitam organisasi mafia Cosa Nostra di Sicily, Itali, nama Giovanni Brusca sentiasa disebut sebagai individu paling kejam dan tidak berperikemanusiaan. Pembunuh upahan ini bertanggungjawab dalam lebih 100 pembunuhan termasuk pembunuhan berprofil tinggi seperti hakim anti-mafia terkenal, Giovanni Falcone pada tahun 1992. Namun tindakan paling mengerikan dan sukar dimaafkan yang dilakukan oleh Brusca bukanlah terhadap seorang hakim, peguam atau ahli politik tetapi terhadap seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang tidak berdosa, Giuseppe Di Matteo.

     Giuseppe merupakan anak kepada Santino Di Matteo, seorang bekas ahli Cosa Nostra yang kemudiannya menjadi pentito iaitu individu yang berpaling tadah dan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Santino memainkan peranan penting dalam memberikan maklumat tentang komplot pembunuhan Giovanni Falcone yang sangat merugikan mafia ketika itu. Dalam dunia mafia, pengkhianatan dianggap dosa paling besar dan tindakan Santino dilihat sebagai duri dalam daging. Demi membalas dendam dan pads masa yang sama cuba menakut-nakutkan saksi lain daripada bercakap, Giovanni Brusca merancang satu tindakan balas yang amat keji dengan menjadikan anak Santino sebagai mangsa.

     Pada bulan November 1993, Giuseppe Di Matteo diculik oleh sekumpulan lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis. Mereka memberitahu Giuseppe bahawa dia akan dibawa untuk bertemu dengan bapanya yang sudah lama menghilangkan diri kerana hidup dalam program perlindungan saksi. Tanpa sebarang kecurigaan, Giuseppe mengikut mereka di mana dia tidak mengetahui bahawa dia sebenarnya sedang ditarik masuk ke dalam mimpi ngeri yang berpanjangan. Giuseppe kemudiannya dibawa ke sebuah lokasi rahsia dan dikurung. Penculik Giuseppe yang menerima arahan Brusca telahbberulang kali menyeksanya secara fizikal dan emosi. Dia dipindahkan dari satu lokasi ke lokasi lain di Sicil seperti dalam gudang terbiar, rumah yang ditinggalkan dan ruangan bawah tanah. Tujuannya jelas untuk menekan Santino Di Matteo agar menarik balik keterangannya kepada pihak berkuasa.

     Sepanjang tempoh penculikan itu, Giuseppe hidup dalam keadaan amat menderita. Tidak hanya dirantai dan dikurung, dia juga diberi makan ala kadar dan sentiasa diugut. Giuseppe sering bertanya kepada penculiknya bilakah dia akan dibebaskan dan boleh pulang ke rumah tetapi soalan itu tidak pernah dijawab. Selama 779 hari bersamaan dengan lebih dua tahun, Giuseppe diseksa secara perlahan-lahan bukan dengan pukulan semata-mata tetapi dengan penafian hak sebagai seorang anak kecil yang sepatutnya berada di rumah bersama keluarga dan bersekolah seperti rakan seusianya.

     Apabila Giovanni Brusca akhirnya menyedari bahawa cubaan mereka untuk memaksa Santino menarik balik kenyataan telah gagal, dia mengambil keputusan untuk menamatkan segala-galanya. Pada Januari 1996, Brusca mengarahkan pembunuhan Giuseppe. Budak lelaki itu dicekik hingga mati dan mayatnya dilupuskan dengan cara yang paling kejam, dilarutkan dalam tong berisi asid untuk memastikan tiada bukti fizikal yang tinggal. Ini adalah teknik biasa yang digunakan oleh mafia untuk "menghapuskan" seseorang tanpa jejak tetapi dalam kes Giuseppe, ia menandakan tahap kekejaman Giovanni Brusca yang melangkaui batas moral seorang manusia.

     Kematian Giuseppe mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat Itali. Tindakan membunuh seorang budak lelaki demi membalas dendam terhadap bapanya yang berpaling tadah bukan sahaja dikecam oleh masyarakat umum malah turut menyebabkan tekanan hebat kepada kerajaan untuk menggandakan usaha membanteras mafia. Beberapa operasi besar-besaran dilancarkan selepas itu dan pada tahun 1996, Giovanni Brusca akhirnya ditangkap oleh pihak berkuasa.

     Ironinya yakni selepas penangkapannya, Brusca sendiri menjadi pentito, memberikan maklumat penting tentang struktur dan operasi dalaman Cosa Nostra. Tindakannya ini membantu kerajaan menjatuhkan ramai ahli mafia lain. Walau bagaimanapun masyarakat tidak pernah benar-benar memaafkannya, terutamanya kerana pembunuhan Giuseppe Di Matteo yang begitu kejam dan tidak berperikemanusiaan. Apabila berita pembebasan awal Brusca diumumkan pada tahun 2021 selepas hanya 25 tahun dipenjara, keluarga Giuseppe dan rakyat Itali menyuarakan kemarahan mereka secara terbuka. Bagi mereka, tiada maaf untuk pembunuhan kejam terhadap seorang anak kecil yang tidak berdosa.

Catat Ulasan for "Bila Mafia Culik Anak Umur 12 Tahun: Dendam Giovanni Brusca"