Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Guru Prasekolah Didakwa Rogol dan Bunuh Anak Bekas Teman Lelaki


     Satu kes pembunuhan kejam yang berlaku di Johannesburg, Afrika Selatan pada awal tahun 2023 telah. Mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bernama Nada-Jane Challita ditemui mati lemas di dalam tab mandi di kediaman keluarganya. Hasil siasatan forensik mendedahkan kematian mangsa berpunca adalah akibat penderaan seksual dan jenayah yang dipercayai berpunca daripada dendam peribadi.

     Tertuduh utama dalam kes ini ialah Amber Lee Hughes, seorang wanita berusia 25 tahun yang bekerja sebagai guru prasekolah. Lebih mengejutkan, Hughes merupakan bekas teman wanita kepada Elie Challita iaitu bapa kepada mangsa. Hughes didakwa atas dua pertuduhan rogol serta dua pertuduhan membunuh. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

     Menurut pihak pendakwaan yakni pada 23 Januari 2023, Nada-Jane telah ditinggalkan dalam jagaan Hughes oleh bapanya. Tidak lama kemudian, Hughes menghubungi Elie dan mendakwa anaknya ditemui tidak sedarkan diri di dalam tab mandi. Nada-Jane disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Namun hasil bedah siasat kemudian mendapati terdapat kesan penderaan fizikal dan seksual sekali gus membawa kepada pertuduhan jenayah terhadap Hughes. Dalam undang-undang Afrika Selatan, takrifan "rogol" tidak tertakluk hanya kepada penetrasi oleh alat sulit lelaki. Ia juga merangkumi apa-apa bentuk penetrasi seksual secara paksa menggunakan objek, jari atau alat lain ke atas seseorang tanpa kerelaan. Dalam kes ini, pakar patologi forensik, Dr. Hestelle van Staden mengesahkan bahawa terdapat kecederaan yang konsisten dengan penderaan seksual pada bahagian sulit mangsa, termasuk kesan trauma dalaman yang jelas menunjukkan unsur paksaan.

   Motif jenayah ini dipercayai berpunca daripada dendam peribadi. Mahkamah dimaklumkan bahawa Hughes pernah mengeluarkan ancaman secara langsung kepada bapa mangsa, dengan berkata,  “Aku akan bunuh anak kau.” Ancaman itu dilaporkan berlaku selepas hubungan mereka berakhir dalam keadaan tegang. Pendakwa berhujah bahawa perbuatan Hughes adalah tindakan balas dendam yang tidak berperikemanusiaan terhadap bekas pasangannya dengan menjadikan anak kecil itu sebagai sasaran.

     Perbicaraan kes ini berlangsung di Mahkamah Tinggi Gauteng di Johannesburg. Keterangan demi keterangan telah dikemukakan termasuk daripada saksi forensik, anggota penyiasat serta pakar psikiatri. Mahkamah juga telah mendengar laporan tentang kesan kecederaan fizikal pada muka dan badan mangsa serta bukti saintifik berkaitan punca sebenar kematian.

   Peguam bela kepada tertuduh cuba mempertikaikan ketepatan bukti yang dibentangkan termasuk kemungkinan pencemaran bukti semasa siasatan dijalankan. Walau bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan bahawa bukti forensik adalah kukuh dan menunjukkan dengan jelas bahawa Hughes terlibat secara langsung dalam penderaan serta pembunuhan mangsa. Keterangan daripada tertuduh sendiri telah ditangguhkan baru-baru ini atas sebab teknikal dan perbicaraan dijadualkan bersambung pada masa terdekat. Masyarakat Afrika Selatan mengikuti kes ini dengan penuh emosi dan pelbagai kumpulan hak asasi kanak-kanak telah menyuarakan kebimbangan serta menuntut hukuman berat terhadap pelaku.

Catat Ulasan for "Guru Prasekolah Didakwa Rogol dan Bunuh Anak Bekas Teman Lelaki"