Inspirasi Kisah Benar Di Sebalik Drama "When Life Gives You Tangerines"

When Life Gives You Tangerines merupakan sebuah drama Korea yang meraih perhatian ramai sejak ditayangkan di platform penstriman Netflix. Berlatarbelakangkan Pulau Jeju yang indah dan penuh sejarah, drama ini mengisahkan tentang kehidupan Ae-sun, seorang gadis yang bercita-cita menjadi penyair dan perjalanan cintanya bersama Gwan-sik, seorang lelaki pendiam tetapi sangat setia. Kisah mereka dibentangkan secara kronologi dari era 1960-an hingga ke masa kini, memperlihatkan bagaimana cinta, keluarga dan ketabahan mengatasi ujian masa, bencana alam, konflik sosial serta perbezaan latar belakang. Dengan gabungan emosi, sejarah dan kebudayaan, drama ini bukan sahaja menyentuh hati penonton tetapi juga mengangkat kisah masyarakat Jeju yang jarang dipaparkan secara mendalam dalam drama Korea.
Menariknya, drama ini bukanlah sekadar fiksyen semata-mata. Ia sebenarnya diinspirasikan daripada kisah benar kehidupan seorang wanita cekal dari Pulau Jeju bernama Hong Kyung-ja yang dilahirkan pada tahun 1950. Sejak usia muda, Hong Kyung-ja memikul tanggungjawab besar sebagai anak sulung dalam keluarganya. Kehidupan di pulau itu pada ketika itu sangat mencabar dan dia terpaksa menyelam ke laut sebagai haenyeo (penyelam wanita tradisional) untuk menangkap sotong dan hasil laut lain demi membantu menyara keluarga. Walaupun masih muda, dia terpaksa menjaga adik-adiknya dan menguruskan rumah ketika ibu bapanya keluar bekerja.

Bb Selain daripada tugas berat di rumah, Hong Kyung-ja tetap berusaha mendapatkan pendidikan. Setiap hari dia terpaksa berlari ke sekolah dalam keadaan keletihan dan sering kali sampai lewat tetapi semangatnya untuk menimba ilmu tidak pernah luntur. Walaupun tidak menerima layanan istimewa, dia tidak pernah merungut atau berputus asa. Inilah semangat yang diangkat dalam watak Ae-sun dalam drama ini — seorang wanita yang bercita-cita tinggi walaupun hidup dalam serba kekurangan dan penuh tekanan sosial.
Kisah cinta beliau dengan suaminya juga amat mengharukan. Mereka saling mengenali sejak kecil, dan apabila dewasa, mereka berkahwin dan bersama-sama membina keluarga yang harmoni. Suaminya merupakan sumber sokongan utama dalam hidupnya dan sentiasa berdiri di sisi sama ada ketika dalam susah dan senang. Cinta mereka tidak pernah pudar meskipun diuji dengan kemiskinan, penyakit dan perubahan zaman. Inilah yang diterjemahkan dengan begitu indah dalam hubungan Ae-sun dan Gwan-sik yang menjadi nadi utama dalam naratif drama.

Hong Kyung-ja bukan sahaja seorang isteri dan ibu yang penyayang tetapi juga seorang pemimpin komuniti yang dihormati. Dengan dorongan dan sokongan suaminya,dia berjaya menjadi seorang yang aktif dalam kegiatan masyarakat, membantu jiran tetangga selain memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti di Jeju. Pasangan ini kemudian diberi penghargaan oleh YMCA Jeju pada tahun 2002 kerana sumbangan mereka dalam membina keluarga contoh dan menyumbang kepada masyarakat.
Dalam drama When Life Gives You Tangerines, terdapat beberapa elemen yang ditambah dan diolah untuk tujuan penceritaan tetapi banyak bahagian kekal setia kepada semangat serta nilai yang dimiliki oleh pasangan sebenar ini. Contohnya, dalam episod pertama, terdapat satu babak di mana nama “Hong Kyung-ja” muncul secara tersirat pada peralatan menyelam haenyeo yakni sebagai satu bentuk penghormatan tersembunyi kepada wanita tersebut.

Drama ini juga telah menerima ulasan positif dari pelbagai pihak. South China Morning menyifatkannya sebagai salah satu K-Drama terbaik yang pernah dibuat. Laman sesawang Rotten Tomatoes dan IMDb memberikan penilaian tinggi dengan penonton menyatakan bahawa siri ini adalah karya yang benar-benar menyentuh hati.
Catat Ulasan for "Inspirasi Kisah Benar Di Sebalik Drama "When Life Gives You Tangerines""