Dibunuh Kerana Gagal Peperiksaan: Kisah Sahiti dan Ibunya
.jpg)
Rani sangat menyayangi Sahiti. Malah, anaknya itu dilahirkan selepas 16 tahun menanti zuriat. Selepas menjadi ibu tunggal, Rani membesarkan Sahiti dengan penuh kasih sayang tetapi juga dengan harapan yang sangat tinggi. Rani sering menceritakan kepada saudara-mara dan jiran-jiran bahawa anaknya seorang pelajar cemerlang dan akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam masa terdekat.
Sahiti Shivapriya merupakan pelajar Tahun Kedua Pra-Universiti (II PU), sistem pendidikan di India yang bersamaan dengan tingkatan enam di Malaysia. Seperti ramai pelajar di sana, tekanan untuk cemerlang dalam peperiksaan amat tinggi. Namun tidak seperti yang diberitahu kepada ibunya, Sahiti telah gagal dalam empat subjek penting dalam peperiksaan barunya. Dia bagaimanapun tidak memberitahu perkara sebenar. Sahiti sebaliknya mendakwa telah mendapat 95% markah iaitu satu keputusan yang sangat cemerlang. Malah Rani sempat mengedarkan maklumat palsu itu kepada keluarga dan kenalan.
Pada 28 April 2024 yakni sehari sebelum kejadian, Sahiti akhirnya memberitahu ibunya bahawa dia sebenarnya telah gagal dalam satu subjek tetapi dalam nada menyalahkan ibunya kerana terlalu mengongkong dan menekan dirinya untuk berjaya. Rani yang terkejut dengan pendedahan itu kemudian mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Dia menghubungi salah seorang rakan rapat Sahiti untuk mendapatkan kepastian. Rakan tersebut mendedahkan bahawa Sahiti telah gagal dalam empat subjek dan bukannya satu seperti yang didakwa.

Pada malam 29 April 2024, Rani bersemuka dengan Sahiti di rumah mereka. Pergaduhan tercetus dan menurut siasatan, perbalahan tersebut berlangsung lama dan sangat tegang. Rani yang dilanda perasaan marah, kecewa dan rasa dikhianati dalam keadaan tidak stabil secara emosi telah mengambil pisau dapur lalu menikam anaknya beberapa kali di bahagian dada dan leher. Sahiti meninggal dunia di tempat kejadian akibat kehilangan darah yang banyak. Selepas menyedari apa yang telah dilakukannya, Rani cuba membunuh diri dengan menikam dirinya sendiri di perut tetapi cubaan itu gagal. Dia ditemui dalam keadaan cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Kes ini mengejutkan komuniti setempat. Polis Bengaluru segera menjalankan siasatan dan Rani ditahan serta didakwa atas pertuduhan membunuh. Dalam siasatan, Rani mengaku bersalah dan menyatakan bahawa dia tidak dapat mengawal emosinya apabila mengetahui kebenaran. Rani memberitahu pihak berkuasa bahawa dia telah meletakkan seluruh hidup dan harapannya kepada Sahiti dan kegagalan itu menjadikannya seperti kehilangan segalanya. Dia turut menyatakan bahawa dia takut akan penghinaan sosial kerana selama ini telah memuji-muji kejayaan anaknya kepada orang ramai.
Pada 8 April 2025, Mahkamah Bandar Bengaluru menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Bhimaneni Padmini Rani atas kesalahan membunuh anaknya. Hakim turut mengenakan denda sebanyak ₹50 000 (kira-kira RM2800). Rani tidak merayu hukuman tersebut dan sekali lagi mengaku kesal dan insaf atas perbuatannya. Menurut laporan media, ketika prosiding mahkamah, Rani menangis tanpa henti dan berulang kali menyebut bahawa dia “tidak sepatutnya menjadi ibu.”
Catat Ulasan for "Dibunuh Kerana Gagal Peperiksaan: Kisah Sahiti dan Ibunya"