Bunuh Suami Kerana Ada Hubungan Sulit Dengan Lelaki Lain

Kes ini bermula apabila Jennifer Gledhill membuat laporan kepada polis pada 28 September 2024 dengan mendakwa bahawa suaminya hilang. Namun siasatan lanjut oleh pihak berkuasa membawa kepada penemuan maklumat yang sangat mencurigakan. Sumber daripada seorang informan mendakwa bahawa Gledhill telah mengaku menembak suaminya di kepala ketika lelaki itu sedang tidur sebelum menyimpan mayatnya dalam bekas simpanan lalu mengebumikannya di sebuah kubur cetek berhampiran rumah mereka di Cottonwood Heights, Utah. Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara mereka yang berkaitan dengan hubungan sulit Gledhill dengan lelaki lain. Tindakan Gledhill melaporkan kehilangan Johnson dioercayai hanyalah helah untuk mengaburi pihak polis.
Pihak berkuasa telah menjalankan pencarian intensif bagi mengesan mayat Matthew Johnson. Usaha ini melibatkan penggunaan teknologi radar penembus tanah serta analisis data telefon bimbit dan lokasi geolokasi yang berkaitan dengan pergerakan Gledhill selepas kejadian. Tumpuan utama pencarian termasuk kawasan Farmington Bay tetapi sehingga kini tiada penemuan fizikal terhadap jasad mangsa. Ketiadaan mayat menyebabkan siasatan menjadi lebih mencabar kerana ia mengehadkan bukti langsung dalam prosiding mahkamah. Walau bagaimanapun, pihak pendakwa tetap optimis dengan bukti lain yang telah dikumpulkan termasuk kenyataan informan dan bukti forensik yang ditemui di rumah mereka.

Jennifer Gledhill kini menghadapi sembilan pertuduhan jenayah berat termasuk pembunuhan darjah pertama. Dalam satu prosiding mahkamah, dia telah mengaku tidak bersalah dan mahkamah memutuskan agar dia terus ditahan tanpa jaminan sementara menunggu perbicaraan yang dijadualkan pada Disember 2025. Perkembangan kes ini menjadi semakin rumit apabila ibu bapa Gledhill sendiri, Thomas dan Rosalie turut ditahan oleh pihak berkuasa atas dakwaan menghalang keadilan. Mereka dipercayai telah membantu menutup jejak jenayah yang dilakukan oleh anak mereka dengan membersihkan tempat kejadian, membuang tilam yang dipercayai mempunyai kesan darah serta mematikan telefon bimbit untuk mengelakkan dikesan oleh polis.
Mahkamah juga telah mengeluarkan satu perintah larangan hubungan yang menghalang Jennifer Gledhill daripada berhubung dengan tiga orang anaknya. Kanak-kanak ini kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Kanak-Kanak dan Keluarga (DCFS) demi keselamatan mereka dan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap saksi berpotensi yang mungkin mengetahui sesuatu tentang apa yang berlaku di dalam rumah tersebut sebelum pembunuhan berlaku.
Catat Ulasan for "Bunuh Suami Kerana Ada Hubungan Sulit Dengan Lelaki Lain"