Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

DUA KANAK-KANAK DIBUNUH REMAJA KERANA MANCING IKAN TANPA IZIN


     BENGKULU, INDONESIA – Penduduk Kelurahan Kandang, Kota Bengkulu digemparkan dengan kes pembunuhan kejam membabitkan dua kanak-kanak lelaki, masing-masing berusia 8 dan 9 tahun yang dibunuh oleh seorang remaja hanya kerana memancing ikan tanpa izin di kolam milik suspek.

     Kehilangan Abiyu (9 tahun) dan Arjuna Raditya Pratama (8 tahun) mula disedari pada awal April 2025 apabila kedua-dua mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar bermain. Keluarga mangsa melaporkan kehilangan kepada pihak berkuasa dan operasi pencarian dilancarkan serta-merta bersama penduduk tempatan.

     Beberapa hari kemudian, penemuan pertama mengejutkan berlaku apabila mayat Abiyu dijumpai di kawasan Muara Jenggalu dalam keadaan tidak bernyawa. Siasatan diperluaskan hingga membawa kepada penemuan mayat Arjuna di dalam sebuah tangki septik di belakang rumah jiran mangsa yang kemudian dikenal pasti sebagai remaja berusia 17 tahun iaitu suspek utama.

     Hasil siasatan mendedahkan bahawa suspek bertindak kejam dengan mencekik kedua-dua mangsa secara bergilir-gilir di belakang rumahnya. Menurut pengakuan suspek, dia terlebih dahulu mencekik Abiyu hingga tidak bernyawa sebelum dia membunuh Arjuna pula beberapa jam selepas itu. Tindakan itu dilakukan setelah dia melihat kedua-dua mangsa memancing di kolam ikannya tanpa izin hingga menimbulkan kemarahan tidak terkawal.

     Selepas membunuh, suspek mencuba menyembunyikan jenayahnya dengan membuang mayat Abiyu ke sungai dan menyimpan mayat Arjuna dalam tangki septik rumahnya. Suspek ditangkap selepas beberapa bukti mencurigakan ditemui di kawasan rumahnya termasuk bau busuk dan kesan darah di sekitar tangki septik. Pihak forensik menemui barang milik mangsa dan DNA yang padan sekaligus menguatkan syak wasangka terhadapnya. Hasil soal siasat membawa kepada pengakuan penuh daripada suspek yang turut menunjukkan lokasi dia membuang mayat Abiyu.

     Sesudah berita pembunuhan tersebar luas, ketegangan melanda masyarakat setempat. Terdapat laporan tidak rasmi yang menyatakan bahawa penduduk kampung bertindak merosakkan rumah suspek akibat terlalu marah dan kecewa. Namun begitu, polis menafikan ada laporan rasmi berhubung pembakaran atau pemusnahan rumah tersebut. Sebagai langkah berjaga-jaga, keluarga suspek telah dipindahkan ke lokasi lain untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

     Pihak polis menggesa orang ramai agar tidak bertindak melulu dan menyerahkan proses undang-undang sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah kesalahan membunuh dengan sengaja. Walaupun masih di bawah umur, pihak berkuasa menegaskan bahawa tindakan undang-undang sewajarnya akan dikenakan memandangkan kekejaman jenayah ini.

Catat Ulasan for "DUA KANAK-KANAK DIBUNUH REMAJA KERANA MANCING IKAN TANPA IZIN"