Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kemalangan Maut 2002: Sejauh Mana Kebenaran di Sebalik Pembebasan Salman Khan?


     Pelakon terkenal Bollywood iaitu Salman Khan pernah menjadi subjek kontroversi besar selepas terlibat dalam satu kes kemalangan maut pada 28 September 2002. Kejadian berlaku di Bandra, Mumbai apabila kenderaan jenis Toyota Land Cruiser yang dipandunya telah merempuh lima lelaki gelandangan yang sedang tidur di kaki lima hadapan sebuah kedai roti. Dalam kemalangan tersebut, seorang mangsa bernama Nurullah Mahbob Sharif maut di tempat kejadian manakala empat yang lain mengalami kecederaan serius. Kes ini segera mendapat perhatian media dan masyarakat kerana melibatkan seorang selebriti besar serta isu keadilan sosial.

     Pihak polis mendakwa bahawa Salman Khan memandu dalam keadaan mabuk selepas keluar dari sebuah bar. Hasil ujian darah menunjukkan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan dan dia turut dituduh melarikan diri dari tempat kejadian tanpa memberi sebarang bantuan kepada mangsa. Pada awalnya, Salman didakwa di bawah Seksyen 304-A Kanun Keseksaan India iaitu menyebabkan kematian kerana kecuaian tetapi pertuduhan itu kemudian dinaikkan kepada Seksyen 304 Bahagian II yang menyebabkan kematian tanpa niat membunuh sekaligus membawa hukuman lebih berat. Selain itu, dia juga dituduh memandu tanpa lesen sah dan melarikan diri selepas kemalangan.

     Perbicaraan berlangsung selama bertahun-tahun dan pada 6 Mei 2015, Mahkamah Sesyen Bombay mendapati Salman Khan bersalah atas semua pertuduhan. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan menyifatkan tindakanya sebagai cuai serta tidak bertanggungjawab. Namun hanya selepas dua hari, Mahkamah Tinggi Bombay membenarkan permohonan jaminan sementara menunggu rayuan. Beberapa bulan kemudian yakni pada 10 Disember 2015, keputusan mengejut diumumkan apabila Mahkamah Tinggi membatalkan sabitan tersebut dan membebaskan Salman Khan daripada semua tuduhan. Mahkamah berpendapat bahawa bukti yang dikemukakan tidak kukuh selain terdapat kecuaian dalam siasatan polis dan beberapa saksi utama tidak boleh dipercayai.

     Pembebasan ini mencetuskan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan masyarakat. Ramai yang melihat keputusan mahkamah sebagai bukti bahawa selebriti kaya dan berpengaruh mendapat layanan istimewa dalam sistem keadilan. Tambahan pula, pengakuan seorang individu bernama Ashok Singh yang mendakwa bahawa dialah sebenarnya yang memandu pada malam kejadian hanya dikemukakan selepas 13 tahun menimbulkan keraguan besar dalam kalangan pemerhati undang-undang. Tindakan Mahkamah Tinggi menerima pengakuan tersebut menimbulkan persepsi bahawa sistem kehakiman India mudah dimanipulasi oleh pihak tertentu.

     Kerajaan negeri Maharashtra tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut lalu mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung India bagi mencabar pembebasan Salman Khan. Walau bagaimanapun, sehingga kini kes itu masih tergantung tanpa keputusan akhir. Apa yang lebih mengejutkan, kerjaya Salman Khan langsung tidak terjejas. Dia terus membintangi filem-filem box-office seperti Dabangg, Kick, Bajrangi Bhaijaan dan Sultan. Sokongan daripada peminat juga tidak berkurangan, malah sesetengahnya menganggap beliau sebagai mangsa konspirasi atau tekanan media.

Catat Ulasan for "Kemalangan Maut 2002: Sejauh Mana Kebenaran di Sebalik Pembebasan Salman Khan?"