Insiden Letupan Deepwater Horizon

Pada 20 April 2010, pelantar minyak Deepwater Horizon yang beroperasi di Teluk Mexico mengalami letupan dahsyat yang mengorbankan 11 pekerja dan mencetuskan tumpahan minyak terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Pelantar ini dimiliki oleh Transocean dan disewa oleh syarikat minyak gergasi BP (British Petroleum) untuk menjalankan operasi penggerudian di telaga minyak yang dikenali sebagai Macondo Prospect. Insiden ini berpunca daripada kecuaian dalam aspek keselamatan, kesilapan teknikal serta tekanan gas tidak dikawal mengakibatkan letupan besar yang memusnahkan pelantar dan mencetuskan bencana alam sekitar yang berlarutan selama beberapa bulan.
Deepwater Horizon ialah pelantar minyak separa tenggelam (semi-submersible) yang direka khas untuk operasi penggerudian di laut dalam. Pada tahun 2010, ia sedang menggerudi telaga minyak Macondo pada kedalaman lebih daripada 1500 meter di bawah permukaan laut. Pada hari kejadian, beberapa ujian tekanan telah dijalankan untuk memastikan kestabilan telaga. Walaupun terdapat tanda-tanda bahawa tekanan gas metana tidak terkawal, pihak pengurusan BP mengambil ringan perkara itu dan meneruskan operasi. Akibatnya, gas metana naik dengan pantas melalui paip gerudi (drill pipe) lalu mencetuskan letupan besar yang serta-merta menyebabkan kebakaran hebat di seluruh pelantar.

Api yang marak dengan cepat menjadikan situasi semakin buruk. Daripada 126 pekerja yang berada di pelantar ketika itu, 11 orang terkorban dipercayai tercampak ke dalam laut atau terbakar dalam letupan. Selebihnya yakni seramai 115 orang telah berjaya diselamatkan tetapi ramai yang mengalami kecederaan parah. Selepas lebih 36 jam terbakar, Deepwater Horizon akhirnya tenggelam ke dasar laut pada 21 April 2010. Namun insiden sebenar baru bermula apabila telaga Macondo yang rosak mula membocorkan minyak mentah pada kadar 60 000 tong sehari hingga menyebabkan pencemaran besar-besaran di perairan Teluk Mexico.
Pelbagai usaha dilakukan untuk menghentikan kebocoran minyak tetapi kebanyakan percubaan gagal. BP cuba menggunakan kaedah “top kill” iaitu dengan menyuntik lumpur berat ke dalam telaga untuk menyekat aliran minyak tetapi tekanan gas yang tinggi menyebabkan usaha ini tidak berkesan. Pada 15 Julai 2010, satu penutup sementara (capping stack) berjaya dipasang, menghentikan kebocoran buat sementara waktu. Selepas hampir lima bulan, telaga Macondo ditutup sepenuhnya pada 19 September 2010 menggunakan teknik “bottom kill” di mana simen disuntik ke dalam dasar laut untuk menyekat kebocoran secara kekal.

Insiden Deepwater Horizon memberikan kesan yang amat besar kepada manusia, ekonomi dan alam sekitar. Dari segi kehilangan nyawa, 11 pekerja maut manakala ramai yang terselamat mengalami trauma fizikal dan mental akibat kejadian ngeri tersebut. Dari sudut alam sekitar, dianggarkan sebanyak 4.9 juta tong minyak telah bocor ke laut sekaligus mencemarkan lebih daripada 68 000 batu persegi kawasan perairan. Minyak yang melimpah menyebabkan ratusan ribu burung laut, penyu, ikan lumba-lumba dan spesies marin lain mati manakala ekosistem laut mengalami kemusnahan besar. Selain itu, pantai-pantai di Louisiana, Mississippi, Alabama, dan Florida dipenuhi lapisan minyak tebal. Ini telah menjejaskan industri perikanan dan pelancongan serta menyebabkan ramai nelayan kehilangan mata pencarian.

BP dikenakan denda yang tinggi akibat kecuaian mereka dalam menguruskan keselamatan operasi. Syarikat tersebut terpaksa membayar lebih $65 bilion dalam bentuk ganti rugi, saman dan kos pembersihan tumpahan minyak. Beberapa eksekutif BP juga didakwa di mahkamah atas tuduhan kecuaian yang menyebabkan kematian pekerja. Selain itu, peraturan keselamatan industri minyak diperketatkan untuk mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang. Kisah tragis ini turut diadaptasi ke dalam filem "Deepwater Horizon" (2016) yang dibintangi oleh Mark Wahlberg, Kurt Russell dan John Malkovich. Filem ini menggambarkan detik-detik cemas ketika letupan berlaku dan bagaimana pekerja di pelantar berjuang untuk menyelamatkan diri.
Catat Ulasan for "Insiden Letupan Deepwater Horizon"